Oleh pada 22 Jul 2020 kategori

Seandainya kami sebutkan kepada anda siapakah ketua kepada keluarga, majoriti antara anda pasti akan menyebut bapa atau suamilah yang akan bertindak sebagai ketua.

Namun untuk satu komuniti kecil yang tinggal berdekatan dengan sempadan Tibet dinamakan sebagai Mosuo, tradisi masyarakat di situ meletakkan wanita sebagai ketua kepada keluarga.

Bukan setakat itu saja, seseorang lelaki pula dianggap tidak perlu memainkan peranan sebagai seorang bapa dan perkahwinan pula - hanyalah satu ikatan yang tidak bermakna bagi mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam erti kata lain, kehidupan di situ berkisar kepada kedudukan wanita sebagai ketua kepada keluarga dan seorang lelaki hanyalah penderma benih, apabila zuriat dimahukan mana-mana wanita.

Masyarakat pengamal tradisi aneh

mosuo women wanita ketua keluarga

Sehingga kini dianggarkan lebih 40,000 orang etnik Mosuo masih hidup, majoritinya di sekitar Tasik Lugu yang terletak dalam wilayah Yunnan serta beberapa kawasan tinggi di banjaran Himalaya.

Berbeza dengan majoriti masyarakat dunia, orang Mosuo mengamalkan sistem warisan keluarga yang meletakkan beban sepenuhnya kepada kaum wanita - berlawanan dengan sistem patriarki yang lebih popular.

Sistem sosial ini yang dikelaskan sebagai sistem matrilineal menjadikan wanita sebagai pewaris sepenuhnya mana-mana keluarga, diberikan hak sebagai ketua, hak membuat keputusan serta pewarisan harta.

Anak yang lahir juga akan mewarisi nama keluarga ibunya.

Walaupun satu ketika dulu sistem ini sangat popular di China, berikutan perubahan zaman sistem matrilineal mula digantikan dengan patrilineal yang cenderung ke arah bapa/lelaki.

Etnik Mosuo dipercayai merupakan satu-satunya kaum etnik minoriti di China yang masih terus berpegang kepada tradisi ini, menjadikan komuniti mereka berada dalam satu kedudukan yang unik serta layak dikatakan melawan arus peredaran zaman.

Tradisi perkahwinan tidak mutlak

lelaki mosuo peranan bapa

Dalam budaya orang Mosuo, tidak wujud istilah perkahwinan tradisional antara seorang lelaki dan seorang wanita yang biasa kita ketahui. Apa yang ada adalah sistem yang dikelaskan sebagai 'zǒu hūn in' atau 'perkahwinan berubah-ubah' di mana tidak ada istilah suami atau isteri digunakan.

Hubungan lelaki dan wanita dalam masyarakat Mosuo bermula dengan upacara tari menari yang dianjurkan. Pihak lelaki perlu meminta izin untuk bersuai kenal dengan wanita yang disukainya, dengan menyentuh tangan wanita tersebut semasa tarian.

Persetujuan wanita itu dianggap sah sekiranya wanita tersebut kembali menyentuh tangan lelaki itu sebelum tarian tamat, menandakan bermulanya hubungan antara kedua-duanya.

Selepas kedua-duanya setuju, pasangan tersebut perlulah melaporkan hubungan mereka kepada ketua komuniti bagi tujuan kebenaran dan mereka bolehlah menjalinkan hubungan, sama ada secara intim atau tidak.

Apa yang berlaku kepada pasangan itu selepas itu terpulang kepada pasangan tersebut sama ada merancang mahu hubungan panjang, sekadar mahu melepaskan kehendak seksual, mahu menimang cahaya mata atau sekadar mahu berhubungan satu malam sahaja.

Bagi mereka yang memilih untuk berhubungan panjang sehingga mendapat cahaya mata, hubungan itu harus difahami sejak mula tidak bersifat eksklusif dan bukanlah satu ikatan yang sah. Kedua-duanya tetap hidup berasingan dengan keluarga masing-masing tetapi boleh bertemu hanya pada waktu malam.

Seandainya wanita itu sudah mengandung - situasi mereka akan lebih menarik untuk dicerita.

Anak tanpa perlu campur tangan bapa

lelaki mosuo bapa perkahwinan

Disebabkan oleh tradisi matrilineal komuniti Mosuo, lelaki yang membuntingkan pasangannya tidak dianggap sebagai bapa kepada anak itu.

Sebaliknya lelaki itu atau bapa kepada kandungan tersebut 'dibebaskan' daripada tanggungjawab seorang bapa, digantikan dengan adik-beradik lelaki dan pakcik wanita tersebut yang akan bertindak membesarkan anak-anak dalam keluarga mereka.

Disebabkan oleh sistem ini, layak dikatakan lelaki dan wanita dalam komuniti Mosuo sebenarnya bebas melakukan hubungan seksual dengan mana-mana individu lain yang mereka berkenan - namun tradisi bertukar-tukar pasangan dengan giat semakin lama semakin kurang dilakukan.

Kini lebih ramai wanita etnik Mosuo memilih untuk kekal dengan seorang pasangan sahaja setiap malam, walaupun secara zahirnya mereka bebas untuk memilih sesiapa saja yang mereka dambakan.

Generasi-generasi Mosuo terdahulu dikatakan mengamalkan kehidupan lebih longgar, sehingga ada wanita yang memiliki lebih 50 pasangan sepanjang hidup sehingga tidak tahu siapakah ayah kepada anak-anaknya.

Walaupun demikian, perkara itu tidaklah dipandang serong mereka kerana mereka tahu, tugas membesarkan tidak akan melibatkan bapa kandung anak tersebut.

Hidup sebumbung pelbagai generasi

keluarga besar orang mosuo

Bagi menyokong sistem hidup tersebut, semua keluarga orang Mosuo mengamalkan corak hidup yang unik. Ketua keluarga mereka yang utama, adalah nenek diikuti anak perempuan pertama.

Semua adik beradik akan tinggal serumah bersama ibu bapa sepanjang hayat, tanpa ada individu dari keluarga luar dibenarkan tinggal sebagai ahli rasmi rumah tersebut.

Semua individu lelaki dalam keluarga wajib memainkan peranan membesarkan anak saudara mereka daripada kecil sehinggalah besar, daripada semua segi termasuklah kewangan.

Bagi lelaki yang mempunyai pasangan, mereka perlulah menyelinap masuk ke rumah keluarga pasangan mereka sekitar jam 12 tengah malam atau 1 pagi dan meluangkan masa bersama.

Apabila tiba jam 5 ke 6 pagi, lelaki tersebut perlulah bergegas keluar meninggalkan rumah pasangan mereka kerana mereka tidak dibenarkan untuk terus berada di situ.

Ada pasangan lelaki yang mahu memainkan peranan yang lebih besar kepada anak kandungnya, namun interaksi mereka berdua nyata berdepan kekangan - disebabkan oleh keperluan untuk lelaki tersebut menjaga anak saudara yang ada, mengehadkan masa untuk dia melawat atau menjaga anak kandungnya sendiri.

Kenapa orang Mosuo amal cara hidup begini?

mosuo women wanita

Pasti anda sedang menggelengkan kepala cuba menghadam corak hidup mereka, tetapi bagi orang Mosuo - tradisi sebegini membawa banyak faedah.

Yang utama, kesan perceraian yang selalunya akan memberikan kesan buruk pada kanak-kanak tidak wujud, disebabkan oleh ketiadaan sistem perkahwinan itu sendiri. Anak-anak tahu pakcik dan makcik mereka akan senantiasa ada untuk membesarkan mereka, tidak lagi perlu diganggu fobia 'ayah lari' yang kerap melanda pasangan biasa.

Kebebasan untuk memilih pasangan secara terbuka, tidak eksklusif dan tidak terikat dikatakan orang Mosuo memberikan mereka lebih banyak kebebasan dalam merancang hidup.

Sistem rumahtangga yang mewajibkan semua anak beranak tinggal dengan ibu mereka, tanpa kemasukan orang luar membolehkan warga tua di Mosuo mendapat penjagaan anak kandung setiap masa.

Bagi pasangan pula , liberalisasi dalam memilih pasangan membolehkan masyarakat Mosuo bebas daripada perasaan-perasaan negatif yang kerap melanda pasangan lain, seperti rasa cemburu atau cenderung untuk mengongkong pasangan.

Keterbukaan yang diamalkan membolehkan sesiapa saja jadi pasangan kepada sesiapa saja, menyebabkan perhubungan di sana berlaku dalam suasana yang dipercayai lebih positif.

Begitulah kisah orang Mosuo di China, di mana wanita diangkat sebagai ketua keluarga dan label suami serta isteri, tidak wujud kerana bagi mereka kedua-duanya tidak membawa sebarang makna.

Rujukan

The Place In China Where The Women Lead




Hakcipta iluminasi.com (2017)