Wanita Eropah yang hidup pada abad pertengahan (medieval) tidak mempunyai kebebasan atau hak dan terikat dengan komitmen kepada suami tidak kira apa yang berlaku. Jika mereka ditipu atau didera suami, mereka terpaksa menerimanya kerana tiada siapa memperjuangkan nasib mereka.
Namun, nasib isteri-isteri malang di Itali mula berubah pada abad ke-17 dengan kehadiran seorang wanita bernama Giulia Tofana. Bagaimanakah dia melakukannya? Dia bukanlah pakar kaunseling atau peguam tetapi hanyalah seorang penjual alat solek sahaja.
BESARKAN TEKS A- A+
Latar belakang Giulia Tofana
Giulia dilahirkan di Palermo, Sicily kepada pasangan Francis Tofana dan Thofania d'Adamo. Ketika berusia 13 tahun, Giulia menjadi yatim piatu apabila ibunya dihukum mati pada tahun 1633 kerana membunuh bapanya.
Apabila seorang wanita sudah berkahwin pada zaman itu, mereka di bawah kuasa suami sepenuhnya walaupun didera atau diperlakukan dengan zalim. Giulia tidak mahu kehidupan seperti itu maka dia cuba untuk berdikari sendiri.
Dia mula meluangkan masa dengan ahli farmasi dan pegawai perubatan pada waktu itu. Dari situ dia mempelajari bagaimana untuk menghasilkan ramuan, kosmetik, ubat-ubatan dan minyak wangi.
Giulia kemudian memulakan perniagaan sendiri. Perniagaannya berkembang sehingga ke bandar lain seperti Naples dan Rom. Dia menjual pelbagai produk kosmetik termasuk minyak wangi, krim dan pelbagai alat solek tetapi itu bukanlah punca kejayaan perniagaannya.
Rahsia kejayaan Giulia Tofana mempunyai latar belakang menggerunkan. Walaupun ramai yang mengetahui rahsia itu tetapi tiada siapa yang mendedahkannya. Rahsia kejayaan Giulia terletak pada produknya iaitu "Aqua Tofana".
Kehebatan Aqua Tofana
Aqua Tofana bukanlah minyak wangi atau produk kosmetik tetapi merupakan racun yang dijual dalam botol yang dihias cantik. Ia mengandungi arsenik, plumbum, beladona (tumbuhan beracun) dan beberapa bahan kimia lain yang berbahaya.
Produk yang jernih, tiada rasa atau bau itu membuatkannya sangat berbahaya. Aqua Tofana yang dijual bersama-sama minyak wangi dan alat solek di kedainya mendapat sambutan daripada para wanita yang mengalami masalah dalam rumah tangga mereka.
Botol kecil yang cantik ini sangat mudah disembunyikan dan sukar disyaki kerana kelihatan seperti minyak wangi atau produk kosmetik. Apa yang membuatkan Aqua Tofana hebat berbanding racun lain adalah bagaimana ia berfungsi.
Beberapa titik Aqua Tofana yang dimasukkan ke dalam minuman atau makanan sudah cukup untuk memberi kesan. Racun itu akan mengakibatkan keletihan, sakit perut, dahaga teruk, muntah dan akhirnya kematian.
Malah, ada pengguna yang menuntut agar bedah siasat dilakukan ke atas mayat suami mereka bagi mengelak daripada dicurigai. Hasil bedah siasat pada waktu itu tidak menemui sebarang kesan mangsa diracun menggunakan Aqua Tofana.
Empayar Aqua Tofana
Kehebatan produk Aqua Tofana ini membuatkan Giulia mendapat gelaran sebagai "Ratu Racun". Para pelanggannya sangat melindungi Giulia dan hanya berkongsi rahsia dengan orang yang mereka benar-benar percaya sahaja.
Perniagaan Giulia berkembang maju selama bertahun-tahun lamanya. Anak perempuan Giulia iaitu Girolama Spera juga mengikuti jejak langkahnya. Terdapat khabar angin bahawa Giulia mendapat resepi menghasilkan Aqua Tofana daripada ibunya, yang juga membunuh bapanya menggunakan racun.
Giulia juga mempunyai rangkaian yang besar dalam pengedaran produk Aqua Tofana ini. Para pengedarnya termasuklah ahli kimia, tukang sihir, bidan malah paderi dari gereja.
Produk Aqua Tofana yang digelar sebagai "Penceraian Pantas" ini dikatakan telah menyelamatkan ratusan wanita yang diseksa suami mereka. Giulia dianggap sebagai wira oleh ramai wanita sama ada kaya mahupun miskin kerana membantu mereka.
Kejatuhan Giulia Tofana
Giulia berjaya mengekalkan perniagaannya untuk satu masa yang lama tetapi akhirnya rahsia Aqua Tofana terbongkar jua. Pada tahun 1650, seorang wanita yang cuba membunuh suaminya tiba-tiba berubah fikiran dan menghalang suaminya daripada memakan makanan yang telah diracun.
Suaminya menjadi curiga dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Akibat tidak tahan diseksa, wanita itu akhirnya mendedahkan Giulia Tofana dan skim racunnya itu.
Namun, Giulia yang disayangi ramai telah dibantu oleh para pelanggannya. Mereka memberi amaran kepada Giulia terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa datang menyerbu premis perniagaannya.
Dia melarikan diri dan diberi perlindungan di sebuah biara di mana dia terus membekalkan Aqua Tofana melalui jaringan agama. Namun, ia tidak bertahan lama apabila ada khabar angin mengatakan Giulia mencampurkan Aqua Tofana ke dalam bekalan air penduduk tempatan.
Sekumpulan penduduk yang marah telah menyerbu biara dan menangkap Giulia untuk diserahkan kepada pihak berkuasa. Setelah diseksa, Giulia mengaku bertanggungjawab menyebabkan kematian lebih daripada 600 orang sejak tahun 1633 hingga 1651. Walau bagaimanapun, jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi.
Pengakhiran Ratu Racun
Giulia akhirnya menerima nasib yang sama seperti ibunya. Giulia, anak perempuannya serta tiga pembantunya dihukum gantung di Campo de Fiori di Rom. Seramai 40 pelanggannya dari golongan bawahan juga dikenakan hukuman gantung manakala pelanggan dari kelas atasan pula dipenjara dan ada yang melarikan diri.
Malah, legasi Aqua Tofana berterusan walaupun selepas kematian Giulia. Seorang komposer terkenal dunia iaitu Wolfgang Amadeus Mozart juga dipercayai mati akibat racun itu.
Walaupun Aqua Tofana meninggalkan kesan dalam sejarah, tiada siapa pada hari ini yang tahu apakah resipi sebenar racun itu.