Oleh pada 18 Aug 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Ikhwan Fatanna & Instagram Haqiem Rusli

Penyanyi Ikhwan Fatanna, 28, tidak menafikan akan salah faham yang timbul dengan Haqiem Rusli berkaitan hakcipta lagu Jatuh Bangun nyanyian penyanyi remaja itu bersama Aman Ra.

Katanya, isu tercetus apabila dirinya dan seorang lagi komposer iaitu Omar K yang bertindak selaku pencipta lagu bersama, tidak diberi kredit dalam video muzik rasmi lagu berkenaan yang dimuatnaik di laman Youtube.

“Lagu berentak pop itu adalah hasil gubahan kami bertiga termasuk Haqiem sendiri berserta penulisan liriknya.

“Ketika video lirik dimuat naik, Haqiem ada meletakkan ketiga-tiga nama, cuma di dalam muzik video sahaja nama saya dan Omar K tiada,” katanya menurut Utusan Online.

Artis yang dikenali menerusi lagu Bismillah itu bagaimanapun berkata, isu yang timbul berpunca daripada masalah teknikal dan sudahpun diselesaikan secara baik.

Sementara itu, Ikhwan yang muncul dengan lagu berjudul Jannah berkata, single terbaharu itu masih mengenengahkan konsep ketuhanan sebagaimana Bismillah.

Kebolehan menghasilkan lagu cinta tidak bermakna dia perlu lari daripada genre asal atas faktor keselesaan.

ikhwan fatanna pula dedah wujud isu hakcipta lagu dengan haqiem rusli 2

Kredit foto: Instagram Ikhwan Fatanna

“Sekarang ini tidak ramai yang hasilkan konsep lagu sebegini. Kebanyakannya gemarkan pop atau balada.

“Sebenarnya hampir semua lagu yang saya tulis adalah mengenai cinta, tetapi saya akan berikan kepada penyanyi lain.

“Untuk saya sendiri, memang lebih selesa dengan konsep ketuhanan yang lebih santai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjadi antara pencipta bersama untuk single terkini juara Akademi Fantasia 2016, Amir Masdi berjudul Puas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)