Hidup dalam sebuah negara yang mempunyai sistem kerajaan yang mengamalkan pentadbiran dalam beberapa peringkat, kita sudah pastilah mengetahui bagaimana proses birokrasi berlaku melibatkan kerajaan yakni kementerian, kerajaan tempatan, sistem penghulu dan komuniti kecil.
Pasti agak sukar untuk kita membayangkan hidup tanpa wujudnya agensi dan badan tersebut dalam menyelia dan yang lebih penting, membangunkan lokasi di mana kita tinggal. Walau demikian wujud beberapa kelompok manusia di dunia yang memilih untuk keluar daripada sistem, hidup bebas hanya berdasarkan kepada undang-undang komuniti.
BESARKAN TEKS A- A+
Salah satu lokasi tiada undang-undang yang sangat terkenal, adalah sebuah pekan kecil bernama Slab City - sebuah pekan yang terletak dalam jajahan California namun penduduknya bebas hidup dengan cara mereka. Bagaimanapun, wujud beberapa kekurangan besar untuk mereka.
Pembukaan Camp Dunlap
Bermula sekitar tahun 1940 ke 1941, tentera Amerika Syarikat merancang untuk membangunkan sebuah pengkalan mereka di sebuah lokasi yang terletak dalam wilayah Imperial County, California di sebuah pekan bernama Niland.
Pengkalan yang ditubuhkan untuk menjadi markas bagi latihan ketenteraan ekoran peristiwa Perang Dunia ke 2 ketika itu, turut sama menempatkan unit anti pesawat serta unit tembakan meriam milik Tentera Laut Amerika Syarikat.
Pembukaan secara rasmi pengkalan itu menjadi permulaan bagaimana bermulanya kawasan itu dibangunkan pada mulanya, berikutan kedudukannya yang sangat terpencil serta berada di tengah-tengah kawasan gurun; membuatkan tidak ramai memilihnya untuk dijadikan tempat tinggal.
Pengkalan tentera itu selamat dibuka pada 15 Oktober 1942, dinamakan Camp Dunlap sempena nama Brigadier Jeneral Robert H. Dunlap, seorang perwira Amerika Syarikat yang menyertai beberapa siri peperangan besar seperti Perang Amerika-Sepanyol, Revolusi Yihetuan di China dan termasuk juga perang dunia pertama.
Dunlap meninggal dunia di Perancis pada tahun 1931, terkorban semasa cuba menyelamatkan seorang wanita yang ditimpa dinding. Dinding yang runtuh sekali lagi turut sama mengorbankan dirinya.
Sejarah bermulanya Slab City
Camp Dunlap beroperasi sepenuhnya selama 3 tahun semasa kemuncak zaman perang, sebelum operasi mereka mula perlahan sekitar tahun 1949 sehinggakan tidak lagi ramai petugas ditempatkan di sana, mula ditukarkan ke markas-markas lain.
Operasi Camp Dunlap tetap berterusan untuk tempoh beberapa tahun lagi sehinggalah tahun 1956, apabila tentera Amerika Syarikat mengambil keputusan menutup operasi Camp Dunlap.
Walaupun dikosongkan, beberapa fasiliti yang dibina tidak dapat dipindahkan jadi tentera Amerika Syarikat memilih untuk membiarkan saja bangunan kosong itu terus tegak berdiri dan asas bangunan ini, yang digelarkan sebagai 'slab' dalam Bahasa Inggeris dibiarkan.
Berdasarkan kepada perjanjian kerajaan California dan tentera Amerika Syarikat, tentera bersetuju untuk mengembalikan hak guna tanah di situ kepada California pada tahun 1961. Walau bagaimanapun, California sendiri tidak melakukan apa-apa kepada kawasan itu, membiarkannya saja seperti sedia kala.
Kewujudan komuniti penduduk yang rata-ratanya pekerja dari sebuah kilang kimia di Niland menemui 'slab' markas tentera yang ditinggalkan - mengambil keputusan mahu menubuhkan sebuah komuniti sendiri dengan 'slab' itu sebagai pusat aktiviti pekan.
Maka bermulalah perkembangan komuniti unik yang dinamakan sebagai 'Slab City'; mampu hidup sendiri di luar undang-undang California, kerana kerajaan California sendiri tidak mempunyai perancangan untuk membangunkannya - apatah lagi mengawasi aktiviti yang berlaku di dalamnya.
Hidup di luar kawalan kerajaan
Berikutan ketiadaan sokongan rasmi daripada kerajaan walaupun terletak dalam jajahan California, komuniti yang hidup di Slab City terpaksa hidup sendiri. Ini kerana mereka ketiadaan kemudahan asas yang biasanya disediakan kerajaan, seperti kemudahan bekalan elektrik dan air - namun untungnya, mereka tidak dibebani dengan cukai-cukai kerajaan yang biasa dikenakan.
Tiada sistem daftar hakmilik tanah membolehkan sesiapa saja berpindah ke situ, memilih lokasi yang dirasakan baik untuk dijadikan kediaman sendiri. Walau demikian, lokasi yang bagus dah habis ditempah orang lain lah, dengan pembinaan sempadan menggunakan botol-botol yang disusun sebagai penanda had.
Bagi mendapatkan bekalan air, penduduk perlu mendapatkan bekalan daripada Niland yang terletak tidak jauh dari mereka. Ketiadaan sistem bekalan air memaksa penduduk membangunkan satu sistem mandian berasaskan kepada sebuah kolam yang akan mengepam air ke satu paip yang disambungkan kepada kepala mandian.
Di situlah satu-satunya tempat semua penduduk berkongsi untuk membersihkan diri, bergilir-gilir. Untuk mendapatkan bekalan elektrik pula, majoriti penduduk menggunakan panel solar yang dipasang pada kediaman mereka bagi menjana kuasa. Sebelum menggunakan solar, ramai menggunakan sistem generator namun kos yang tinggi mengakibatkan semakin ramai memilih panel-panel solar.
Beberapa ratus penduduk memang menjadi penduduk tetap Slab City, tetapi jumlah ini akan meningkat sehingga 4 ke 5 ribu apabila tibanya musim tertentu seperti kumpulan keluarga yang memilih untuk hidup sementara dalam treler, sehingga berakhirnya musim panas di kawasan asal mereka. Selebihnya, Slab City dihuni penduduk miskin yang melarikan diri daripada bebanan hidup, individu yang mahu keluar daripada sistem dan juga kumpulan individu kreatif yang mahu menjadikan Slab City ruang karya mereka.
Hidup bebas sehingga tua
Tidak dapat dinafikan hidup di tengah-tengah kawasan gurun, memang agak membosankan. Jadi majoriti penduduk Slab City terlibat dengan penghasilan karya seni - kesemua tarikan utama di Slab City melibatkan monumen seni yang dibina dengan tangan sendiri.
Wujud sebuah dinding yang dinamakan sebagai 'East Jesus', dibuat sepenuhnya daripada bahan terpakai yang dikumpul semula daripada botol, bateri terpakai,bahan-bahan yang tidak lagi digunakan dan sampah. Saiz dinding ini tidak pernah berhenti berkembang kerana sesiapa saja boleh menambah keluasannya.
Sebuah kelab dinamakan 'The Range' menjadi pusat komuniti dan kelab malam, di mana sesiapa saja yang berani boleh melakukan persembahan - mereka yang pernah berkunjung ke sana menyebut walau seteruk mana pun persembahan anda, anda akan dapat tepukan gemuruh.
Monumen paling terkenal di Slab City adalah sebuah monumen yang dinamakan Salvation Mountain, diperbuat daripada gabungan jubin adobe buatan sendiri, mural serta arca yang berkait dengan ajaran Kristian. Kesemua yang ada adalah hasil usaha seorang penduduk Slab City yang paling terkenal bernama Leonard Knight.
Lahir pada tahun 1931, Knight berpindah ke Slab City sekitar tahun 1980-an mahu mengusahakan perniagaan belon udara panas. Bagaimanapun ujian penerbangannya gagal, seterusnya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk terus menetap di situ. Selama 25 tahun, sikit demi sikit Knight membangunkan Salvation Mountain dengan tangannya sendiri, bagi melambangkan rasa cintanya kepada pegangannya.
Sepanjang hidup, Knight akan menjadi pemandu kepada pengunjung yang hadir - menceritakan tentang kisah di sebalik monumen gergasi buatannya itu yang sangat mengagumkan berdasarkan kepada skala gergasinya. Pada tahun 2014, Knight meninggal dunia selepas bertarung dengan dementia sejak 2011 - sumbangannya pada Slab City tidak dilupakan.
Hidup di luar bidang kuasa kerajaan, kerajaan California turut sama mengiktiraf sumbangan Knight dan Salvation Mountain, meletakkan monumen itu di bawah akta karya yang perlu dilindungi - agar terus dapat dikekalkan bagi diwarisi generasi akan datang khasnya mereka yang mewarisi Slab City.