Pelbagai teori berkenaan bentuk pembentukan muka bumi disebutkan, dengan beberapa pandangan menyatakan; satu masa dulu daratan yang ada sebenarnya berhubung di antara satu sama lain.
Salah satu lokasi yang benar-benar membuktikan teori tersebut adalah 'Adam's Bridge' atau 'Jambatan Adam,' dipercayai laluan yang digunakan oleh manusia pertama bumi, Adam as. ketika Baginda menuju ke lokasi yang kini dikenali sebagai Gunung Adam di Sri Lanka.
BESARKAN TEKS A- A+
Selain dikaitkan dengan Adam as., legenda berkenaan Dewa Rama dalam hikayat Ramayana juga menyifatkan laluan yang kini tenggelam ini sebenarnya jambatan yang dibina oleh Hanuman dan tenteranya, bagi membolehkan Rama menyelamatkan isterinya Sita yang diculik.
Bagi penganut agama Hindu, laluan ini dikenali sebagai 'Jambatan Rama.' Kami sudah menceritakan tentang kisah itu dalam artikel ini.
Walau apa pun kepercayaan yang ada, sama ada diceritakan secara sahih, fakta atau legenda - apa yang kita tahu Jambatan Adam memang ada. Jadi mari kita pelajari serba sedikit berkenaan laluan unik ini.
Kedudukan Sri Lanka yang unik
Sekiranya anda amati peta dunia ketika ini, hujung Sri Lanka dan India dipisahkan oleh satu selat yang dikenali sebagai Selat Palk; dinamakan sempena nama Robert Palk yang pernah menjadi gabenor British di Madras.
Selat Palk merupakan sebuah selat dengan panjang 64 km memisahkan kedua-dua negara itu. Tidak jauh daripada Selat Palk, wujud beberapa kawasan pasir dan pulau batu karang yang memisahkan Pulau Pamban di India dengan Pulau Mannar di Sri Lanka.
Berdasarkan rekod sejarah yang kita ketahui sekarang - 500 tahun dahulu Sri Lanka sebenarnya bersambung dengan tanah besar India; menjadikan Sri Lanka sebenarnya sebuah semenanjung, sama seperti kita.
Laluan ini bagaimanapun musnah, selepas satu kejadian bencana ribut yang berlaku pada tahun 1480 - memisahkan kawasan yang kini kita kenali sebagai Sri Lanka dengan tanah besarnya.
Hasil daripada bencana itu, Sri Lanka kini menjadi sebuah pulau.
Keunikan Jambatan Adam
Mempunyai panjang 48 km sekiranya diukur daripada penghujung India ke penghujung Sri Lanka, Jambatan Adam yang ada sekarang adalah gugusan tanah yang dibentuk daripada 103 buah kumpulan batu karang dan pasir yang melengkung bentuknya.
Walaupun ketika waktu air surut, kawasan ini tetap akan ditenggelami air sedalam 1 meter yang menghalang laluan ini daripada digunakan.
Rekod terawal tentang Jambatan Adam ini memang terkandung dalam hikayat Ramayana, seperti yang telah kami nyatakan di atas.
Rekod masyarakat luar pula hanya ditemui pada abad ke 9, hasil catatan seorang ahli geografi Parsi bernama Ibn Khordadbeh ketika zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah.
Dalam buku beliau yang berjudul 'Kitab al-Masalik w'al-Mamalik' atau 'Buku Tentang Laluan dan Kerajaan,' Ibn Khordadbeh menceritakan tentang laluan-laluan perdagangan utama yang digunakan oleh pedagang Muslim sehingga mereka mampu tiba di Jepun, Korea dan China serta beberapa kawasan sekitarnya.
Dicatatkan dengan nama 'Set Bandhai' dalam bukunya yang membawa makna 'jambatan di tengah lautan,' catatan ini menunjukkan memang wujud satu laluan yang menghubungkan dua kawasan terbabit dan laluan ini bunyinya mirip sebuah jambatan biasa yang dibina manusia.
Misteri yang menyelubungi Jambatan Adam
Oleh kerana disebutkan dalam hikayat kepercayaan masyarakat Hindu, jadi kajian oleh orang India melibatkan Jambatan Adam kerap kali dilakukan.
Seorang geologis yang mengabdikan hidupnya bagi memelihara 'Ram Sethu' (nama Jambatan Adam dalam bahasa Tamil iaitu 'Jambatan Rama') bernama Dr Badrinarayanan, telah melakukan beberapa kajian yang mendalam tentang misteri di sebalik kewujudan Jambatan Adam.
Dalam kaji selidik yang dijalankan bersama Jabatan Kajian Geografi India, Dr Badrinarayanan mendapati bahawa laluan yang kita namakan sebagai Jambatan Adam ketika ini sebenarnya dibina oleh tangan manusia; bukan sesuatu yang terbentuk secara semula jadi.
Dengan menggunakan mesin penggali pada kedalaman 6 meter di bawah dasar permukaan lautan, didapati wujudnya lapisan-lapisan batu berlapis-lapis, seolah-olah struktur penyokong dalam membina jambatan dibentuk.
Apabila kajian terhadap usia batu itu dilakukan, didapati batu yang kini sudah tenggelam agak dalam itu berusia 7,000 tahun sementara pasir di bawahnya baru berusia 4,000 tahun.
Berikutan ketidaksamaan ini, wujud teori yang belum dapat dibuktikan bahawa ada pihak yang membawa batu-batu itu ke situ bagi tujuan pembinaan jambatan.
Berdasarkan kajian Dr. Badrinarayanan, beliau percaya jambatan itu dibentuk sekitar 4,000 ke 5,800 tahun dahulu, dibina menggunakan batu yang diambil daripada Pulau Pamban.
Dalam usaha menggali yang dijalankan, pasukan Dr. Badrinarayanan juga menemui kewujudan mata air panas yang menyebabkan suhu air mampu mencecah 60 ke 70 darjah celcius; menunjukkan bahawa ada aktiviti gunung berapi yang aktif terletak berhampiran dengan Jambatan Adam.
Sehingga kini, dakwaan sama ada Jambatan Adam atau Ram Sethu ini benar-benar terbentuk secara semulajadi atau memang jambatan buatan manusia belum dapat dipastikan.
Jika penyelidikan dan dakwaan Dr. Badrinarayanan benar dan Jambatan Adam memang buatan orang - sukar untuk dibayangkan bagaimana saiz manusia yang membuatnya.
Ini kerana batuan yang terbentuk itu mempunyai saiz 2 ke 3 kilometer lebarnya dengan panjang 48 km - layak dikatakan bukan hasil kerja manusia bersaiz biasa macam kita.
Rujukan
Ram Setu was man-made, says Science Channel: All you need to know about prehistoric Adam's Bridge