Sejak permulaan masa lagi, wanita sentiasa mengejutkan lelaki dengan kuasa, kekuatan dan kemahiran mereka. Pada zaman purba, beberapa pencapaian berani seorang wanita ini dianggap sangat mengejutkan.

Salah satu daripada kisah luar biasa ini adalah mengenai seorang wanita diraja yang mahir dalam menunggang kuda. Wanita itu ialah Cynisca (atau Kyneska), seorang puteri Sparta.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kehidupan awal Cynisca

Cynisca dilahirkan sekitar tahun 440 SM di sebuah bandar purba Greek iaitu Sparta. Dia adalah anak kepada Raja Sparta, Archidamus II dan Eupoleia. Dia juga merupakan kakak kepada raja Sparta yang seterusnya iaitu Agesilaus II.

archidamus ii

Archidamus II

Dia bukanlah seorang puteri raja tipikal, berpewatakan lemah lembut dan berhemah seperti yang sering kita dengar. Cynisca sangat teruja apabila melakukan aktiviti lasak terutamanya berkaitan dengan menunggang kuda.

Statusnya sebagai puteri raja membolehkannya menerima pendidikan terbaik. Namun, pada masa yang sama dia juga menerima banyak kritikan daripada rakyat. Walaupun aktiviti fizikal adalah sesuatu yang dihargai di Sparta tetapi peranan wanita dalam Sukan Olimpik tidak pernah diketahui sebelum kejayaan yang dicipta Cynisca.

Apa yang diketahui ialah, wanita biasanya tidak dibenarkan untuk menghadiri sebarang pertandingan yang diadakan semasa era Greek purba. Tidak diketahui bagaimana Cynisca boleh mempunyai minat dalam sukan ini atau siapa yang mendorong dan mengajarnya. Bagaimana dia boleh menempa laluan ke Sukan Olimpik juga tidak jelas diceritakan dalam sejarah.

Cynisca seorang yang berani

tethrippon

Penduduk Sparta sememangnya terkenal dengan cara pemikiran yang luar biasa tentang kehidupan dan perang. Nama Cynisca bermaksud "anak anjing betina" dalam bahasa Greek purba, tetapi keperibadian wanita itu jauh berbeza dengan namanya yang manja.

Puteri Cynisca telah berlatih dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak mudah patah semangat untuk mencapai hasil yang terbaik. Walau bagaimanapun, dia terpaksa melalui pelbagai laluan berliku sebelum dibenarkan menyertai pertandingan Sukan Olimpik itu. 

Oleh kerana Cynisca adalah seorang wanita, dia terpaksa mencari sekutu bagi membolehkannya untuk memasuki stadium utama Olympia. Orang yang paling kuat menyokongnya untuk menyertai pertandingan di Sukan Olimpik adalah adiknya sendiri, Agesilaus.

cynisca 2

Adalah diketahui bahawa semasa Cynisca sedang berlatih untuk ke Sukan Olimpik, wanita tidak dibenarkan untuk menghadiri, menonton atau menyertai acara yang diadakan empat tahun sekali itu.

Namun, wanita boleh menjadi penaja kepada pasukan lumba kenderaan kuda di Sukan Olimpik dengan menyediakan kuda terlatih. Itulah yang dilakukan oleh Cynisca.

Wanita dan Sukan Olimpik

agesilaus ii 736

Agesilaus II

Agesilaus telah memutuskan untuk menukar tradisi yang dikira sebagai diskrimaniasi terhadap kaum wanita ini. Bahkan, Agesilaus juga dikenali sebagai Raja Sparta yang paling banyak mempromosi hak wanita berbanding pemerintah sebelumnya. Sparta adalah satu-satunya kerajaan di Greece yang memberikan penghormatan tinggi kepada kaum wanitanya berbanding yang lain.

Raja Sparta itu menggalakkan Cynisca untuk bersaing dalam acara sukan kenderaan kuda itu sendiri. Agesilaus berharap kakaknya yang berbakat akan memenangi perlumbaan itu dan kedudukan wanita di Sukan Olimpik akan berubah selamanya.

Tidak diketahui mengapa Agesilaus memberi dorongan kepada kakaknya untuk menyertai pertandingan itu. Raja Sparta itu sebenarnya kurang berminat dengan perlumbaan tethrippon ini kerana beranggapan sukan itu bergantung kepada kekayaan penaja berbanding kekuatan fizikal seperti sukan lain.

Mungkin sekiranya kakaknya memenangi pertandingan itu, golongan bangsawan lain akan berasa malu dan berhenti bersaing dalam sukan tethrippon ini sekaligus menamatkan acara itu selamanya.

Penyertaan Cynisca 

olimpik greek purba

Puteri Cynisca bersetuju dan dia telah mengupah beberapa orang atlet lelaki menyertai perlumbaan empat ekor kuda berkenderaan yang dikenali sebagai "tethrippon" dalam bahasa Greek.

Dia dan pasukannya berjaya memenangi perlumbaan itu pada Sukan Olimpik ke-96 (396 SM) dan ke-97 (392 SM). Ironiknya, Canisca kemungkinan besar dilarang untuk berada di acara itu untuk menyaksikan kemenangannya sendiri.

Walaupun Cynisca telah memenangi perlumbaan tethrippon itu pada dua kejohanan Sukan Olimpik, ia tidak menghalang golongan bangsawan lain untuk terus bertanding dalam acara itu.

olimpik purba

Satu tugu gangsa Cynisca juga dibina di Kuil Zeus di Olympia bagi mengenang juara wanita pertama Sukan Olimpik itu. Tugunya yang dihasilkan oleh Apelleas itu terletak bersebelahan tugu Troilus, dengan inskripsi ditulis bahawa wanita itu adalah satu-satunya pemenang wanita dalam sukan tethrippon dalam sejarah Sukan Olimpik.

Di samping itu, satu kuil juga didirikan untuk Cynisca di Plane-tree Grove, Sparta. Pelbagai upacara keagamaan diadakan di situ. Hanya raja-raja Sparta sahaja yang biasanya diberi penghormatan seperti ini. Cynisca adalah wanita yang pertama.

Bukan sahaja Cynisca

peserta olimpik wanita

Sejarah mencatatkan lebih banyak lagi kisah mengenai olahraga wanita dari Sparta selepas Cynisca. Salah seorang yang mempunyai pencapaian semasa Sukan Olimpik dan hidup sezaman dengan Cynisca ialah Euryleonis.

Diinspirasikan oleh kejayaan Cynisca, Euryleonis juga menyertai acara tethrippon dan memenangi acara itu pada tahun 368 SM. Malangnya, butiran berkaitan hidupnya hilang daripada sejarah.

Tidak dapat dipastikan sama ada Euryleonis juga keturunan diraja atau wanita bangsawan. Beberapa sumber menyebut bahawa dia adalah seorang penternak kuda namun tiada bukti kukuh untuk dakwaan ini.

Seorang penulis Greek iaitu Pausanias telah merekodkan bahawa patung peringatan Euryleonis yang diperbuat daripada gangsa telah dibangunkan pada tahun 368 SM dan menjadi hiasan di kuil Aphrodite di Sparta.

euryleonis

Beberapa lagi wanita lain yang pernah memenangi pertandingan tethrippon ini ialah Zeuxo, Hermione, Belistiche, Encrateia dan Cassia. Kini, banyak acara sukan di Olimpik boleh disertai oleh wanita tetapi perlumbaan kenderaan kuda tidak dipertandingkan lagi.

Kisah kejayaan Cynisca menjadi wanita pertama yang menyertai dan memenangi Sukan Olimpik menjadi inspirasi kepada ribuan lagi wanita selepas zamannya untuk bertanding dan berusaha keras demi mencapai pingat emas kejohanan dunia yang berprestij ini.

Rujukan:

1. Woman Make History

2. Out Sports

3. CAM WS




Hakcipta iluminasi.com (2017)