Oleh pada 23 Feb 2020 kategori

Ahli politik yang berkuasa sangat sukar untuk dijatuhkan, apatah lagi apabila mereka merupakan antara individu yang pintar (mungkin juga licik) menangani sebarang bentuk masalah yang mendatangi karier mereka.

Walaupun demikian, salah satu cara paling berjaya yang kerap kali digunakan musuh-musuh dalam menjatuhkan ahli politik adalah dengan pendedahan skandal seksual, seperti apa yang telah berlaku kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton atau bakal PM ke 8 negara kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua-dua pemimpin ini berjaya dijatuhkan ekoran dakwaan ke atas mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Satu kisah yang kerap kali diceritakan berikutan penggunaan skandal seks sebagai senjata utama - adalah kisah video seks melibatkan bapa kepada negara Indonesia, Kusno Sosrodihardjo atau lebih dikenali sebagai Presiden Sukarno, yang merupakan antara kisah yang menarik untuk dipersembahkan.

Penubuhan Indonesia

sukarno beri ucapan

Pada tahun 1945, Presiden Sukarno naik menjadi Presiden pertama kepada negara Republik Indonesia selepas bebas dari campur tangan penjajah. Membawa reputasi sebagai seorang patriot yang sangat sayangkan negaranya, malangnya Sukarno juga mempunyai satu reputasi buruk; dia seorang yang kaki perempuan tahap nafsu kuda.

Berikutan penubuhan Indonesia serta kecenderungan Presiden Sukarno yang mirip dengan ideologi komunis, sebarang penyebaran pemikiran berbentuk ideologi itu dilihat boleh menjadi satu ancaman kepada kuasa barat, khasnya di Amerika Syarikat dan Britain sekiranya dibiarkan bermula. Jadi semasa era pemerintahan beliau, Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat meletakkan Indonesia sebagai satu titik penting di Asia berdasarkan kepada kepentingan dua kuasa besar dunia itu.

Apa yang sangat dibimbangkan Amerika Syarikat adalah kesan 'teori domino' seandainya Indonesia cenderung mesra dengan Soviet, seterusnya menyebabkan pengaruh kesatuan tersebut di Asia Tenggara menjadi lebih kuat.

Bimbang pengaruh Sukarno serta keakraban beliau dengan Soviet, Amerika Syarikat melalui agensi CIA melaksanakan pelbagai operasi bagi membendung pengaruh Sukarno. Sementara itu Soviet sendiri menerusi agensi risikan KGB cuba memerangkap Sukarno, agar beliau mudah dikawal.

Kedua-dua pihak baik Amerika Syarikat dan Soviet, cuba menggunakan satu-satunya kelemahan yang ada pada Sukarno - wanita.

Sukarno yang tidak malu-malu mengaku

sukarno dan isteri

CIA membelanjakan wang jutaan ringgit dalam usaha memerangkap, membeli atau menjatuhkan Sukarno sejak tahun 1950-an. Ini kerana kerjasama Amerika Syarikat, Britain dan Australia merasakan pemerintahan Sukarno akan memberi kesan kepada pengaruh mereka di Asia sekiranya tidak memihak kepada mereka, walaupun siasatan juga mendapati risiko pengaruh komunisme dan Soviet berkembang di Indonesia sangatlah rendah.

Agensi risikan itu menaja gerakan puak pemberontak Indonesia bagi menjatuhkan Sukarno dalam beberapa siri serangan, sebelum CIA sendiri bertindak menjalankan operasi bagi menggantikan beliau pada tahun 1957. Bagaimanapun rancangan itu didedahkan oleh Soviet 3 hari selepas dilancarkan melalui media pro-Soviet; merapatkan lagi hubungan antara Sukarno dan Soviet.

Operasi itu walaupun terbongkar, tetap dijalankan CIA menggunakan Filipina sebagai pusat operasi, namun berjaya dipatahkan dan CIA akhirnya terpaksa memilih menggunakan serangan skandal seks sebagai modal terbaru.

Semasa hayatnya apa yang kita tahu tentang Presiden Sukarno, dia adalah seorang yang sangat terbuka tentang keinginan seksualnya. Dia juga penyokong kuat amalan mengamalkan poligami, sehinggakan dia pernah mempunyai empat orang isteri serta seorang isteri tidak rasmi. Semua ini dilakukan secara terbuka.

Selain itu Sukarno sendiri tidak malu untuk mengakui dia perlu menjalinkan hubungan seks setiap hari, jadi agak menghairankan kenapa CIA memilih untuk menyerang beliau dengan isu seks. Ini kerana kisah seksualiti buas Sukarno sudah diketahui ramai.

CIA mencipta video seks palsu Sukarno

keluarga presiden sukarno

Wujud desas-desus yang mengatakan Sukarno pernah menjalinkan hubungan seks dengan seorang pramugari dari Soviet dan berita ini sampai ke telinga CIA. Mendapat idea dan petunjuk daripada khabar angin itu, sebuah jawatankuasa sementara CIA ditubuhkan bagi menghasilkan video pornografi Sukarno.

CIA menghubungi syarikat-syarikat penerbitan video pornografi di Los Angeles bagi mendapatkan pelakon yang mirip dengan Sukarno. Malangnya, usaha itu gagal kerana tiada pelakon serupa ditemui. Jadi CIA meminda rancangan, mencipta topeng muka Sukarno yang akan dipakai oleh aktor terpilih yang mempunyai tona kulit serupa dengan beliau semasa beraksi.

Selepas pengambaran berjaya dilakukan dan CIA berpuas hati dengan 'produk' yang ada, video itu pun mula dibocorkan ke negara-negara yang dirasakan sesuai; status Sukarno sebagai seorang yang beragama Islam menyebabkan imej dan video itu turut sama diedarkan di negara-negara Asia Barat.

Tujuannya hanya satu - untuk menjatuhkan maruah Sukarno di kalangan rakyat Indonesia yang rata-ratanya beragama Islam dan Kristian serta memalukan Sukarno pada mata negara-negara Islam.

Malang bagi CIA, operasi mereka dalam menghasilkan klip video pornografi yang diberikan judul 'Happy Days' itu tidak memberikan kesan yang diharapkan.

Usaha KGB pula menguasai Sukarno dengan pornografi

sukarno berjalan bersama keluarga dan pengikut

Sekiranya usaha CIA tidak membawa apa-apa hasil, lain pula kisahnya dengan apa yang berlaku dalam usaha KGB Soviet mendedahkan skandal Sukarno. Pada tahun 1960, Presiden Sukarno dijadual akan melawat Moscow dalam lawatan kerja selama beberapa hari.

Bagi mencipta perangkap, KGB yang sudah arif tentang perangai buas Sukarno bertindak mencipta jerat bagi membolehkan mereka mengawal tindak tanduk beliau. Agensi tersebut mengarahkan beberapa orang ejen wanita yang menyamar sebagai pramugari hadir ke hotel di mana Sukarno menginap, sebagai 'hadiah' lawatan.

Atas persembahan itu Sukarno didakwa tidak melepaskan peluang yang berada di depan mata, tidak mengetahui pihak KGB sudah pun memasang kamera dalam bilik tersebut bagi merakamkan video aksi yang berlaku. Video itu diharapkan KGB dapat digunakan sebagai pemudah cara sekiranya mereka perlu mendapatkan kerjasama yang tertentu daripada Indonesia.

Nasib KGB tidak baik malah lebih malang berbanding CIA - apabila ancaman yang dikeluarkan KGB berkaitan video tersembunyi itu tidak dihiraukan Sukarno. Ada juga pihak yang mendakwa selepas diberitahu tentang kewujudan video tersebut - Sukarno meminta agar Kesatuan Soviet memberikannya satu salinan, sebagai simpanan peribadi.

Selepas usaha menggunakan skandal seks tidak berhasil, CIA kembali mencuba mewujudkan kerjasama dengan agensi Britain MI6 dan Foreign Office bagi menjatuhkan beliau. Kali ini mereka menggunakan kaedah lebih licik dan halus, menaja pihak-pihak tertentu dalam tentera Indonesia yang berhasrat mahu mengambil alih kerajaan Indonesia daripada tangan Sukarno, dengan alasan ketiadaan visi yang jelas dalam pentadbiran hala tuju negara.

Usaha selama lebih lima tahun bermula pada tahun 1960 sehinggalah tahun 1966 itu berjaya menjatuhkan Sukarno sebelum Presiden Suharto, Jeneral dalam angkatan tentera Indonesia mengambil alih tampuk pemerintahan negara republik tersebut. Tidak diketahui adakah masih wujud salinan pita video rakaman KGB itu, pada ketika ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)