Oleh pada 25 May 2022 kategori

Saban hari, berita menceritakan berkenaan usaha syarikat-syarikat gergasi dari luar masuk melabur di Indonesia kerap kedengaran. 

Rundingan dengan syarikat terkenal seperti Tesla yang diterajui antara individu terkaya dunia Elon Musk, mula membuatkan kita di Malaysia iri; mula membanding-bandingkan kemampuan kita menarik minat pelabur masuk. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ramai merungut 'kenapa Malaysia tak berjaya seperti Indonesia?' Lebih malang ramai mempertikaikan visi pimpinan negara kita, dipercayai gagal berbanding kerajaan Indonesia sekarang.

Persoalannya - apa perubahan yang berlaku sehingga menyebabkan pasaran Indonesia mula menarik perhatian dunia?

Dasar pengenalan undang-undang baru cipta pekerjaan 

jokowi ruu cipta kerja

Dalam tahun 2019 selepas memenangi pilihanraya dan kembali memegang jawatan Presiden penggal kedua, Presiden Joko Widodo atau lebih terkenal dengan nama manja 'Jokowi' berikrar akan membawa perubahan baru yang bakal mempertingkatkan kedudukan ekonomi Indonesia.

Sasaran beliau yang diumumkan pada bulan Oktober 2019 adalah untuk menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara lima teratas dalam kedudukan ekonomi dunia, mempunyai kadar sifar masalah kemiskinan serta mempunyai nilai KDNK negara setinggi USD7 trilion dalam tempoh 2 ke 3 dekad.

Bagi membantu memperkembangkan hasrat tersebut serta memacu perubahannya, Presiden Jokowi mahu meminda dasar yang diamalkan kerajaan Indonesia dalam bidang regulasi bagi mempermudahkan kemasukan pelaburan baru, khasnya dari luar. 

Dasar yang diamal di Indonesia sekarang dipercayai terlalu ketat, didakwa merupakan punca utama kenapa pelabur antarabangsa enggan melabur.

Jika dibandingkan negara kita yang diletakkan dalam kedudukan ke 12 dalam senarai negara yang paling senang pelabur masuk, Indonesia berada dalam kedudukan ke 70. 

Sebagai tunjang utama kepada semua perubahan yang mahu dilaksanakan, kerajaan Indonesia melakukan rombakan besar-besaran terhadap undang-undang mereka, melalui pengenalan Rang Undang-Undang Nomor 11 Tahun 2020 Tentang Cipta Kerja (RUU Nomor 11) atau Act Number 11 of 2020 on Job Creation.

Namun, perubahan yang menjadi modal utama kempen pilihanraya Presiden Jokowi telah mendapat tentangan masyarakat Indonesia, sebelum dimaktubkan lagi.

Pro majikan berbanding pro pekerja

ruu cipta kerja omnibus indonesia

Cadangan melaksanakan perubahan besar berkaitan hak dan kedudukan pekerja, mula mendapat tentangan sebahagian besar rakyat Indonesia sebelum draf usulnya sempat dibacakan di Parlimen Indonesia lagi.

Ini disebabkan isi kandungan usul tersebut didakwa bakal mencabuli hak warga Indonesia sebagai pekerja.

Sebulan sebelum dibentang, tunjuk perasaan sudah dimulakan di Jawa pada bulan Januari tahun 2020 - melibatkan golongan pekerja yang bimbang dengan nasib mereka.

Apa yang mereka bimbangi?

Disifatkan sebagai sebuah omnibus atau pindaan besar yang merangkumi pelbagai cabang, pengenalan RUU Nomor 11 setebal 1,028 muka surat memperkenalkan 79 pindaan kepada undang-undang sedia.

Kesemuanya meliputi 11 dasar utama Indonesia termasuklah undang-undang buruh dan pekerja, pelaburan antarabangsa, pelesenan perniagaan, cukai korporat dan akta pengambilan tanah.

Draf ini diusulkan kali pertama pada 12 Februari 2020.

Rumusannya, RUU Nomor 11 bakal memudahkan urusan pelesenan perniagaan, membenarkan pelaburan syarikat luar masuk ke dalam mana-mana industri tanpa sekatan, melonggarkan undang-undang Indonesia sehingga memberikan kuasa penuh kepada majikan yang sangat menguntungkan pihak syarikat.

Jelas sekali apabila hak golongan pekerja disentuh, situasi pasti menjadi tegang. Bagi kumpulan yang membantah, pengenalan RUU Nomor 11 dikatakan bakal mengakibatkan golongan pekerja akan lebih perlu mengikut telunjuk majikan.

Antara isu utama yang dibangkitkan golongan pekerja adalah kelonggaran yang bakal tercetus khasnya melibatkan ketiadaan regulasi waktu dan hari bekerja, tiada lagi dasar gaji minima yang efektif seperti sebelumnya serta ketiadaan syarat untuk syarikat mengambil pekerja secara tetap selepas tempoh tertentu.

Anjuran protes yang membawa kepada rusuhan

jokowi ruu cipta kerja protes rusuhan

Badan NGO yang memperjuangkan hak pekerja dan kumpulan mahasiswa mula bangkit menganjurkan kempen-kempen protes selama beberapa bulan dalam tahun 2020, menuntut agar RUU Nomor 11 ditarik balik. 

Ada yang kekal aman, ada yang bertukar menjadi tragedi melibatkan insiden pembakaran dan kerosakan harta awam serta pertempuran penunjuk perasaan dengan anggota keselamatan. 

Pihak polis Indonesia mengambil pelbagai pendekatan bagi menangani peserta, sama ada melalui sekatan jalan raya, penutupan kawasan sasaran atau dalam kes ekstrim, menahan mereka yang terlibat.

Antara kawasan yang terlibat menyaksikan rusuhan berlangsung adalah bandar-bandar besar seperti Jakarta, Surabaya, Bandung, Jogjakarta, Semarang, Malang, Jambi, Medan, Banda Aceh dan Jayapura.

Dilaporkan lebih 40 kawasan berstatus bandar atau pekan menyaksikan perhimpunan dianjurkan. Lebih memburukkan keadaan - semua ini berlaku semasa pandemik memuncak. 

Kumpulan penyokong kepada pindaan ini hadir dari kumpulan majikan, khasnya mereka yang duduk di bawah Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN).

KADIN melihat usaha kerajaan Indonesia melonggarkan sekatan-sekatan regulasi yang ada sebagai positif, khasnya dalam mencipta peluang pekerjaan.

Walaupun berdepan protes, tidak ada tanda-tanda kerajaan Indonesia akan menarik balik cadangan tersebut.

Pada 26 Oktober 2020, kerajaan Indonesia meluluskan RUU Nomor 11 atau RUU Cipta Kerja; disokong oleh 7 daripada 9 parti politik. Dua lagi parti membantahnya.

Mahkamah Indonesia terpaksa campur tangan

gagalkan omnibus antara arnas padda 2

Walaupun mendapat kelulusan, kaedah bagaimana RUU Nomor 11 berjaya diluluskan dikritik ramai kerana dilihat tidak telus serta bukan berlaku di Parlimen, sebaliknya dilakukan di sebuah hotel.

Tindakan itu dituduh salah satu taktik keji kerajaan Indonesia cuba mempercepatkan proses kelulusannya.

Bagaimanapun, beberapa pindaan yang terkandung dalam dokumen RUU tersebut didapati dilakukan selepas kelulusan diperolehi - membuatkan kelulusan boleh dianggap tidak sah.

Atas desakan petisyen melibatkan 3 individu dan 3 NGO yang mendakwa kerajaan Indonesia gagal mengambil kira hak orang ramai dalam membentuk pindaan tersebut sehingga mengakibatkan kerugian, kes tersebut berjaya di bawa ke Mahkamah Perlembagaan Indonesia.

Hasil perbicaraan yang dijalankan, mahkamah mendapati pindaan yang diluluskan mempunyai banyak keraguan serta gagal meletakkan kepentingan pihak yang terlibat secara sama rata.

Pada 25 November 2021, Mahkamah Perlembagaan Indonesia mengisytiharkan isi kandungan RUU Nomor 11 atau RUU Cipta Kerja tidak menepati apa yang digariskan dalam perlembagaan republik tersebut.

Majoritinya disebabkan kandungan dalam dokumen RUU yang telah dipersetujui - didapati ditambah, diubah atau dipinda selepas diluluskan.

Selain itu mahkamah juga mendapati pindaan yang telah diperkenalkan itu dirangka mengelirukan, tidak terbuka, tidak efisien dan juga kurang jelas matlamatnya.

Kerajaan Indonesia juga didakwa terlalu gopoh memperkenalkan pindaan, sehingga gagal melibatkan semua pihak dalam merangka draf pindaan tersebut.

Kemenangan sementara untuk golongan pekerja

omnibus law indonesia tangguh

Ekoran daripada keputusan itu, mahkamah Indonesia memberikan masa 2 tahun bermula dari tarikh di atas untuk kerajaan Indonesia memperbaiki isi kandungan RUU Nomor 11; membenarkan dahulu pindaan yang telah diluluskan berjalan , tanpa kerajaan Indonesia dibenarkan menukar regulasi baru atau meminda kandungannya.

Sekiranya dalam tempoh tersebut kerajaan Indonesia gagal memperbaiki atau menambahbaik isi kandungan RUU tersebut, secara automatik RUU Nomor 11 dianggap tidak sah dan tidak lagi terpakai.

Ketika ini, pengkritik RUU ini terus menganggap pindaan baru ini ibarat membentang karpet merah kepada golongan jutawan luar masuk ke Indonesia bagi mengembangkan perniagaan mereka, tanpa sebarang kawalan sehingga boleh mempergunakan golongan marhaen.

Kerajaan Indonesia sedang giat memancing pelabur luar masuk bagi meyakinkan warga mereka, semua usaha yang dijalankan perlu dilihat positif. Antara usaha paling berprofil tinggi, adalah dengan memancing Tesla.

Walaupun demikian bagi pengkritik usaha ini, tindakan kerajaan Indonesia melemahkan regulasi serta memberikan kebebasan kepada pelabur luar masuk sesuka hati mengamalkan tatacara kerja sendiri tanpa seliaan - hanya akan memakan diri satu hari nanti.

Bila majikan diberikan kuasa dalam memaksimakan produktiviti, sudah pastilah yang bakal jadi mangsa siapa lagi kalau bukan kumpulan pekerja.




Hakcipta iluminasi.com (2017)