Kredit foto: Instagram Janna Nick
Detik indah menyaksikan secara dekat perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Russia membabitkan pasukan pilihannya, Portugal menentang Sepanyol di Stadium Fisht, Sochi, baru-baru ini, sukar dilupakan aktres Janna Nick.
Katanya, kesedihan tidak dapat beraya bersama keluarga di tanah air buat julung kalinya, bagaimanapun lantas diubati apabila berpeluang melihat sendiri aksi bintang bola sepak pujaannya, Cristiano Ronaldo langsung di hadapan mata.
Kredit foto: Instagram Janna Nick
"Saya memang seronok kerana turut diberi peluang berada di tepi padang dan melihat secara dekat pemain melakukan sesi memanaskan badan.
"Saya memang meminati bola sepak sejak kecil. Jadi, apabila berpeluang menonton perlawanan Piala Dunia secara langsung di depan mata, ia pengalaman manis yang takkan dilupakan,” katanya yang pulang ke Malaysia pada Isnin, memetik laporan Harian Metro.
Tidak hanya itu, Janna turut diberi kesempatan untuk menonton perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018 membabitkan Russia selaku tuan rumah menentang Arab Saudi bertempat di Stadium Luzhniki, Moscow pada 14 Jun.
Janna diterbangkan ke Rusia oleh jenama telefon pintar terkemuka, Oppo.
Beliau merupakan duta telefon pintar berkenaan bersama aktor Alvin Chong.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Vivo kerana sudi membawa dan menyediakan perkhidmatan eksklusif sepanjang lapan hari berada di Russia," katanya.
Kunjungan sejak 11 Jun lalu itu antara lain disertai adiknya, Nurul Balqish, jurumekap Sharhim Khan dan seorang lagi wakil daripada syarikat pengurusannya, LOL Entertainment.