Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli
Berita perihal kemungkinan besar penyanyi Haqiem Rusli akan berundur daripada dunia nyanyian, mendapat perhatian beberapa rakan selebriti.
Mahukan penyanyi muda itu berfikir rasional tanpa pengaruh emosi, masing-masing tampil memberikan sokongan menerusi kata semangat.
Bak kata Syamel, bakat yang ada pada anak muda ini tidak wajar dipandang enteng apatah lagi tuah kejayaan mengetuk pintu karier nyanyiannya yang menjadi cita-cita setiap anak seni untuk hidup dalam impian itu.
"Sayang jika peluang yang ada dilepaskan begitu sahaja. Apa juga keputusannya nanti, saya berharap ia membawa kebaikan untuk diri dan masa depannya. Tidak semua anak seni bertuah meraih peluang besar sepertinya.
"Saya percaya, Haqiem lebih tahu apa yang terbaik dirinya dan berharap apa juga keputusannya nanti akan diterima semua pihak dengan hati yang terbuka," kata pelantun Biar Cinta itu kepada portal BH Online.
Dalam pada itu, Wany Hasrita pula mahu penyanyi yang antara nama paling sohor dalam arena muzik masa kini ini mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata yang dilemparkan.
Kredit foto: Instagram Wany Hasrita
"Sebagai kawan, saya tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Memang dia berhak menentukan masa depannya, tetapi perkara membabitkan rezeki jangan dibuat main-main. Bimbang jika kerap diulangi akan menjadi doa.
"Bagaimana nanti jika ia menjadi kenyataan, sedangkan hati masih berbelah-bahagi? Disebabkan itu, sebelum memberikan sebarang kenyataan, fikir semasak-masaknya. Lihat juga pengorbanan mereka yang sentiasa di belakang untuk menyokong kejayaan kita.
"Memang setiap kali berdepan dugaan, pelbagai perkara terlintas di fikiran. Setiap kali berlaku, saya akan pandang sekeliling dan lihat wajah mereka yang saya sayang terutama ibu. Semangat mereka membuat saya kuat mengharungi apa sahaja dugaan dalam hidup," katanya.
Sementara itu, bagi Khai Bahar pula, kehilangan Haqiem amat sukar untuk diganti andai beliau nekad melupakan peranan besar yang bakal diambil alih selaku antara barisan pelapis generasi muzik masa akan datang.
"Saya berharap Haqiem tidak terbawa-bawa dengan perasaan. Bukan apa, saya bimbang kenyataan itu dikeluarkan ketika emosinya tidak menentu. Tetapi jika benar dia mahu mengundurkan diri, ia kerugian besar.
"Dia mempunyai bakat yang hebat, malah disayangi peminat. Saya harap Haqiem tidak mensia-siakan harapan mereka yang menyokongnya. Pedulikan kata negatif, biarkan ia berlalu kerana kita perlu bangkit untuk buktikan kita tidak mudah lemah," katanya.
Selain itu, penyanyi Tajul pula mahu netizen memberikan ruang kepada Haqiem untuk mencari solusi terbaik isu yang menghimpitnya dan apa sahaja keputusan yang bakal dibuat dia disokong baik selaku rakan.
Kredit foto: Instagram Tajul
"Jika pasti bersara adalah jalan terbaik, sebagai kawan, saya akan sentiasa menyokong. Memang sayang kerana keputusan itu dibuat ketika kerjayanya sedang meningkat. Lagipun, di luar sana, ramai remaja yang mahu menjadi sepertinya.
"Mungkin ada hikmah di sebalik dugaan yang datang. Mungkin juga rezekinya akan lebih baik jika tidak lagi berada dalam bidang seni. Semua itu kerja Tuhan dan sebagai hamba, kita hanya perlu berusaha mencari kehidupan yang lebih baik," katanya.
Terdahulu, melalui Instagram, Haqiem mendedahkan dirinya sedang berdepan masalah kemurungan hingga berhasrat mahu bersara daripada karier nyanyian yang diceburi sejak kecil.
Haqiem, bagaimanapun memaklumkan dia hanya akan memberi kata putus berhubung keputusan rasmi pada awal Julai ini.