Kesan perjanjian antara penjajah satu masa dahulu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada rantau kita.
Tinggalan budaya, tradisi, bahasa, sempadan geografi dan bermacam lagi perubahan mengubah norma masyarakat kita sehingga ke hari ini, semuanya dilakukan melalui perjanjian di antara kuasa Eropah satu masa dahulu yang bersaing sesama mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Salah satu perjanjian yang berlaku pada tahun 1667 antara dua kuasa penjajah melibatkan Britain dan Belanda, telah memberikan impak besar kepada dua negara. Satu, Amerika Syarikat. Kedua, Indonesia. Apa ceritanya?
Konflik besar antara penjajah
Sekitar pertengahan abad ke 17, berlaku persaingan kuat di antara kuasa Eropah iaitu antara England, Republik Belanda, Perancis dan Denmark-Norway dalam meluaskan pengaruh dan kekuatan ekonomi mereka.
Persaingan sengit dalam isu ekonomi membawa kepada konflik dan perang sesama mereka, dalam usaha menguasai jalan lautan dan perdagangan yang menjadi sumber utama import eksport bahan rempah.
Kepentingan bahan rempah kepada ekonomi dunia menyebabkan kuasa Eropah berlumba-lumba menguasai Asia Tenggara, bermula dengan persaingan antara Belanda, Portugis dan Sepanyol yang mencari tapak ekonomi di sini.
Pada era tersebut, ketiga-tiga kuasa Eropah itu terlebih dahulu berjaya menempatkan diri mereka di Asia Tenggara, menguasai laluan perdagangan berbanding England (Britain) yang pada ketika itu masih belum bergelar empayar serta hanya mengamalkan pemerintahan domestik.
Salah satu lokasi sumber rempah paling berharga yang ada ketika itu adalah Kepulauan Banda, kini terletak di Maluku, Indonesia; menjadi lokasi penanaman buah pala dan bunga cengkih secara besar-besaran serta sering dikunjungi pedagang Arab dan China.
Melihat kemakmuran ekonomi itu, Portugis dan Belanda terlebih dahulu sampai ke Kepulauan Banda, cuba membuka penempatan koloni di situ namun hanya Belanda berjaya, hasil kerjasama penduduk setempat.
Bagi menguruskan urusan kerjasama ini, kerajaan Belanda menubuhkan Syarikat India Timur Belanda atau VOC sebagai wakil mereka di rantau ini.
Selepas berlakunya konflik antara pemimpin setempat dengan wakil VOC yang mengakibatkan beberapa orang pegawai syarikat dibunuh penduduk tempatan akibat dakwaan Belanda melanggar perjanjian, kerajaan Belanda mula mengambil langkah lebih keras bagi melindungi kepentingan mereka di situ.
Mereka mula menggunakan ugutan dan kekasaran dalam memastikan bekalan bahan rempah yang ditanam tidak terganggu. Tindakan ini mula menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk tempatan.
England hadir tanpa diundang
Belanda mengakui keseluruhan Kepulauan Banda merupakan koloni di bawah pentadbiran mereka, jadi apabila England (Britain) hadir ke dua buah pulau bagi mewujudkan kerjasama dengan penduduk tempatan bermula tahun 1616 - tindakan itu dilihat satu tindakan yang melanggar hak mereka yang tiba lebih awal.
Pemimpin dua buah pulau itu yang dikenali sebagai orang kaya Pulau Run dan Pulau Ai memilih untuk memberikan peluang kepada England, ekoran rasa marah mereka terhadap sikap Belanda yang didakwa sering mengambil kesempatan ke atas penduduk setempat.
Situasi ini diburukkkan lagi dengan konflik tidak puas hati antara pemimpin tempatan dengan Belanda, membolehkan England membuka penempatan di kedua-dua buah pulau untuk memudahkan urusniaga rempah dengan penduduk tempatan. Kedua-dua buah pulau itu, adalah kawasan koloni pertama England/Britain di rantau ini.
Bimbang melihat apa yang berlaku di Ai dan Run berkembang, Belanda mula memperkukuhkan kedudukan mereka di Kepulauan Banda dengan membawa masuk kumpulan askar luar. Mereka ditugaskan untuk mengambil alih kuasa pentadbiran dari 'orang-orang kaya' serta pemimpin tempatan masyarakat Banda, dengan taktik keras.
Bagi memadamkan terus pengaruh orang-orang kaya, Belanda mengupah pembunuh upahan Jepun bagi membunuh lebih 40 orang pemimpin seterusnya menjalankan aktiviti keganasan bagi menakutkan dan membunuh orang ramai.
Majoriti penduduk Kepulauan Banda yang pada asalnya dianggarkan sekitar 15,000 orang menurun kepada seribu lebih sahaja, tidak diketahui berapa yang mati dibunuh dan berapa yang melarikan diri.
Baki yang masih lagi kekal dikerah Belanda untuk mengerjakan kawasan pertanian dan perladangan yang ada. Bagi menampung jumlah pekerja yang telah berkurangan, Belanda membawa masuk pekerja dari luar serta kumpulan banduan tahanan untuk dijadikan buruh paksa.
Ancaman British kepada Belanda
Kekuatan England ketika itu yang mula berkembang sebagai satu empayar menjadi ancaman kepada kedudukan Belanda - apatah lagi selepas British berjaya mewujudkan kerjasama erat dengan penduduk di Pulau Ai dan Run - berbeza dengan Belanda.
British menunjukkan penghargaan mereka terhadap kerjasama ini, menerusi pengisytiharan rasmi meletakkan kedua-dua pulau itu sebagai naungan mereka. Tindakan kerajaan British itu dilihat melanggar hak Belanda, yang terlebih dahulu mewartakan dominasi mereka di kedua buah pulau tersebut.
British bergerak pantas memperkukuhkan kedudukan mereka dengan pembinaan kubu, memaksa Belanda bertindak lebih agresif untuk menamatkan penguasaan British melalui serangan ke atas Pulau Ai dan Run yang berlangsung selama 4 tahun.
Hanya selepas kematian wakil British yang mentadbir kedua-dua pulau itu pada tahun 1620, barulah Belanda berjaya mengambil alih Ai dan Run kembali.
Enggan kejadian sama berulang, Belanda melakukan operasi mencari dan membunuh penduduk yang bekerjasama dengan British serta menghalau wanita tempatan keluar, seterusnya menghapuskan kawasan penanaman yang telah dibuka British.
Kedua-dua buah pulau kekal terbiar begitu saja selepas itu untuk tempoh masa yang agak panjang, walaupun konflik perebutan antara kedua-dua kuasa Eropah berlaku secara dingin.
Selepas 18 tahun British cuba kembali
Ekoran daripada pertelingkahan yang berlaku serta keperluan untuk memperkembangkan empayar di benua lain, Pulau Run dan Pulau Ai kekal di bawah Belanda walaupun aktiviti penanaman untuk tujuan perdagangan tidak lagi dijalankan di situ.
British hanya cuba kembali ke jajahan mereka pada tahun 1638 namun gagal untuk melakukan apa-apa. Suasana menjadi tenang di antara hubungan Belanda dan British selepas kedua-duanya menandatangani perjanjian keamanan selepas berperang sesama mereka bermula tahun 1652 hingga 1654, meredakan konflik panjang sesama mereka.
Namun British melihat ada ruang untuk mereka mula melemahkan Belanda.
Pada bulan Ogos tahun 1664, British secara mengejut menghantar empat buah kapal perang ke sebuah pusat jajahan Belanda yang terletak di benua Amerika bernama New Amsterdam, kini terletak di dalam kawasan Manhattan.
Hasil serangan itu serta sokongan penduduk New Amsterdam sendiri yang kurang menggemari Gabenor dilantik Belanda untuk mentadbir, New Amsterdam diserahkan kepada Britain.
New Amsterdam dinamakan semula sebagai New York City, sempena nama gelaran James II, Duke of York.
Taktik licik yang dibuat British merampas salah satu koloni Belanda itu, menjadi salah satu punca utama bermulanya perang kedua antara Britain dan Belanda.
Perang ini berlangsung dari tahun 1665 sehinggalah tahun 1667, hanya ditamatkan selepas kedua-dua pihak bersetuju bertemu di bandar Breda, Belanda bagi menemui jalan tengah.
Jadi, anda mesti tertanya-tanya kenapa sejak mula penulis menceritakan berkenaan Pulau Run di Maluku yang menjurus kepada New Amsterdam/New York City di benua Amerika kan?
Perjanjian Breda dimeterai tahun 1667
Selepas siri-siri konflik, British dan Belanda akhirnya bersetuju untuk duduk berbincang mencari solusi dalam segala isu pertelingkahan mereka.
Salah satu isu yang dibawa ke meja rundingan, berkait dengan isu pemilikan Pulau Run. Isu ini dilihat penting oleh Belanda berikutan keinginan mereka untuk terus menguasai pulau tersebut bagi membolehkan mereka menguasai perdagangan rempah.
British pula enggan menyerah semula New Amsterdam yang telah mereka rampas dari penguasaan Belanda.
Pada era tersebut, Kepulauan Maluku masih merupakan antara kawasan ekonomi terpenting dunia, menjadi pengeksport sumber bahan rempah yang berharga. Sementara New Amsterdam/New York City pula pada ketika itu hanyalah sebuah kawasan yang dikelilingi paya sedang mengalami peningkatan jumlah populasi, jika dibandingkan dengan Pulau Run.
Hasil rundingan itu memberikan kelebihan besar pada Belanda dalam menentukan solusi yang dicapai. Kedua-dua pihak bersetuju hak pemilikan New Amsterdam/New York City diserahkan sepenuhnya kepada British dengan satu syarat.
Syaratnya, Belanda pula diberikan kuasa mutlak untuk menguasai laluan perdagangan dan pembekalan rempah dunia, tanpa perlu lagi bimbang dengan ancaman British di Kepulauan Maluku dan British berjanji tidak lagi campur tangan.
British bersetuju untuk menerima perjanjian ini, memulakan proses perdamaian antara kedua-dua kuasa. New York City kekal dalam tangan Britain, sementara Pulau Run pula kekal di bawah pentadbiran Belanda.
Belanda tersenyum lebar atas perjanjian itu yang sangat menguntungkan mereka, terus menguasai sumber utama rempah dunia tanpa ada lagi gangguan pihak kolonial lain.
British kembali mengganggu Belanda selepas satu abad
Walaupun menguasai pengeluaran rempah dunia sehingga abad ke 19, kuasa politik Belanda semakin lama semakin lemah sehingga memerlukan perlindungan kuasa Eropah lain.
Melihat peluang terbuka, British kembali ke Kepulauan Maluku membawa askar mereka pada tahun 1810. Menggunakan kekuatan ketenteraan, British mengambil alih pentadbiran kepulauan tersebut dan menguasai kawasan penanaman yang telah sekian lama dikawal Belanda.
Tetapi kembalinya British kali ini sebenarnya membawa satu misi lebih penting. Mereka sebenarnya mahu mendapatkan pokok-pokok rempah yang ada di tanam, untuk dipindahkan ke kawasan koloni mereka yang lain.
Selepas perjanjian antara Belanda dan Britain tahun 1814 mengembalikan kepulauan tersebut semula ke tangan Belanda, tuaian pencerobohan British mula menampakkan hasil di Ceylon (India), Grenada (kepulauan Caribbean) dan Singapura, kesemuanya koloni Britain yang dipilih untuk menjalankan penanaman rempah bagi tujuan perdagangan.
Tindakan Britain ini melemahkan penguasaan monopoli Belanda dalam perdagangan rempah, turut meletakkan negara-negara jajahan Britain sebagai negara pengeluar rempah dunia. Nama Kepulauan Maluku yang sebelum itu sinonim sebagai pusat ekonomi rempah mula malap hasil tindakan British.
Bagi New Amsterdam/New York City pula, kita semua tahu apa yang terjadi kepada kawasan berpaya tersebut.
Pergelutan antara golongan koloni dengan pihak pemerintah British membawa kepada pengisytiharan kemerdekaan dan pembentukan United States of America pada tahun 1776, bandar New York City akhirnya berpindah tangan daripada Britain kepada gabungan 13 koloni tersebut.
New York City terpilih menjadi ibu negara pertama Amerika Syarikat, berkembang pesat menjadi antara pusat ekonomi penting dunia zaman moden di bawah pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat.
Republik Indonesia pula ditubuhkan pada tahun 1949, menamatkan penguasaan Belanda di Kepulauan Banda - meninggalkan sejarah pahit yang harus diingatkan pengajarannya kepada generasi akan datang tanpa rasa jemu.
Begitulah kisah bagaimana pulau kecil yang kini terletak di Indonesia ditukarkan dengan New York City di Amerika Syarikat, disebabkan kepercayaan Belanda bahawa potensi Pulau Run sebagai pusat ekonomi dunia jauh lebih cerah, berbanding New York City.
Rujukan