Selain tidak terlalu manis, bahagian dalam kek marble jelita juga sememangnya lembut dan gebu jika ia masak dengan sempurna. Terdapat tiga cara untuk membuat kek marble menggunakan resepi yang sama iaitu bakar (atas kelihatan cantik), bakar biasa dan kukus.
Kebiasaannya pemilik resepi menggunakan cara kedua. Ini kerana cara ini pasti menjadi dan tidak perlu bakar untuk tempoh masa yang lama.
Kek Marble Jelita
Bahan-bahan:
- Telur (6 biji) - gred B
- Gula kastor (1 1/4 cawan)
- Mentega (1 cawan)
- Tepung naik sendiri (2 1/2 cawan)
- Ovalette (1 sudu besar)
- Esen vanila (1 sudu kecil)
- Soda bikarbonat (1 sudu kecil)
- Serbuk penaik (1 sudu kecil)
- Krim tartar (cream of tartar) (1 sudu kecil)
- Susu pekat (4 sudu besar)
- Susu segar (5 sudu besar)
Tips cara bakar atau kukus:
1. Bakar (warna atas kelihatan cantik)
130°c selama 1 jam 20 minit. Selepas 45 minit, tutup loyang bahagian atas dengan aluminium foil. Guna api atas bawah. Dulang (tray) bawah sekali.
2. Bakar biasa (gelap sedikit bahagian atas)
150°c selama 50 minit. Guna api atas bawah dan dulang (tray) bahagian tengah.
3. Kukus (wrap loyang)
Selama 50 minit atau sehingga masak.
Nota: Pemilik resepi menggunakan cara bakar yang pertama iaitu bahagian atas warna kelihatan cantik.
Cara-cara penyediaan bergambar:
1. Mula-mula, adun (mix) mentega dan gula sehingga gebu atau bertukar warna putih.
2. Pastikan jadi putih seperti ini. Adunannya gebu.
3. Kemudian, masukkan ovalette, telur dan esen vanila. Boleh juga masukkan satu persatu telur. Pemilik resepi masukkan semua sekaligus.
4. Adun (mix) sehingga sebati dan pastikan adunan menjadi licin seperti ini dan tidak berketul. Jangan terlalu cair pula.
5. Kemudian, ayak tepung, soda bikarbonat, serbuk penaik dan krim tartar. Adun (mix) sehingga sebati. Juga boleh letakkan tepung sedikit demi sedikit semasa adun (mix).
6. Apabila telah sebati, masukkan susu pekat manis dan susu segar.
7. Adun (mix) sehingga adunan sebati dan licin seperti ini.
8. Bahagikan kepada 4 bekas. 3 bekas dengan kuantiti yang sama banyak dan satu bekas lagi lebih sedikit kuantitinya.
9. Letak pewarna yang kita mahu kepada tiga-tiga bekas. Bekas satu lagi biar kosong untuk letak lapisan atas kemudian.
10. Letak adunan dalam loyang secara selang-seli kecuali warna kosong. Pastikan loyang 8' telah dilapik dengan kertas pembakar (baking paper) dan sapu mentega atau marjerin sekeliling loyang.
11. Kemudian, lorek menggunakan lidi mengikut kreativiti masing-masing.
12. Setelah siap lorek, letakkan pula adunan kosong di atas permukaan supaya menutup semua corak tadi. Pastikan tinggal sedikit adunan untuk buat corak bahagian atas pula.
13. Lebihan adunan kosong tadi bahagikan kepada warna yang kita mahu. Letak warna mestilah lebih terang daripada warna adunan bawah tadi.
14. Kemudian, lorek mengikut kreativiti sendiri. Bakar dengan suhu 130°c selama 1 jam 20 minit. Guna dulang (tray) yang bawah sekali. Selepas 45 minit, letakkan aluminium foil atas loyang supaya tidak hangit.
15. Setelah masak, terbalikkan atas redai atau jaring petak. Jika tiada redai juga tidak mengapa, cuma kek perlu diterbalikkan juga supaya tidak mendap.
16. Selepas 5 atau 10 minit, betulkan semula kek. Kemudian, potong.
Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.