Pada 5 Ogos 2020, sebuah video memaparkan seorang lelaki yang sebelum ini didakwa diculik sekitar awal bulan Januari oleh pasukan polis China tersebar.

Lelaki berusia 30 tahun dikenali dengan nama Merdan Ghappar dilaporkan kali terakhir kelihatan ditangkap, diselubung dengan kain kepalanya dan digari bersama lebih 50 orang tahanan lain berjaya menghantar pesanan mesej video kepada ahli keluarganya pada penghujung bulan Februari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seorang Muslim etnik Uighur, Merdan di tahan di wilayah Kucha di mana dia bekerja sebagai seorang model sambilan untuk syarikat Taobao.

Dia ditahan atas alasan perlu dihantar pulang semula ke Xinjiang, sebelum mendapati dirinya dihumban ke dalam penjara di Kucha.

Ekoran ancaman Covid-19 dan tahap kesihatannya yang menurun, Merdan dipindahkan lalu ditempatkan dalam sebuah bilik kecil dengan katil di sebuah rumah di Kucha.

Hanya selepas keluarganya mengumpul keberanian cuba menghubungi media negara luar bagi mendapatkan bantuan hampir 7 bulan dia hilang, barulah kisah penculikannya terbongkar.

Disasarkan hanya kerana etnik

uighur xinjiang penjara

Apa yang berlaku kepada Merdan adalah cerita yang biasa kedengaran, melibatkan layanan etnik Uighur oleh kerajaan China.

Mana-mana individu etnik Uighur yang dipercayai seorang suspek akan ditahan sebelum di bawa ke kem-kem vokasional yang disediakan kerajaan. Bagaimanapun banyak pihak percaya, rancangan untuk memindahkan Merdan terganggu akibat pandemik yang melanda.

Digari ke katil dan dikurung dalam bilik yang dikawal dua orang pengawal polis bantuan, Merdan berjaya mendapatkan barangan peribadinya selepas beberapa minggu dikurung kerana pihak berkuasa bimbang virus boleh merebak.

Pada ketika inilah Merdan mempunyai akses semula kepada telefonnya, membolehkan dia menghantar beberapa pesanan panjang kepada ahli keluarganya bagi menceritakan apa yang telah berlaku.

Merdan juga sempat merakamkan video pendek untuk menunjukkan di mana dia berada. Pesanan terakhir yang berjaya dihantar Merdan adalah pada 29 Februari 2020 dan selepas itu, tiada lagi khabar berita.

Sehingga kini, tidak diketahui di mana dia berada.

Kerajaan China dan penafian-penafian mereka

zhu hailun dalang penindasan uighur

Dalam isu kekejaman terhadap etnik Uighur yang majoritinya tinggal di Turkistan Timur (nama sebenar Xinjiang), penafian yang datang dari kerajaan China terhadap semua dakwaan terus kedengaran sehingga ke hari ini.

Masalahnya dalam penafian-penafian yang dikeluarkan, sedikit demi sedikit bukti kekejaman sistem yang diamalkan China terbocor keluar khasnya melibatkan individu-individu yang diculik dan dipenjarakan tanpa sebab untuk tujuan 'pembersihan.'

Apa sebenarnya yang berlaku dan apakah yang dilakukan kerajaan China dalam kem-kem tahanan tersebut? Bagaimanakah seorang Muslim Uighur dianggap sudah pulih untuk dibenarkan kembali menyertai masyarakat?

Pendedahan 'China Cable' oleh ICIJ

salah satu penjara orang etnik uighur

Pendedahan terbesar yang memberikan kita gambaran lebih jelas tentang apa yang berlaku di kem tahanan kendalian China melibatkan orang Uighur, dilakukan pada bulan November tahun 2019.

International Consortium of Investigative Journalist (ICIJ) berjaya mendedahkan dokumen-dokumen rasmi kerajaan China bertarikh 2017 yang mengandungi garis panduan dan tatacara pengendalian kem yang patut di amalkan pengendali kem, diistilahkan sebagai 'China Cable' kerana diperolehi secara sulit daripada bekas-bekas tahanan kem tersebut.

Dokumen rasmi itu mencerahkan kepada kita sistem yang diamalkan oleh China dalam meramal serta membentuk sistem masyarakat yang diingini mereka, dengan menggunakan beberapa kaedah pemulihan sama ada secara fizikal dan mental serta sokongan teknologi yang digunakan, bagi 'memulihkan' mana-mana individu yang dirasakan suspek.

Teknologi 'perincian suspek' yang dibangunkan oleh China dengan menggunakan kepintaran buatan (AI) merupakan asas kepada proses kenalpasti suspek; yang dipercayai bakal melahirkan banyak masalah kepada kerajaan.

Suspek-suspek ini kemudiannya akan disenaraikan sebelum disaring, ditangkap dan dihantar ke pusat-pusat bagi dipulihkan, dalam memastikan ancaman yang diramal boleh berlaku - dipadam sepenuhnya.

Jadi bagaimana China memperolehi data-data untuk meramal siapa bakal ancaman kepada mereka?

Algoritma menentukan masa depan individu

sistem pemantauan china

Dengan mengamalkan sistem sekuriti yang melanggar sepenuhnya privasi seseorang!

Penggunaan peralatan seperti kamera litar tertutup secara meluas khasnya di Turkistan Timur menjadi kaedah utama kawalan ke atas masyarakat Uighur.

Sistem pemantauan ini dibantupembukaan pusat kawalan yang akan melakukan pemeriksaan ke atas mana-mana individu Uighur, sebelum mereka dibenarkan ke mana-mana.

Privasi masyarakat Uighur secara peribadi diceroboh dengan penggunaan perisian dan aplikasi yang dipasang, didapati mampu merekod dan menyalurkan mana-mana maklumat sulit yang dirasakan penting kembali kepada kerajaan China, bagi membolehkan mereka memantau aktiviti individu tersebut.

Semua suspek yang dikenalpasti akan dipantau penggunaan komputer, internet, telefon pintar dan pergerakan mereka, berdasarkan kepada kemampuan teknologi AI ciptaan kerajaan China yang akan melakukan perkiraan risiko untuk setiap suspek.

Semua data yang diperolehi serta ramalan-ramalan yang sudah dibuat teknologi AI, dikumpul agensi yang dinamakan dalam dokumen 'China Cable' sebagai Integrated Joint Operations Platform (IJOP).

IJOP diberikan kuasa penuh untuk mengambil tindakan seterusnya - sama ada perlu terus memantau atau tangkapan untuk pemulihan dilakukan. Apa saja alasan untuk membolehkan tangkapan, akan digunakan.

Reaksi China terhadap 'China Cable'

orang uighur sertai program vokasional

Selepas pendedahan 'China Cable', kerajaan China menafikan sepenuhnya dakwaan yang dibuat oleh ICIJ; menyifatkannya palsu serta berniat jahat.

Menyifatkan apa yang dijalankan mereka merupakan satu program penstrukturan semula masyarakat Uighur secara vokasional bagi membolehkan orang Uighur hidup dengan lebih baik - kerajaan China menggariskan beberapa kejayaan yang telah dicapai dalam program yang mereka jalankan, sebagai bukti keberkesanan strategi mereka.

Semua individu yang terpilih diisytiharkan bukan sebagai tahanan, sebaliknya menjadi calon kepada kursus-kursus peningkatan kendiri bagi mempertingkatkan kemahiran profesional mereka. Semua calon terpilih dibenarkan pulang tanpa dikurung seperti yang didakwa, bila-bila masa sahaja dalam tempoh 1 tahun minima kursus vokasional itu dianjurkan.

Kerajaan China juga menyifatkan disebabkan oleh kejayaan program itu yang bermula 2017, kemasukan pelancong asing ke Turkistan Timur (Xinjiang) meningkat sebanyak 40%. Tahap kemahiran yang semakin tinggi juga menyumbang kepada berlakunya lonjakan purata kadar pendapatan di situ setinggi 6%.

Walaupun atas kertas nampak cantik - sukar sekali untuk penulis menerima alasan dangkal kerajaan China yang terus menggunakan hujah angka dan ekonomi, semata-mata bagi menutup pendedahan demi pendedahan tentang kezaliman sistem yang mereka amalkan terhadap etnik Uighur di China.

Di mana Merdan Ghappar ketika ini sekiranya semuanya baik? Mengapakah ahli keluarganya sendiri tidak mengetahui ke mana dia pergi?

Yang lebih penting - apakah bahaya yang dibawa oleh seorang lelaki kacak model pakaian kepada kerajaan China, sehingga memerlukan dia dihilangkan tanpa ada khabar berita?

Rujukan

ICIJ Read the China Cables Documents




Hakcipta iluminasi.com (2017)