Oleh pada 13 Jun 2021 kategori

Resepi ini menggunakan sukatan cawan. Kek chiffon agak sihat dan menjimatkan tanpa penggunaan mentega, kandungan gula dan tepung yang agak sedikit dan gebunya disebabkan putih telur. Tetapi, ia antara kek yang memerlukan anda menggunakan teknik yang betul. 

Untuk kek chiffon, anda sememangnya tidak perlu minyakkan acuannya. Disebabkan itu, bawah acuan kek chiffon boleh ditanggalkan. Gunakan pisau untuk pisahkan tepi dan bawah kek dari acuan apabila kek sudah sejuk.

Kek Chiffon Coklat

Bahan-bahan A:

  • Kuning telur gred A (7 biji) - suhu bilik
  • Gula (1 cawan)
  • Minyak canola atau jagung (1/2 cawan)
  • Esen vanila (2 sudu teh)
  • Serbuk koko tanpa gula (1/2 cawan) dan air panas (3/4 cawan) - campurkan, kacau sehingga sebati dan sejukkan (boleh tambah 1 sudu teh Nescafe, jika mahu)

Bahan-bahan B:

  • Tepung kek (1 3/4 cawan)
  • Bikarbonat soda (1 1/2 sudu teh)
  • Garam (1 sudu teh)

Campurkan kesemuanya.

Bahan-bahan C:

  • Putih telur gred A (8)
  • Gula (3/4 cawan)
  • Krim tartar (cream of tartar) (1/4 sudu teh)

Cara-cara penyediaan bergambar:

kek chiffon coklat default 1

1. Mula-mula panaskan ketuhar ke 165 darjah celsius. Gunakan api atas dan bawah. Pukul kuning telur, gula (1 cawan), esen vanila (pemilik resepi menggunakan pes vanila) dan minyak canola. Pukul sehingga kembang.

2. Masukkan campuran serbuk koko dan air panas yang telah disejukkan tadi. Gaul rata.

3. Masukkan bahan B. Gaul rata dengan menggunakan spatula. Apabila sudah bergaul rata, ketepikan adunan ini. Jika tiada tepung kek, pemilik resepi menggunakan tepung gandum (1 1/2 cawan) yang dicampur dengan tepung jagung (1/4 cawan).

4. Campurkan putih telur yang bersuhu bilik dengan gula (3/4 cawan). Pastikan mangkuk dan pemukul telur dilap dengan cuka untuk pastikan kesemuanya bersih dari minyak, lemak atau kuning telur. Putih telur tidak akan kembang dengan elok jika tercampur lemak atau minyak.

5. Pukul putih telur dan gula sehingga berbuih seperti ini.

6. Masukkan krim tartar.

7. Pukul putih telur sehingga kembang dan bertanduk.

8. Masukkan setengah dari putih telur ke dalam adunan tepung bercoklat tadi.

kek chiffon coklat default 2

9. Gaulkan dengan teknik 'folding' yang lembut sehingga warna adunan sekata dan tiada garis-garis putih telur.

10. Masukkan selebih putih telur tadi. Fold dengan lembut sehingga warna adunan sekata.

11. Tuangkan adunan kek tadi ke dalam acuan kek chiffon 10 inci. Jangan minyakkan acuan. Kek chiffon perlukan permukaan kesat untuk 'memanjat' apabila ia mengembang.

12. Buat beberapa putaran keliling acuan dalam adunan kek dengan chopstick untuk pastikan tiada lubang udara dalam adunan. Hempaskan acuan kek beberapa kali supaya gelembung udara naik ke permukaan dan pecah.

13. Bakar dalam ketuhar bersuhu 165 darjah celsius. Gunakan api atas dan bawah. Letakkan kek pada bahagian paling bawah ketuhar. Bakar selama 60 minit.

14. Kek akan mengembang dan naik tinggi.

15. Selepas 60 minit, boleh cucuk kek untuk pastikan tengahnya sudah masak. Keluarkan kek dari ketuhar.

16. Serta-merta terbalikkan acuan kek tersebut supaya kek tidak mendak. Biarkan kek sejuk dalam keadaan terbalik.

17. Apabila sejuk, baru keluarkan dari acuan. Pemilik resepi buatkan glaze menggunakan coklat susu yang dicairkan dan dicampur dengan sedikit jus oren segar dan esen oren.

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Kredit resepi: Ida Alina Salleh [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)