Sedar atau tidak, kipas sememangnya sudah menjadi satu keperluan bagi setiap rumah di Malaysia. Hal ini disebabkan cuaca dan suhu di Malaysia yang panas hampir sepanjang tahun. Bagi yang mampu, sudah tentulah penghawa dingin menjadi pilihan.
Sewaktu ketibaan penjajah British di India satu ketika dahulu, mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan pelbagai perkara baru seperti makanan orang India yang pedas, bahasa tempatan yang cukup asing bagi mereka dan termasuklah juga cuacanya yang sangat panas.
BESARKAN TEKS A- A+
Di India, musim panasnya berlangsung antara bulan April dan berakhir sekitar bulan Oktoner. Di bahagian Utara dan Barat pula, musim panas biasanya tiba lebih awal di mana bulan April dan Mei biasanya mencatatkan rekod suhu paling tinggi.
Di bahagian timur India dan di kawasan pantai, musim hujan menangguhkan permulaan musim panas. Namun, apabila hujan makin berkurangan, suhu akan makin meningkat ditambah pula dengan tahap kelembapan dari kawasan laut yang menjadikan bahangnya sangat terasa dan menyiksakan.
Sebelum kewujudan kipas elektrik
Seorang wanita bangsawan sedang duduk di bawah punkah
KIta seharusnya bersyukur sudah mempunyai teknologi kipas elektrik yang boleh dipasang tidak mengira waktu dan cuaca. Sebelum kewujudan kipas elektrik, sudah menjadi kebiasaan orang dahulu untuk tidur di luar rumah sambil beratapkan atap rumah atau pokok dimana suhunya lebih sejuk.
Bagi golongan kaya yang berkemampuan pula, mereka akan menggunakan punkah. Punkah merupakan sebuah kipas yang diletakkan di siling. Bezanya adalah kipas ini akan bersambung dengan tali panjang dan akan digerakkkan menggunakan tenaga manusia.
Bilah Punkah biasanya diperbuat daripada pokok tebu atau kayu rata berbentuk segi empat tepat. Ianya digantung pada siling bilik dan ditarik menggunakan sistem takal dan tali. Biasanya punkah akan digerakkan oleh orang gaji atau hamba yang dikenali sebagai punkah-wallah.
Tali yang bersambung dengan sistem takal ini akan ditarik secara berulang-ulangv seterusnya mewujudkan pergerakan punkah yang cukup laju dan mampu menghasilkan pergerakan udara yang nyaman bagi membolehkan orang British dan orang kaya India dan tidur dengan nyenyak sekali.
Peranan punkah-wallah
Disebabkan ianya perlu dioperasikan oleh seorang hamba, maka kebiasaannya punkah hanya boleh ditemui di rumah-rumah orang kaya dan pejabat-pejabat kerajaan. Penggunaan punkah bukan hanya terhad di bilik tidur dan pejabat sahaja, tetapi juga di tempat-tempat lain di dalam rumah atau bangunan.
Sebagai contoh, punkah turut diletakkan di bilik mandi, tempat makan, tempat menyalin pakaian dan sebagainya. Kebiasaannya orang suruhan akan mengarahkan punkah-wallah untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk menggerakkan punkah bergantung lokasi tuan mereka berada.
Disebabkan punkah dipasang di pelbagai lokasi ini, maka kebiasaannya seorang individu kaya akan mempunyai 2 orang punkah-wallah yang akan bertukar-tukar giliran mengerakkan punkah. Sebaik sahaja bangun sehinggalah tidur, 2 orang punkah-wallah inilah yang akan bertugas memastikan punkah sentiasa berputar.
Kebiasaannya seorang punkah wallah akan diletakkan di penjuru sesebuah bilik dan menarik-menarik tali punkah untuk memastikannya sentiasa bergerak. Disebabkan lokasinya ini yang begitu hampir dengan tuannya, kebiasannya hanya individu yang mempunyai masalah pendengaran sahaja yang diambil bekerja agar segala percakapan tidak didengari mereka,
Bagi punkah-wallah yang tidak mempunyai masalah pendengaran pula, mereka biasanya akan diletakkan di bilik khas yang terletak bersebelahan dengan punkah yang dikawal oleh mereka. Tali yang dipegang akan melalu satu lubang kecil pada dinding dan bersambung dengan punkah.
Secara umumnya, kerja sebagai seorang punkah-wallah tidaklah sukar kerana mereka hanya perlu menarik tali dengan menggunakan tenaga yang minimum. Walau bagaimanapun, ianya sangat meletihkan kerana mereka perlu bekerja dalam tempoh waktu yang panjang.
Selain itu, kerja sebagai seorang punkah-wallah ini sangat membosankan kerana mereka perlu membuat perkara yang sama berulang-ulang setiap hari. Disebabkan hal inilah, punkah-wallah ini biasanya terdiri daripada golongan miskin yang mempunyai kasta rendah dalam masyarakat.
Berakhirnya tradisi punkah
Punkah dipercayai mulanya wujud di India sebelum tersebar ke luar negara. Malah, suatu ketika dahulu ianya sudah menjadi satu perkara yang wajib ada di rumah-rumah-rumah pemilik ladang di negeri-negeri selatan Amerika kerana secara puratanya suhu disini adalah lebih tinggi.
Peningkatan akses kepada tenaga elektrik dan penciptaan kipas siling elektrik pada penghujung abad ke 19 telah membawa pengakhiran kepada penggunaan punkah dan khidmat punkah-wallah.
Di Amerika Syarikat, terdapat kira-kira 40 punkah yang masih berada dalam keadaan baik. Dr. Dana E. Byrd, seorang pengkaji Punkah telah merekodkan lokasi serta gambar-gambar Punkah yang ditemuinya di serata Amerika Syarikat di laman webnya Punkah Project.
Kredit: