Kesan penjajah Eropah ke kawasan Asia Tenggara memang sangat dirasai kesannya sehingga ke hari ini berikutan tinggalan budaya, binaan lama, suku kaum yang unik dan pelbagai lagi elemen yang diperkenalkan mereka.
Negara penjajah datang dengan tujuan masing-masing didorong oleh semangat bersaing untuk meluaskan jajahan, sehinggakan boleh pula bertukar-tukar tanah dan kuasa pentadbiran antara sesama mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami sudah melihat beberapa negara di dunia yang belum pernah dijajah penjajah kolonial Eropah atau barat, dengan Thailand saja menjadi negara Asia Tenggara tidak diganggu mereka. Bagi negara-negara lain, nasibnya pula berbeza dengan banyak negara Asia Tenggara mengalami tempoh penjajahan dari barat dalam waktu yang agak lama.
1. Indonesia (1511-1945)
Indonesia ketika itu menerima kesan pengaruh penaklukan Portugis ke atas pelabuhan Melaka pada tahun 1511. Percubaan untuk menguasai perdagangan rempah membuatkan Portugis menakluk pelabuhan Maluku yang terkenal pada tahun 1512. Indonesia kemudiannya dikuasai oleh Syarikat India Timur dari Belanda pada tahun 1602, sebelum diambil alih sebentar oleh British yang kemudiannya kembali semula pada pemerintahan Belanda.
Kemasukan Jepun ke Indonesia mewujudkan kerjasama di antara gerakan nasionalis Indonesia untuk berusaha mencapai kemerdekaan, sebelum tentera Jepun menyerah diri selepas tewas. Insiden ini membantu mempercepatkan kemerdekaan Indonesia dan Presiden Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada 17 Ogos 1945.
Bagaimanapun, pihak Belanda kembali untuk cuba mengambil alih semula pentadbiran Indonesia yang menyebabkan peperangan berlaku, sebelum Belanda menarik keluar tenteranya. Republik Indonesia akhirnya berjaya ditubuhkan secara rasmi pada 17 Ogos 1950, namun tarikh lama 17 Ogos 1945 tetap dipilih sebagai tarikh kemerdekaan Indonesia.
2. Filipina (1521-1946)
Kedatangan penjelajah bernama Ferdinand Magellan tanpa diundang masuk ke Filipina pada 16 Mac 1521 seterusnya memacakkan tanda salib memulakan zaman kolonial di Filipina. Ferdinand mengisytiharkan tanah tersebut sudah menjadi milik Raja Sepanyol dan seterusnya menamakannya Archipelago of Saint Lazarus.
Peperangan yang tercetus di antara Sepanyol dan Amerika pada tahun 1898, menyebabkan tentera Amerika masuk menyerang jajahan kerajaan Sepanyol di Filipina. Berikutan peperangan itu, Sepanyol bersetuju untuk menyerahkan jajahan mereka kepada Amerika Syarikat pada tahun 1899.
Serangan tentera Jepun ke atas Filipina yang dilakukan pada tahun 1941 tidak lama selepas serangan ke atas Pearl Harbour oleh Amerika, memaksa kerajaan tempatan yang ditubuhkan oleh Amerika Syarikat bertindak melarikan diri. Filipina jatuh ke tangan Jepun. Hanya pada 1944, tentera Amerika menerusi Jeneral MacArthur berjaya membebaskan Filipina daripada kawalan Jepun dan Amerika Syarikat mengisytiharkan kemerdekaan Filipina, membolehkan Republik Filipina ditubuhkan secara rasmi pada 4 Julai 1946.
3. Vietnam (1858-1945)
Vietnam mempunyai sejarah penjajahan yang agak pendek. Bebas daripada penjajah selama lebih 900 tahun dengan pemerintahan pelbagai dinasti tempatan, Vietnam jatuh ke tangan Perancis pada tahun 1858 yang memulakan era kolonial Perancis di situ. Perancis ketika itu bukan sekadar berjaya menguasai Vietnam malahan mereka juga berjaya menguasai wilayah Laos dan Kemboja.
Gerakan nasionalis yang bermula menerusi gerakan Dong Du (dasar pandang ke timur) dan Duy Tan (dasar modernisasi) pada tahun 1905 berjaya menerbitkan semangat mencapai kemerdekaan, namun dua gerakan itu dihalang oleh kerajaan Perancis. Kemasukan tentera Jepun ke Vietnam pada tahun 1940 menyebabkan Perancis melarikan diri.
Kekalahan Jepun dalam perang dunia ke 2 menyebabkan ketiadaan kuasa besar yang menguasai Vietnam. Peluang ini diambil oleh Ho Chi Minh, pemimpin parti komunis Viet Minh untuk melakukan pengisytiharan kemerdekaan Vietnam daripada koloni barat.
Namun tentera Perancis kembali ke Vietnam pada tahun 1946, menyebabkan berlakunya perang Indochina pertama yang berakhir pada tahun 1954 antara tentera komunis Vietnam dan Perancis.
Kemenangan tentera Vietnam dalam peperangan itu ekoran dibantu tentera Amerika Syarikat. Berikutan perjanjian yang telah dimeterai dengan Amerika Syarikat, bahagian selatannya diserahkan untuk ditadbir Amerika Syarikat sementara kerajaan Komunis Vietnam memerintah bahagian utara menjadikan wujudnya dua negara yang berbeza, Vietnam Utara dan Vietnam Selatan.
Hasrat Vietnam Utara mahu menyatukan kedua-dua negara mencetuskan peperangan Indochina kedua di Vietnam. Perang ini berlangsung di antara puak diketuai rejim Viet-Cong dari Vietnam Utara yang menceroboh masuk Vietnam Selatan, dengan bantuan dua negara pro Komunis iaitu China dan Soviet Union. Kerajaan Vietnam Selatan yang pada itu sudah pun menubuhkan negara sendiri dibantu menghadapi pencerobohan tersebut oleh Amerika Syarikat.
Peperangan Indochina kedua ini bermula pada tahun 1954. Hanya pada tahun 1975, tentera Vietnam Selatan menyerah kalah kepada Vietnam Utara pada 1975. Setahun berikutnya, Saigon dinamakan sebagai Bandar Ho Chi Minh dan Vietnam yang sebelum ini berpecah, telah berjaya disatukan semula selepas melalui tempoh panjang peperangan saudara.
Vietnam yang telah disatukan menggunakan tarikh 2 September 1945, sebagai menghormati pengisytiharan pertama Ho Chi Minh yang Vietnam sudah bergelar negara merdeka.
4. Brunei (1906-1984)
Brunei merupakan antara negara paling banyak mengalami kerugian akibat penjajahan. Kemasukan penjajah dari Belanda, Portugis dan Sepanyol ke wilayah yang dikuasai Sultan Brunei menyebabkan Kerajaan Brunei hilang banyak kawasan jajahannya walaupun Brunei sebenarnya tidak dijajah.
Berikutan banyak perjanjian yang dilakukan di antara Sultan Brunei dengan penjajah yang tiba, Sultan Brunei bersetuju untuk menyerahkan tanah-tanah yang berada di bawah pemerintahannya sehinggakan pada tahun 1890, kawasan Limbang diambil alih oleh Britain dan diletakkan di bawah pemerintahan Sarawak. Ini menyebabkan kawasan pemerintahan Brunei terpecah dua sehingga kini.
Ekoran ancaman penjajah lain seperti Jerman dan Perancis yang mula masuk ke kawasan Asia, kerajaan Brunei dan kerajaan Britain mewujudkan perjanjian meletakkan Brunei sebagai negara protektorat atau negara yang dilindungi Britain.
Perjanjian itu dinaiktaraf kepada status penuh pada tahun 1906, membolehkan seorang Residen British diletakkan sebagai penasihat Sultan Brunei dalam semua hal kecuali perihal agama dan adat istiadat. Pada tahun inilah bermulanya campur tangan British dalam pemerintahan Sultan Brunei.
Sumber minyak Brunei ditemui buat kali pertama pada tahun 1929 di kawasan Seria. Penemuan ini menukar Brunei daripada antara kawasan paling kurang membangun kepada sebuah negara yang mula berkembang pesat dengan kerajaan Britain ketika itu membantu usaha carigali minyak .
Pada 1971, Sultan Brunei dan Britain bersetuju untuk membatalkan status Brunei sebagai sebuah negara protektorat Britain. Ini membolehkan perlembagaan Brunei diubah, memberikan Sultan Brunei kuasa sepenuhnya untuk memerintah dengan Britain mengawal selia urusan pertahanan dan hubungan antarabangsa.
Bentuk hubungan ini kekal selama 13 tahun sebelum Brunei mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984 melalui pengisytiharan kemerdekaan yang dibacakan oleh Sultan Hassanal Bolkiah .
5. Malaysia / Singapura (1511-1957/1963)
Negara kita dan Singapura sangat rapat kaitan sejarahnya.
Sejarah penjajahan di negara kita bermula dengan kedatangan penjajah Portugis ke Melaka pada tahun 1509 sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis ekoran lokasi strategiknya sebagai salah satu pelabuhan dunia. Ini adalah detik paling awal bermulanya penjajahan Barat ke kawasan Asia Tenggara.
Perang segi tiga di antara Portugis, kerajaan Aceh dan kerajaan Johor yang baru ditubuhkan, selepas kejatuhan kerajaan Melaka menyebabkan keadaan menjadi huru-hara pada ketika itu. Perang yang bermula pada tahun 1613 disertai oleh Belanda yang memilih untuk membantu kerajaan Johor. Kemenangan Johor dengan bantuan Belanda menewaskan Portugis, membuatkan Melaka jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641.
Singapura pada ketika itu musnah selepas dihancurkan Portugis dalam peperangan segi tiga itu dan majoriti kawasan penempatan habis dimusnahkan, membuatkan pulau tersebut diabaikan pembangunannya. Hanya selepas Britain mula mencari lokasi pelabuhan baru untuk dibuka, Stamford Raffles memilih untuk menjadikan pulau tersebut, sebagai pelabuhan ketiga Inggeris di Asia Tenggara pada tahun 1819.
Melalui perjanjian di antara Belanda dan Britain pada tahun 1824, mereka bersetuju untuk bertukar jajahan. Belanda mula menumpukan perhatian kepada Indonesia, sementara Britain mula memperkuatkan genggaman mereka di Singapura dan Malaysia. Bagaimanapun, Britain ketika itu belum berjaya menguasai bahagian utara Malaysia.
Pada 1909, perjanjian di antara Britain dan kerajaan Siam dalam mewujudkan kerjasama ekonomi, membolehkan jajahan Siam diserahkan kepada Britain. Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu menjadi milik Britain.
Kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941 menyebabkan British hilang kuasa. Berikutan kemenangan Jepun itu, kesemua negeri utara yang diserahkan kepada Britain sebelum itu, dipulangkan semula kepada kerajaan Thai. Singapura pula diletak di bawah pentadbiran Jepun dan diberikan nama Syonan-to.
Pemerintahan Jepun tidak kekal lama. Pada tahun 1945 selepas tewasnya tentera Jepun di seluruh dunia, British kembali berkuasa di Malaysia. Rundingan mencapai kemerdekaan dimulakan dan Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Singapura diberikan hak untuk memerintah sendiri pada tahun 1959 dan memilih untuk menyertai persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Selepas pertelingkahan tanpa jalan keluar menyebabkan hubungan pemimpin kedua negara semakin dingin, Singapura mencapai kemerdekaan selepas dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Ini menjadikan Singapura satu-satunya negara di dunia mencapai kemerdekaan dengan cara sedemikian.