Sekiranya seseorang individu itu meninggal dunia, berapa lamakah masa yang diambil untuk mayatnya dikebumikan?

Jawapan bagi persoalan ini sudah tentulah berbeza bergantung pada agama, kaum atau etnik individu yang meninggal dunia tersebut. Namun, bagi yang beragama Islam (Muslim), maka mayatnya perlu diuruskan dan disemadikan sesegera yang mungkin seperti yang dituntut dalam agama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Proses pengebumian mayat merupakan satu usaha memberi penghormatan terakhir kepada si mati dan sudah tentulah dihadiri oleh ramai ahli keluarga terdekat, kenalan rapat dan sahabat andai.

Keunikan etnik Toraja

mayat yang diawet

Berlainan pula halny dengan satu etnik di Sulawesi yang dikenali sebagai Toraja yang sangat terkenal dengan ritual-ritual pengebumiannya yang unik. Sebilangan besar anggotanya tinggal di kawasan Tana Toraja atau "Tanah Toraja" di pusat pulau Sulawesi, 300 km sebelah utara Makassar, ibu kota provinsi Sulawesi Selatan.

Kumpulan etnik ini hidup sederhana dan mempercayai fahaman animisme, yakni satu kepercayaan bahawa semua entiti bukan manusia seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, batu bahkan benda atau fenomena yang tidak bernyawa mempunyai intipati rohani mempunyai semangat yang mesti dihormati agar semangat tersebut tidak mengganggu manusia.

Ritual pengebumian mayat dalam etnik Toraj  merupakan satu aktiviti penting dalam masyaraka tersebut, membolehkan seluruh ahli keluarga an penduduk kampung berdekatan. Ritual ini biasanya berlangsung dalam masa beberapa hari.

Perbelanjaan yang mahal

keranda pengusung mayat

Sekiranya seseorang individu daripada etnik ini meninggall dunia, ahli keluarganya dikehendaki untuk menganjurkan beberapa siri ritual pengebumian mayatnya ayng dikenali sebagai Rambu Solo.

Walau bagaimanapun, kebiasaanya ritual ini tidak dijalankan sebaik sahaja individu tersebut meninggal dunia. Hal ini disebabkan perbelanjaan untuk menganjurkan ritual pengebumian ini sangat mahal dan memerlukan ahli keluarganya mengumpul duit untuk mengebumikannya.

Bergantung kepada keadaan kewangan keluarga si mati, ahli keluarganya mungkin mengambil masa beberapa hari, minggu, bulan malah ada yang mengambil masa bertahun lamanya mengumpul duit perbelanjaan bagi menganjurkan majlis ritual ini. 

Jadi, apakah yang dibuat kepada jasad mayat tersebut sehingga tubuhnya selamat disemadikan mengikut amalan ritual pengebumian etnik Toraja?

Sepanjang tempoh menunggu ini, mayat si mati tidak dikebumikan tetapi disimpan di satu sudut istimewa dalam rumah keluargannya. Bagi etnik Toraja, seseorang individu yang telah meninggal dunia tetapi belum selamat dikebumikan dianggap belum benar-benar mati tetapi hanya dianggap menderita penyakit.

Sehinggalah ahli keluarganya sudah mempunyai wang perbelanjaan yang mencukupi untuk mengebumikannya, ahli keluarganya akan hidup normal seperti biasa umpama si mati tersebut masih hidup bersama-sama mereka. Malah, mayat tersebut akan dihias dan dipakaikan pakaian yang sempurna umpama ia benar-benar masih hidup.

Dianjurkan umpama sebuah pesta atau perayaan

ritual pengebumian toraja

Adalah umum di Indonesia untuk mencampuradukkan agama dengan kepercayaan dan spiritualisme tempatan, seterusnya mewujudkan beberapa tradisi paling unik di dunia. 

Sebilangan besar orang Toraja menganggap diri mereka sebagai orang Kristian tetapi masih banyak yang menjalankan ritual nenek moyang mereka yang disebut Aluk Todolo atau "cara nenek moyang". Berdasarkan undang-undang Indonesia, Aluk Todolo diklasifikasikan sebagai kepercayaan rakyat dan sering disatukan dengan agama Hindu, tetapi itu tidak menghalang orang Toraja Kristian untuk mengamati tradisinya.

Di Aluk Todolo, peristiwa penting dalam kehidupan akan diraikan dengan dua jenis upacara atau ritual. Ritual yang berkaitan dengan kehidupan disebut "rambu tuka" dan merangkumi segala-galanya dari kelahiran dan perkahwinan hingga penuaian, sementara upacara yang berkaitan dengan kematian disebut "rambu solo".

Di antara keduanya, rambu solo adalah perayaan yang lebih besar kerana orang Toraja menganggap kematian sebagai upacara sambutan penghantaran individu tersebut ke dunia lain. Walaupun mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang dikasihi  merupakan satu perkara menyedihkan, upacara Aluk Todolo membantu orang yang berduka menangani perasaan sedih mereka.

Tidak seperti kebanyakan orang Indonesia, orang Toraja tidak menyebut upacara pemakaman mereka sebagai upacara atau ritual pengebumian tetapi sebaliknya menganggapnya sebagai sebuah pesta.

Menjadi tarikan pelancong

tumpuan pelancong indonesia

Kos bagi menganjurkan upacara pengebumian ini biasanya menelan belanja sekitar $68,000, sekitar RM 280,330 jika ditukar kepada mata wang Ringgit Malaysia. Wang ini cukup untuk membeli rumah kos rendah dan sederhana di negara kita.

Walaupun kebiasaannya ahli keluarga akan menyimpan sejak daripada awal lagi wang untuk perbelanjaan ini, ada kalanya masih tidak mencukupi sehingga mereka terpaksa menunggu beberapa tahun lagi untuk mencukupkan wang perbelanjaan.

Antara ritual penting dalam upacara pengebumian ini adalah upacara mengorbankan haiwan. Orang Toraja percaya bahawa kerbau yang dikorbankan akan membawa orang yang mati ke puya, merujuk kepada alam selepas mati bagi mereka. Semakin banyak kerbau dikorbankan, semakin cepat perjalanan ke puya. Oleh itu, ahli keluarga berusaha sedaya upaya untuk menyembelih sebanyak mungkin kerbau untuk orang yang mereka sayangi.

Keluarga berpendapatan sederhana dijangka menyembelih sekitar 8 ekor kerbau, sementara mereka yang dianggap bangsawan biasanya mengorbankan antara 24 dan 100 ekor kerbau. Di samping itu, keluarga juga harus menyembelih sekurang-kurangnya 50 ekor babi untuk memberi makan kepada para tetamu.

tapak pengebumian toraja

Anggota etnik Toraja jarang ditanam dalam tanah. Mereka ditempatkan di gua-gua yang digali di sisi berbatu gunung, atau diletakkan dalam keranda kayu yang digantung di tebing. Kubur ini biasanya mahal dan memerlukan beberapa bulan untuk disiapkan.

Setiap beberapa tahun, pada bulan Ogos, ritual yang disebut Ma'Nene berlangsung di mana mayat si mati digali untuk dicuci, dirawat dan dipakaikan dengan pakaian baru. Mumia kemudian akan dibawa berarak di sekitar kampung seperti zombie.

Ritual pengebumian Toraja hari ini menarik ribuan pelancong dan ahli antropologi ke pulau itu setiap tahun. Semenjak tahun 1984, Tana Toraja telah dinobatkan sebagai destinasi pelancongan kedua popular setelah Bali oleh Kementerian Pelancongan Indonesia yang memberikan Toraja status selebriti di Indonesia, satu kebanggan bagi etnik Toraja.

Kredit:

  1. National Geographic
  2. The Guardian
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)