Gambar sekadar hiasan.
Bagi individu dewasa, bekerja dalam suasana bercampur gaul antara lelaki dan wanita sudah menjadi satu keperluan.
Apabila dah bercampur baik lelaki, wanita, suami dan isteri ni, pasti akan wujud perasaan atau tarikan seseorang individu kepada individu lain baik yang berlawan jantinanya mahupun mungkin juga di zaman aneh ini; sama jantina.
BESARKAN TEKS A- A+
Kes-kes curang melibatkan teman sekerja merupakan antara kisah rumahtangga yang sering dikongsikan, sebagai bualan dan juga tauladan. Namun perkara sama terus berlaku.
Mungkin kerana ramai individu khasnya di kalangan masyarakat Islam tidak menyedari mengganggu pasangan orang lain, adalah satu kesalahan yang boleh disabitkan hukuman. Apa kesalahan yang dikategorikan sebegitu?
1. Kesalahan muncikari
Aa makna muncikari?
Perbuatan muncikari ditakrifkan sebagai tindakan seseorang individu yang menjadi orang tengah di antara seorang lelaki dan seorang wanita lain, dengan tujuan memudah atau melincirkan perbuatan yang menyalahi hukum syarak.
Sebagai contoh, antara perbuatan yang dikategorikan muncikari adalah seperti membantu rakan yang ingin berkhalwat dengan isteri orang atau mungkin juga...isteri sendiri.
Diletak di bawah seksyen 28 enakmen kesalahan jenayah syariah, seseorang yang disabitkan kesalahan muncikari boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama 3 tahun atau disebat enam kali atau dihukum mana-mana gabungan hukuman yang disenaraikan.
2. Melarikan isteri orang
Jangan terkejut jika kami katakan kes wanita bergelar isteri lari mengikut lelaki lain, sudah menjadi asam garam yang perlu ditempuh di mana-mana mahkamah syariah.
Kami tidak tahu siapa yang harus lebih dipersalahkan, si isteri atau lelaki yang membawanya lari?
Walaupun sudah jelas status seorang wanita bergelar isteri, kadang-kadang memang ada kategori lelaki yang suka menggoda isteri orang; kerana mereka melihat tindakan itu sebagai cabaran kepada mereka.
Lagilah suka mereka kalau berjaya, rumah tangga orang lain porak peranda hanya kerana dia.
Si isteri pula entah kenapa mudah terpesona.Nak kata handsome sangat pun taklah juga.
Jika seseorang individu lelaki disabit kesalahan melarikan isteri orang, dia bakal berdepan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara 3 tahun atau 6 kali sebatan atau mana-mana kombinasi denda yang disenaraikan di bawah seksyen 44.
Bagi si isteri pula yang telah lari, mahkamah syariah berhak memerintahkan wanita itu dihantarkan kembali kepada suaminya.
3. Bersedia nak melakukan hubungan luar nikah
Dalam sesetengah situasi, mungkin ada lelaki dan wanita tak kiralah yang bujang mahupun sudah berkahwin ada terasa keinginan nak memadu asmara dengan si dia walaupun bukan bergelar suami isteri.
Kedua-duanya bertemu, membeli peralatan yang dirasakan perlu kemudian sama-sama berpegangan tangan menuju ke kediaman atau hotel untuk melampiaskan berahi yang terpendam.
Baru turun kereta belum buat apa-apa, ditahan pegawai jabatan agama. Ini juga adalah satu kesalahan.
Mana-mana individu yang didapati menjalankan tindakan yang menuju ke arah hubungan luar nikah tetap dikira sebagai satu bentuk jenayah, walaupun mereka belum melakukannya.
Mereka juga layak dihukum sama seperti hukuman yang kami sebutkan atas, di bawah seksyen 30 enakmen kesalahan jenayah syariah.
4. Sengaja mengganggu rumahtangga orang
Manusia ni ada yang pelik sifatnya.
Kadang-kadang dia tak boleh tengok orang lain lebih bahagia dari dia, jadi dia mula menjalankan strategi bagaimana untuk 'tidak membahagiakan orang lain.'
Ada kawan karib yang sengaja hasut kawannya supaya hidup macam bujang, tak perlu dipedulikan hal rumahtangga.
Ada kenalan yang saja mahu melaporkan keburukan si isteri di pejabat kepada suaminya, supaya si suami benci pasangannya. Kesimpulannya, memang ada bermacam cara manusia ni berusaha nak rosakkan kebahagiaan pihak lain.
Tindakan dengan sengaja mengganggu rumahtangga orang lain adalah satu perbuatan jenayah, walaupun tindakan itu tidak melibatkan sebarang bentuk hubungan curang atau luar nikah.
Atas kesalahan itu, seseorang pengacau boleh disabitkan kesalahan di bawah seksyen 43 enakmen jenayah syariah yang membawa kepada denda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya.
5. Suka hasut orang lain bercerai
Kadang-kadang kawan kita datang minta nasihat dari kita pasal isu rumahtangga dia.
Kita ni pun yang dah naik angin dengar kerenah pasangan dia pun cadangkan supaya dia bercerai sajalah. Habis cerita!Nak dipanjangkan cerita, sudahlah kita cadang dia supaya cerai - kita juga cadangkan kepada dia agar buat bodoh saja pasal semua hal rumahtangga dia. Biar pasangan dia faham hati dia yang dah remuk ni. Tak payah lagi basuh pinggan atau sidai baju.
Tidak ramai menyedari sekiranya pasangan kepada kenalan anda tadi tahu peranan anda menghasut supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab, dia boleh melaporkan tindakan anda kepada mahkamah syariah atas tuduhan seksyen 46 enakmen kesalahan jenayah syariah.
Seseorang yang menghasut, memujuk atau memaksa mana-mana individu baik lelaki atau perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan, boleh disabitkan kesalahan dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-dua jenis hukuman sekali.
Haa, lepas ni kalau nak menasihatkan orang perihal rumahtangga tu, berhati-hatilah sikit. Sebab pulut santan binasa. Sebab mulut, kita tak pasal-pasal ke penjara.