Kredit foto: Instagram Zynakal & Instagram @haqiemrusli98_
Penyanyi Haqiem Rusli menzahirkan rasa simpati atas nasib menimpa sahabat baiknya, Zynakal yang ditahan reman dan didenda kerana mencekik pekerja stesen minyak, Rabu lalu.
Sehubungan itu, Haqiem, 21, memohon agar netizen berhenti mengecam, sebaliknya menyalurkan kata-kata semangat untuk meredakan tekanan dialami penyanyi yang juga komposer itu.
“Saya amat bersimpati dengan Zynakal. Dia salah seorang rakan karib saya. Kami selalu berkongsi mengenai muzik dan kehidupan. Malah, pernah susah dan senang bersama.
“Jadi, bagi saya apabila seseorang individu melakukan kesilapan, netizen perlu memberikan kata-kata dan aura positif selain nasihat supaya dia menjadi lebih baik.
“Bukan kecam dan jatuhkan orang. Apabila dia jatuh, kita buat dia jadi lagi teruk. Saya berharap netizen boleh berikan ruang kepada Zynakal,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Haqiem turut menitipkan pesanan buat rakan artis yang turut sama terbabit menghentam penyanyi lagu Terbang itu.
Kredit foto: Instagram Zynakal
“Apa saya perasan, ada rakan artis yang kecam dia. Saya sarankan jangan buat begitu. Kalau kena batang hidung sendiri baru rasa.
“Sebagai rakan artis, kita kena sokong, bagi nasihat dan tolong dia,” katanya.
Mengenai kunjungan ke lokap untuk melawat, Haqiem bagaimanapun belum dapat memberikan pengesahan.
“Kalau nak melawat, saya belum pasti lagi buat masa sekarang kerana sibuk dengan komitmen kerja. Jika ada masa saya akan pergi,” katanya.
Terdahulu, seorang penyanyi dan komposer berusia 21 tahun dilaporkan mencekik seorang pekerja stesen minyak di Ampang, sebelum ditahan polis sekitar jam 4 petang pada Rabu.
Pagi semalam, penyanyi Zynakal didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu mencederakan pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.
Sumber berita: 'Jangan Kecam Kawan Baik Saya' - Haqiem Rusli