Permainan Dam Ular atau Snakes and Ladders kini dianggap sebagai permainan papan klasik yang diminati oleh kanak-kanak di seluruh dunia. Permainan ini sangat popular suatu masa dahulu sebelum adanya gajet dan teknologi.
Sewaktu kecil, anda juga pasti pernah memainkan permainan papan dadu ini bersama jiran, rakan-rakan atau saudara-mara bagi mengisi masa lapang. Permainan Dam Ular ini mudah untuk difahami dan dimainkan untuk setiap lapisan umur.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun permainan Dam Ular ini diketahui oleh kebanyakan orang, namun tidak ramai yang mengetahui mengenai sejarah dan asal-usul bagaimana terciptanya permainan ini. Sebenarnya, Dam Ular merupakan ciptaan masyarakat India kuno dan bukannya dimainkan sebagai hiburan semata-mata.
Permainan pengetahuan
Permainan papan dadu Mokshapat
Pada mulanya, permainan Dam Ular ini dikenali dengan beberapa nama seperti 'Mokshapat', 'Moksha Patamu' atau yang paling popular ialah 'Gyan Chaupar' (bermaksud permainan pengetahuan).
Gyan Chaupar merupakan permainan agama Hindu. Tidak dapat dipastikan siapa yang mencipta permainan ini atau bila ia diciptakan. Walau bagaimanapun, pakar sejarah telah membuat andaian bahawa permainan ini telah dimainkan di India seawal ke-2 Masihi.
Sesetengah pakar pula berpendapat permainan ini dicipta oleh seorang yang bernama Dnyaneshwar (atau Dnyandev). Dia merupakan seorang sami kudus yang tinggal di Marathi pada abad ke-13 Masihi.
Dnyaneshwar
Walau apa pun sangkaan ahli sejarah, Gyan Chaupar ini sudah menjadi permainan papan dadu yang sangat popular di kalangan kanak-kanak semasa era India purba.
Walaupun dikatakan bahawa permainan Gyan Chaupar ini sama dengan Dam Ular yang dimainkan pada hari ini, namun papan dan objektif utama permainan ini agak berbeza. Tidak seperti Dam Ular moden, bilangan kotak dalam permainan Gyan Chaupar mempunyai beberapa versi yang berbeza.
Prinsip agama Hindu
Permainan papan dadu Moksha Patamu
Salah satu versi papan 'Dam Ular' India purba ini mempunyai 72 kotak sementara yang lain pula mempunyai sebanyak 100 kotak. Walaupun mempunyai perbezaaan antara versi tradisional dan moden, tetapi kelebihan seperti 'tangga' dan kekurangan seperti 'ular' ditempatkan di tempat yang seakan-akan sama.
Sebagai contoh, papan permainan Gyan Chaupar mempunyai sebanyak 72 kotak di mana nombor 24, 44 dan 55 mempunyai nasib buruk, pengetahuan palsu dan juga ego. Memandangkan permainan Gyan Chaupar memberi penekanan yang besar kepada prinsip Karma dalam Hindu, setiap petak 'ular' mempunyai kesan yang sama dan mewakili perkara buruk seperti kesombongan, hawa nafsu dan ilusi.
Di sudut lain pula, sifat seperti kesucian, kepercayaan dan hati murni terkandung pada kotak bernombor 10, 28 dan 46. Dalam versi Gyan Chaupar ini, matlamatnya adalah untuk mencapai kotak bernombor 68 yang mewakili dewa Shiva.
Gyan Chaupar
Bagi permainan papan Mokhsa Patamu yang mempunyai 100 petak pula, beberapa petak dalam permainan ini mewakili nilai baik dan ada petak yang mewakili nilai buruk. Akan tetapi, nilai baik (tangga) hanya mewakili 5 petak sahaja di dalam keseluruhan papan manakala nilai buruk (ular) pula mempunyai sebanyak 12 petak.
Diadaptasi dalam agama lain
Permainan ini menjadi begitu popular sehingga ia juga telah diadaptasikan dan disesuaikan dengan agama-agama lain yang wujud di benua India ketika itu. Antara agama lain yang diketahui mengadaptasi permainan Gyan Chaupar di India adalah seperti Jainisme, Buddhisme dan juga Islam.
Walaupun isi kandungannya sedikit berbeza, namun ia tetap sama kerana mengandungi konsep yang mewakili sebab dan akibat, pahala dan dosa serta balasan baik dan hukuman.
Dam Ular versi Islam zaman India purba
Bagi penganut-penganut agama ini, permainan ini dimainkan sebagai salah satu bentuk meditasi atau latihan komunal. Permainan Dam Ular ini bahkan dianggap sebahagian daripada kajian agama tanpa perlu membaca banyak buku atau menghadiri pembelajaran konvensional.
Boleh dikatakan setiap Dam Ular atau Gyan Chaupar yang berbeza mengikut agama ini adalah salah satu karya seni dalam bidang mereka sendiri. Ini kerana papan permainan ini mengandungi ilustrasi yang agak rumit mengenai tokoh manusia, seni bina, flora dan fauna.
Pada waktu itu, papan permainan Dam Ular ini biasanya diperbuat daripada kain yang dicat di atasnya dan terus diperkembangkan sehingga pertengahan abad ke-18 Masihi.
Permainan moden
Permainan Gyan Chaupar ini menjadi permainan Dam Ular atau Snakes and Ladders moden menjelang akhir kurun ke-19 apabila ia mula diperkenalkan kepada Great Britain oleh penguasa kolonial India.
Walaupun permainan asal ini masih dikekalkan, namun mesej dan falsafah yang mendasarinya sangat berkurangan. Dalam permainan Dam Ular moden, penerapan agama digantikan dengan lukisan kartun yang dikaitkan dengan ular dan tangga.
Di samping itu, bilangan ular dan tangga juga telah menjadi sama banyak sementara permainan asal Gyan Chaupar memiliki lebih banyak ular daripada tangga. Gyan Chaupar yang asal cuba menerapkan kepercayaan bahawa lebih mudah seseorang itu menjadi mangsa nafsu berbanding menegakkan kebajikan.
Bermula dari Great Britain, permainan Dam Ular ini sampai ke Amerika Syarikat di mana ia telah diperkenalkan oleh Milton Bradley pada tahun 1943 sebagai Chutes and Ladders.
Rujukan:
1. Medium
4. I See India