Hati wanita ibarat ombak di tengah lautan.
Ada masanya tenang, ada masanya kuat membantai. Ada pasang surutnya, ada waktunya air tenang jangan disangka tiada bahaya. Ketidaktentuan ini menyebabkan golongan suami berhadapan detik sukar dan getir, tatkala mahu meluahkan hasrat mengahwini isteri nombor dua.
Sehinggakan ramai suami memilih untuk merahsiakan sahaja rancangan perkahwinan kedua; sanggup digelar penipu dan isteri keduanya dibenar bergelar perampas, daripada memberanikan diri berterus terang.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi segelintir minoriti lelaki yang berani, mereka mampu menyuarakan hasrat terpendam tetapi sayangnya kurang faham apa isi hati isteri tatkala mendapat berita itu. Ini makna lenggok tubuh isteri jika diberitahu suami mahu mereka bermadu.
1. Marah
Ini adalah reaksi biasa atau standard yang kami rasakan majoriti lelaki kena hadap, selepas memberitahu isteri mereka.
Normal untuk seorang wanita marah. Tak ada siapa suka diduakan. Anda bayangkan sendiri apa perasaannya seorang wanita diberitahu dia perlu berkongsi kasih sayang anda yang ada.
Seandainya seorang wanita benar-benar marah dan bukan marah-marah manja, bertahan dan sabar. Berikan dia masa untuk memproses apa yang telah berlaku.
Reaksi marah menandakan anda perlu membenarkan isteri memikirkan sendiri baik buruk permintaan anda. Jangan desak dia sehinggalah isteri sendiri yang bertanya kembali tentang isu tersebut. Kata kuncinya di sini, sabar. Jangan gopoh.
Peluang untuk berjaya - 3/5
2. Melakukan serangan fizikal
Ada wanita yang marah apabila dia tahu hasrat anda. Ada wanita yang bertindak balas dengan cara fizikal, sama ada dengan menggunakan penampar, senjata, senduk, pisau atau batu lesung.
Jika isteri anda duduk dalam kategori ini, besar kemungkinan reaksi sebegitu terjadi kerana sikap anda sendiri sebagai seorang suami yang selama ini mungkin tak reti menghargai isteri anda.
Susah seorang wanita nak melakukan kekerasan melainkan dia rasa hajat anda itu sesuatu yang benar-benar di luar kelayakan anda sebagai suami.
Ini kerana ada kemungkinan isteri anda sebenarnya dah fed-up dengan perangai dan tindak tanduk anda...tiba-tiba anda datang beritahu dia nak kahwin lain.
Semua kepanasan hati, dendam dan amarah yang dia simpan selama ini akan terhambur keluar seperti gunung api meletus kerana keberanian anda nak beristeri dua, sedangkan isteri anda sendiri rasa anda tak reti jaga dia.
Peluang untuk berjaya - 1/5 melainkan anda lepaskan isteri anda.
3. Diam
Ini adalah reaksi yang paling ditakuti.
Seperti kami nyatakan di atas, emosi wanita sukar dibaca. Apabila mereka diam, ketika itu jugalah seorang wanita jadi tertutup hati dan emosinya.
Kita sebagai lelaki nak ramal macam mana lagi, kalau lepas diberitahu dia terus bangun beredar ke dapur basuh pinggan atau masuk ke bilik tidur solat sunat sambil berdoa panjang, tanpa berkata sepatah apa pun kepada kita selepas kita berani berterus terang.
Kami andaikan wanita yang diam selepas diberitahu suami mahu berkahwin dua sedang terkejut, tidak pernah membayangkan mereka perlu mengharungi dilema sebegitu.
Seperti seorang wanita yang marah, beri mereka ruang. Jangan desak apa-apa, teruskan hidup seperti biasa dan tunggu sehinggalah mereka yang kembali bersuara tentang topik tersebut. Kalau mereka buka.
Ada kemungkinan juga anda akan lihat isteri anda berubah jadi lebih manja dengan anda, kerana itu adalah usaha terakhir dia mahu anda berubah fikiran dan kekal setia dengan dia.
Peluang untuk berjaya - kami tak tahu.
4. Menangis minta cerai
Ada wanita yang tegas memohon agar dirinya diceraikan, selepas tahu niat suaminya tanpa kompromi. Wajarkah kita salahkan wanita sebegini? Tidak.
Walaupun perkahwinan lebih seorang dibenarkan dari sisi agama Islam, wanita yang bergelar isteri juga ada hak untuk menentukan adakah dia sanggup berkongsi rumahtangganya dengan wanita lain. Janganlah hanya lihat hak suami saja ya!
Suami boleh cuba memujuk isteri, terangkan bagaimana rancangan dan sistem yang bakal anda laksanakan dalam mentadbir urusan rumahtangga yang bakal berganda.
Tetapi bagi kami dalam situasi sebegini, isteri anda adalah pemegang kata putus kerana perkahwinan itu turut melibatkan hidup dia. Jika dia berkeras mahu dilepaskan, hormati keputusan dia. Lepaskan saja walaupun berat hati kita.
Jika dia akhirnya bersetuju bermadu dalam terpaksa dan juraian tangisan air mata, ingat jasa dan pengorbanan isteri anda itu. Jangan sama sekali mengecewakan apa yang telah dia korbankan untuk anda.
5. Ketawa besar
Anda duduk di sebelah isteri anda. Anda luahkan hasrat anda mahu mengahwini seorang wanita lain.
Isteri anda menjeling anda...kemudian dia ketawa besar mengekek-ngekek gelaknya. Sampai berguling-guling atas lantai dia sakit perut menahan sakit ketawa.
Apa maknanya? Ini maknanya anda sebagai seorang suami adalah suami yang gagal.
Ada kemungkinan besar duit belanja rumah, kereta, anak-anak dan duit makan anda pun datang dari 'handbag' isteri. Duduk pun di rumah yang dibeli isteri. Hutang motorsikal atau kereta pun kereta isteri yang bayar.
Lepas tu anda berani nak kahwin lagi seorang? Kami yang lelaki pun akan ketawa berguling-guling sama jika anda menepati ciri di atas dan anda masih ada azam nak kahwin dua.
Secara serius, sekiranya isteri anda ketawa besar tatkala anda meluahkan niat hati anda - itu menandakan isteri anda tahu anda sebenarnya langsung tak berkemampuan nak kahwin dua, tapi masih gatal nak menduakan dia.Nasihat kami kepada suami seperti ini, batalkanlah niat anda. Jangan dikecewakan bahu orang yang anda bergantung harap sekian lama. Berkemungkinan besar, isteri anda boleh hidup tanpa anda tetapi memilih untuk kekal dengan anda.