Virus corona ketika ini sudah menyebabkan beberapa wabak besar berlaku, khasnya selepas kita memasuki abad ke 21. Angka kematian yang dicatat menyeramkan untuk dibayangkan, jadi amat beruntunglah Malaysia berjaya mengawal jangkitan Covid-10 dengan berkesan.
Ketika ini penyelidik sains khasnya yang berkait dengan pengajian virus atau virologi sibuk mengkaji virus SARS-CoV-2 yang menjadi punca wabak. Semua usaha yang sedang dijalankan ketika ini, layak dikatakan bermula daripada penemuan yang dipelopori seorang penyelidik wanita bernama June Almeida pada tahun 1964.
BESARKAN TEKS A- A+
Beliau bertanggungjawab menjalankan penyelidikan ke atas virus corona, membiakkannya dan membuka jalan kepada kumpulan penyelidik di seluruh dunia memahami ancaman virus corona; namun namanya kurang sekali disebutkan.
Kenapa?
Siapakah June Almeida?
Nama June Almeida tidak terkenal di kalangan orang biasa, namun bagi individu-individu pengkaji lapangan virus nama itu merupakan tokoh yang sangat dihormati.
Lahir dalam sebuah kawasan masyarakat susah di Glasgow, Scotland; sejak muda June Daiziel Hart sudah menunjukkan kecerdikan luar biasa.
Dia cemerlang dalam bidang akademik namun terpaksa berhenti sekolah pada usia 16 tahun. Ini menyebabkan kedudukan June agak unik; dia adalah antara tokoh saintis terkenal dunia yang tiada kelayakan akademik formal dalam bidang sains.
Selepas berhenti sekolah pada tahun 1947, June bekerja sebagai seorang juruteknik di Glasgow Royal Hospital, sebelum berpindah ke London bersama dengan St. Bartholomew Hospital. Di London, June bertemu jodoh dengan seorang lelaki Venezuela bernama Enrique Almeida.
Enrique membawa isterinya yang kini menggunakan nama 'June Almeida' berhijrah ke Ontario, Kanada. Di sinilah tuah June mula kelihatan.
Diiktiraf pakar tanpa pendidikan formal
Pengalaman luas dalam bidang teknikal teknologi mikrosokop membolehkan June diterima sebagai juruteknik di Ontario Cancer Institute.
Situasi di Kanada pada ketika itu membantu beliau.
Kanada pada ketika itu tidak ketat melaksanakan keperluan kelayakan seseorang calon dalam bidang sains berdasarkan sijil pendidikan berbanding Britain. Situasi ini membolehkan hasil kajian June mula diterbitkan sebagai rujukan dalam pelbagai jurnal saintifik negara itu. Pencapaian itu sangat mengagumkan untuk seseorang yang tidak masuk universiti!
Berikutan kemampuan yang terbukti, June ditawarkan untuk kembali ke London bersama Royal Post Graduate Medical School (RPGMS).
Hasil kajian June yang berjaya diterbitkan berkaitan pembangunan mikroskop elektron diterima baik kumpulan penyelidik, melayakkan beliau dianugerahkan anugerah Kedoktoran Sains (DSc) - memberikan June kelulusan akademik tidak rasmi selama ini yang gagal diperolehinya.
'Jurugambar' virus terulung
Reputasi June sebagai seorang pakar mikroskop membolehkan dia menjalankan lebih banyak kajian dalam pembangunan teknologi tersebut.
Hasilnya, June berjaya membangunkan sistem mikroskop pertama yang berjaya menangkap virus penyebab penyakit rubella, dengan menggunakan teknik yang dibangunkan beliau sendiri.
Di antara semua penemuan paling penting June ketika itu, kejayaan beliau mengenalpasti komponen yang membentuk virus hepatitis dianggap sumbangan terbesar. Teknik mikroskopi elekton imun (immune electron microscopy) yang dibangunkannya turut dikongsikan kepada penyelidik lain, membolehkan lebih ramai melakukan kajian ke atas virus dengan lebih baik.
Pada tahun 1964, ketika itu June bekerja dengan St. Thomas Hospital Medical School London - pihak makmal di mana dia bekerja mendapat satu sampel yang dilabelkan sebagai B814 daripada kumpulan penyelidik lain.
Sampel itu mengandungi sejenis virus yang dipercayai menyebabkan penyakit selesema berlaku.
Kumpulan penyelidik itu bagaimanapun gagal untuk mengenalpasti virus tersebut serta tidak berjaya membiakkannya dalam makmal mereka. Sampel itu kemudiannya dihantar kepada June agar beliau dapat menggunakan kepakarannya untuk membantu menjelaskan kekusutan mereka.
'Wajah' virus corona pertama dunia
Dengan teknik imejan virus yang dibangunkan sendiri, June berjaya menemui sejenis virus unik yang belum pernah ditemui sebelum itu; penyebab utama penyakit selesema yang menjangkiti pesakit sumber sampel itu.
Pada mulanya June berpendapat sampel virus yang dihantar itu sangat mirip dengan virus influenza, namun mendapati wujud beberapa perbezaan yang agak ketara bila dibandingkan kedua-duanya.
Virus yang dinamakan sebagai B814 itu mempunyai bentuk yang unik, dikelilingi struktur bentuk-bentuk halo dan tidak pernah direkodkan lagi penemuannya. Disebabkan perbezaan antara virus influenza dan B814, June yakin sampel di tangannya adalah virus jenis baru.
Mengambil bentuk yang unik itu sebagai rujukan, virus itu disifatkan oleh kumpulan penyelidik June mempunyai bentuk yang menyerupai mahkota. Deskripsi yang dibuat itu akhirnya mempengaruhi kumpulan penyelidik selepas beliau, dalam menamakan virus itu virus 'corona,' diambil daripada perkataan Latin yang bermakna mahkota.
Walau demikian penemuan itu tidak dianggap penting, berbanding penemuan virus hepatitis oleh June pada era tersebut. Virus corona yang baru ditemui tidak mengakibatkan jangkitan teruk.
Pesakit yang dijangkitinya hanya akan mengalami demam serta selesema biasa jadi penemuan itu, tidaklah diletakkan sebagai keutamaan utama masyarakat dunia ketika itu yang berdepan banyak jangkitan lain.
Sumbangan June Almeida kepada dunia
June terus kekal bersama RPGMS sebelum menamatkan karier di Wellcome Institute for the History of Medicine sekitar tahun 1980-an. Di sini dia membantu memperkembangkan lagi beberapa teknologi pengimejan virus yang ada, melayakkan beliau menjadi pemegang paten beberapa peranti dalam bidang tersebut.
June turut terlibat menyumbangkan tenaga menyelidik virus HIV pada peringkat awal kajian virus tersebut.
Semasa penghujung hayatnya, nama June Almeida kembali disebut-sebut selepas berlakunya pandemik SARS pada tahun 2003 dan 2004. Hasil penyelidikan terhadap virus baru itu, menyebabkan ramai penyelidik zaman sekarang tidak lupa untuk memberikan penghormatan kepada beliau, atas sumbangan memudahkan pengimejan virus-virus itu dijalankan.
June meninggal dunia pada 1 Disember 2007 akibat serangan jatung, pada usia 77 tahun, meninggalkan untuk kita sumbangan besar dalam pembangunan mikroskop elektron, membolehkan penyelidik menjalankan kajian di pusat perubatan dan universiti, tanpa June benar-benar menjejakkan kaki ke universiti.
Rujukan