Dalam media sosial, banyak perkongsian dilakukan oleh individu-individu yang membandingkan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan Indonesia ketika ini dengan apa yang sedang berlaku pada kerajaan Malaysia.
Ramai memuji langkah Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam mempercepatkan pembangunan yang tampak berlaku dengan sangat agresif serta pantas, berbanding dengan kadar pertumbuhan Malaysia. Apatah lagi propaganda yang menunjukkan usaha Indonesia bakal menjadi salah satu kuasa utama dunia disebarkan, tak dapat dinafikan akan wujud rasa iri hati melihat perubahan pada republik gergasi itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimanapun, harus diceritakan pada anda semua - pembangunan dan perkembangan pesat yang sedang dilakukan kerajaan Indonesia banyak bertitik tolak dengan kerjasama mereka bersama dengan inisiatif kerajaan China yang kita kenali dengan nama One Belt One Road atau OBOR.
Hubungan Indonesia dan OBOR
Indonesia sebenarnya sudah pun menjadi antara negara terawal di Asia Tenggara dilihat sebagai negara penyokong kepada usaha OBOR, semasa penggal pemerintahan Presiden Jokowi yang pertama sejak tahun 2015.
Pada tahun 2016, kerajaan Indonesia menyertai persidangan kemuncak G20 yang dianjurkan di Hangzhou, China dikatakan menjadi titik tolak penglibatan mereka dengan OBOR yang dilancarkan 3 tahun sebelum itu, pada tahun 2013.
Penyelidikan yang dilakukan melaporkan Indonesia, seandainya bersama dengan China - bakal menjadi antara penerima faedah terbesar inisiatif itu kerana kedudukan Indonesia sebagai rakan dagang terbesar China di Asia Tenggara. China sendiri ketika itu sudah menjadi pelabur terbesar di negara tersebut.
Pada bulan Mei 2017, Presiden Jokowi menjadi antara tetamu utama persidangan pertama Forum OBOR diadakan di Beijing, dihadiri oleh 29 ketua kerajaan seluruh dunia termasuklah negara kita, Itali, Sepanyol, Russia, Turki, Myanmar, Filipina, Pakistan dan banyak lagi,
Walaupun berdepan tentangan yang memandang inisiatif OBOR mempunyai agenda perluasan kuasa China sebagai kuasa dunia dan dikatakan satu bentuk penjajahan baru menggunakan kuasa kewangan. Pada Forum OBOR kedua yang diadakan selama 2 hari, daripada 27 hingga 29 April 2019 - kerajaan Indonesia mengumumkan perjanjian dengan kerajaan China melibatkan 23 buah projek infrastruktur yang bakal mengubah wajah Indonesia sepenuhnya.
Projek pembangunan Indonesia dengan bantuan China
Sejak mula lagi menyatakan sokongan kepada inisiatif OBOR, Presiden Jokowi meletakkan sasaran untuk memajukan kawasan-kawasan yang mundur di negara itu melalui pembangunan infrastruktur serta fasiliti yang lebih baik.
Matlamat itu diteruskan sebagai agenda utama beliau selepas berjaya mendapat kembali mandat memerintah - meletakkan sasaran pembangunan sama rata ke seluruh Indonesia sebagai fokus utama. Setakat ini sasaran Indonesia adalah untuk mewujudkan empat koridor pembangunan terbesar, melibatkan Sumatera Utara, Kalimantan Utara, Utara Sulawesi dan Bali.
Setiap koridor dibangunkan dengan matlamat berbeza - koridor Sulawesi mahu diangkat sebagai hab logistik utama di kawasan perairan Selat Melaka, Kalimantan pula sebagai penjana tenaga hidro dan dua lagi koridor di Sulawesi dan Bali untuk tujuan pelancongan.
Sebuah konsortium kerjasama China dan Indonesia dibentuk, bagi membangunkan jalinan rel keretapi berkelajuan tinggi di antara Jakarta dan Bandung sepanjang 150 km, bagi membangunkan kawasan-kawasan satelit di sepanjang laluan rel tersebut - dijangka mampu menyumbang lebih RM100 billion kepada ekonomi.
Rel berkelajuan tinggi yang menjadi mercu tanda kerjasama kedua-dua kerajaan itu telahpun dilancarkan pada tahun 2016, namun berdepan isu regulasi, pengambilan tanah dan perancangan menyebabkan pembinaannya terpaksa ditunda, hanya dimulakan secara rasmi pada awal tahun 2019.
Berdepan kritikan ekoran bimbang pengaruh China yang terlalu meluas, Presiden Jokowi dilihat tidak lagi mahu menoleh ke belakang lagi, menyifatkan penglibatan negara China di Indonesia tidak akan dihentikan kerana kedua-dua negara akan memperolehi manfaat besar hasil daripada kerjasama mereka.