Kredit foto: Instagram Syafiq Kyle
Syafiq Kyle mengakui, senang menjalinkan kerjasama dengan aktres cantik, Mira Filzah dalam gandingan terbaharu mereka menerusi drama iklan pendek minuman 100 plus, Pelangi Cinta.
Apatah lagi, kata Syafiq, 26, Mira banyak memberikan idea ketika pengarah iklan terbabit membuka ruang buat para pelakon untuk menghasilkan skrip lakonan sendiri.
"Bekerja dengan Mira sangat senang sebab dia bijak. Kami diberi peluang untuk membuat dialog sendiri secara spontan.
"Pengarah membenarkan skrip kami berdua dibuat ketika berada di set penggambaran. Mira pula pandai bagi idea yang kita sendiri pun tak terfikir.
"Memang mudah nak berbicara dengan dia dan saya pun turut berkongsi idea dengan dia," kata Syafiq kepada Mstar ketika menghadiri Tayangan Eksklusif dan Sesi Beramah Mesra dengan barisan artis Pelangi Cinta yang berlangsung di Pavilion, di ibu kota, baru-baru ini.
Kredit foto: Instagram Syafiq Kyle
Antara lain, drama itu dibintangi nama-nama popular seperti Hairul Azreen, Aiman Hakim Ridza dan Syukri Yahaya.
Bercerita tentang kehidupannya selepas dihimpit kontroversi video tular baru-baru ini, Syafiq akui mempelajari banyak perkara terutama apabila dugaan berat itu terpaksa didepani pada bulan suci Ramadhan.
Menurut Syafiq, dia yang seumpama manusia lain, ingin menebus kembali dosa-dosa lampau bersempena bulan yang mulia ini.
"Alhamdulillah kehidupan sekarang, saya banyak belajar dan banyak benda yang saya nampak bila semua yang terjadi pada bulan Ramadan.
"Seperti orang lain, saya juga manusia biasa yang tahu bulan puasa ini waktu untuk kita menebus dosa.
"Itu yang saya hajatkan. Menjadi atau tidak, itu biarlah saya sendiri yang tahu," luahnya.
Dalam pada itu, pelakon drama popular Nur ini mengambil ruang untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bukan sahaja rakan artis, malah orang biasa juga, atas keprihatinan mereka terhadap isu yang melanda.
"Apa yang boleh cakap saya rasa bersyukur sangat. Ada orang-orang yang sokong satu sama lain.
"Maksudnya apa yang saya faham, itu yang mereka faham juga di bulan yang baik ini. Mereka nampak dari pandangan yang positif dan nampak apa yang mereka perlu lakukan.
"Saya berterima kasih kepada artis-artis yang beri sokongan. Bukan sahaja artis, kawan-kawan saya juga yang beri kata-kata semangat. Saya sangat hargai," katanya.
Sejak 27 Mei lalu, tersebarnya rakaman video 'panas' didakwa milik Syafiq memaparkan paparan skrin perbualan antara dirinya dengan seorang individu lain yang dikenali sebagai Mira.