Kredit foto: Instagram Janna Nick
Aktres Janna Nick menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada ibunya bersempena dengan ulang tahun kelahiran ke-44 wanita itu pada Ahad.
Dalam temubual bersama portal BH Online, Janna menyifatkan rezeki yang diraihnya sepanjang tahun lalu bertitik tolak daripada doa keluarga serta peminat. Justeru nikmat yang ada ini mahu dikongsi bersama insan yang dianggap teristimewa dalam hidupnya.
"Hadiah ini tidak seberapa jika dibandingkan jasa dan pengorbanan mak menjaga kami adik-beradik tanpa mengharapkan sebarang balasan. Ia tanda terima kasih saya kepadanya.
"Tanpa restu dan sokongan mak yang sentiasa berada di belakang saya walau pada waktu sukar mahu pun senang, membolehkan saya terus melangkah jitu di arena seni ini," katanya.
Dalam sebuah video berdurasi 59 saat yang dimuat naik di laman Instagram, Janna merakamkan penghargaan kepada ibunya yang diperkenalkan sebagai Shasha atau Mama Scha.
"Tiada perkara lain yang mampu membuatkan saya gembira selain melihat kebahagiaan dan kegembiraan insan yang paling saya sayang.
"Apa saja yang Angah buat dalam dunia ini semuanya adalah untuk mak, bukan untuk orang lain atau sesiapa pun sebab Angah sayangkan mak.
"Angah tak tahu apa yang Angah nak buat dalam dunia ini kalau mak tiada. Semoga mak gembira selalu, panjang umur dan sihat sentiasa," kata pemilik nama penuh Nurul Janna Muner ini penuh beremosi.
Sehingga kini kiriman video itu meraih lebih 1,300 komen dan sudah ditonton sebanyak 740,000 kali.
Terdahulu, adik Janna, Nurul Balqis, 15, tampil menghantar kunci kereta ke tangan ibu mereka yang jelas tergamam sambil mengalirkan air mata menerima pemberian itu.
Video itu antara lain memperlihatkan kereta mewah rona hitam sebagai hadiah istimewa dihiasi riben kuning gergasi pada pemegang pintu bahagian penumpang di sebelah pemandu.
Netizen di ruangan komen turut sama menyampaikan ucapan selamat hari jadi, sambil mengatakan ibu Janna kelihatan begitu jelita sekali.
Kredit video: Instagram Janna Nick
Sumber berita: BH Online