Ketika di penghujung kehamilan di mana si isteri sudah hampir dengan tarikh melahirkan anak, adalah amat penting bagi para suami untuk mengetahui apa yang harus mereka lakukan. Sering terjadi si suami tidak membuat persediaan bagi menghadapi saat-saat akhir serta hari isteri melahirkan anak.

ibu hamil gembira

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerana kurangnya pengetahuan oleh para suami, si isteri sering dibiarkan sendirian dan melakukan kerja-kerja yang perlu bagi menyediakan keperluan material dan juga emosi menjelang harinya. Sebagai suami yang bertanggungjawab, anda perlu mengetahui tugas dan kewajipan anda.

iluminasi.com ingin berkongsi 5 perkara yang perlu dilakukan oleh para suami menjelang saat hampirnya waktu isteri melahirkan anak.

1. Mohon cuti lebih awal dan teman isteri

sentiasa di sisi isteri 553

Pastinya anda sudah tahu bila tarikh isteri anda akan melahirkan anak. Jadi, adalah lebih baik anda memohon cuti lebih awal supaya boss anda mudah untuk meluluskan cuti dan juga tidak kelam kabut di saat-saat akhir, lebih-lebih lagi jika anda diarahkan untuk outstation.

Perkara terbaik yang anda boleh lakukan adalah menemani isteri anda setiap masa di hujung-hujung kehamilannya supaya isteri anda berasa tenang dan moodnya sentiasa dalam keadaan baik bagi memudahkan proses bersalin.

Elakkan pertengkaran dan pergaduhan ketika ini. Lebihkan bersabar dengan kerenah isteri walaupun ia tidak masuk akal, kerana isteri anda sedang mengandungkan anak anda, sesuatu yang anda tak akan faham. Sebolehnya, layan sahaja apa yang isteri inginkan, bak permaisuri.

Dan kalau anda kaki main game, berhenti main game dan fokus pada isteri. Game lain kali boleh sambung.

2. Kurangkan rasa sakit dan sengal isteri dengan mengurut

Semakin hampir tarikh bersalin, si isteri akan kerap mengalami kekejangan dan sakit di pangkal peha dan punggung serta otot-otot sendi. Untuk mengurangkan kesakitan dan kekejangan ini, anda sebagai suami harus mengambil inisiatif membantu isteri anda dengan mengurut bahagian tangan dan kaki mereka dengan lembut.

Kebanyakan suami langsung tak peka terhadap situasai ini. Jangan tunggu sehingga isteri anda mengeluh sakit-sakit barulah anda nak buat sesuatu. Jadilah suami yang sentiasa menjaga keperluan isteri, lebih-lebih di saat genting seperti ini.

Suami perlu tahu bahawa sentuhan suami mempunyai kesan magis terhadap isteri yang boleh menenangkan dan mengurangkan tekanan mereka.

3. Sediakan keperluan peribadi isteri

barang keperluan

Sebelum isteri anda dimasukkan ke hospital untuk melahirkan anak, terdapat beberapa perkara yang perlu disediakan antaranya adalah pakaian dan keperluan peribadi isteri anda. Ia adalah lebih baik jika dilakukan lebih awal untuk mengelakkan kelam-kabut jika berlaku kecemasan.

Sangat kerap berlaku bila si isteri terpaksa dikejarkan ke hospital dan disebabkan tiada persediaan, tiada pakaian dan keperluan untuknya ketika berada di hospital.

Sebagai suami yang bertanggungjawab, anda haruslah mengemas dan menyediakan keperluan isteri anda. Jangan biarkan isteri anda melakukan kerja seperti ini, biarkan dia berehat.

Bak gen-Y utara selalu cakap, awai tak kalut!

4. Tenang dan bantu isteri saat melahirkan anak

Ini adalah perkara terpenting, di mana suami menjadi penenang kepada isteri ketika sedang melahirkan anak. Isteri anda sangat memerlukan sokongan daripada anda saat ini. Suami tak akan pernah rasa apa yang isteri rasa ketika ini, jadi sekurang-kurangnya suami perlu berada di sisi dan menjadi penenang dan penyokong si isteri yang sedang bertarung.

Jangan panik dan takut, kerana ia akan menambahkan lagi tekanan kepada si isteri. Adalah lebih baik jika anda melatih mental isteri lebih awal kerana ia sedikit sebanyak membantu ketika sedang melahirkan. Jika anda jenis yang sibuk bekerja, pastikan di saat ini anda berada di sisi isteri jika anda tak dapat membantu perkara-perkara seperti yang di atas.

Saat inilah waktu sebenar anda menunjukkan bahawa anda amat menyayangi isteri anda sepenuh jiwa.

5. Jangan biarkan isteri keseorangan selepas melahirkan anak

keluarga bahagia

Selepas selesai melahirkan anak, pastinya anda akan sangat teruja untuk menatap wajah anak anda yang comel itu. Tapi ingat, jangan terlalu sibuk menatap anak sehinggakan anda mengabaikan isteri anda yang sedang lemah. Anda perlu berada di sisi isteri dan memberi kata-kata semangat serta memuji-muji supaya mood isteri sentiasa dalam keadaan baik.

Ketika ini isteri anda berasa sangat letih dan dengan anda di sisi, pastinya akan memberikan kekuatan dan semangat baginya. Cium dahi dan usap pipi isteri anda, kerana sentuhan anda adalah segalanya bagi si isteri.

potong bawah 981

Wallahualam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)