Perisik telah wujud dalam sejarah sejak ribuan tahun yang lalu. Dalam sesuatu peperangan, perisik memainkan peranan penting yang boleh menentukan kemenangan atau kekalahan sesuatu pihak.
Mereka biasanya mencuri maklumat penting seperti rancangan, taktik atau kekuatan pihak musuh. Ketika Perang Dunia Kedua, pihak Nazi Jerman mempunyai seorang perisik yang dianggap paling berbahaya kepada Pihak Bersekutu (Allies).
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah kisah Elyesa Bazna, perisik yang hampir memberikan kemenangan kepada Hitler dalam WWII.
Daripada pelayan kepada perisik
Ketika berusia 40-an, Elyesa Bazna merasai kehidupannya masih belum stabil. Dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjadi pemandu, tukang kunci, bahkan sebagai penyanyi opera profesional buat seketika.
Pada April 1943, dia diterima bekerja sebagai pelayan di kedutaan British di Ankara, Turki. Dia tertanya-tanya, adakah setakat ini sahaja pencapaiannya dalam hidup.
Pada suatu hari, dia mendapat idea bagaimana untuk mengubah kehidupannya. Dia mahu menggunakan kelebihannya bekerja dengan British untuk memperolehi kekayaan.
Sir Hughe Knatchbull-Hugessen dan isterinya
Ketika itu, dia merupakan pelayan kepada Sir Hughe Knatchbull-Hugessen, Duta Besar Britain ke Turki. Sir Hughe amat mempercayai Bazna yang banyak membantunya dalam urusan sehari-harian.
Namun, Sir Hughe tidak mengetahui bahawa Bazna pernah dipecat sebelum ini ketika bekerja di Kedutaan Jerman kerana kesalahan mengambil gambar dokumen di sana. Dia juga tidak menyedari bahawa pelayannya menawarkan diri untuk menjadi perisik Jerman.
Bekerja untuk pihak Jerman
Pada 25 Oktober 1943, Bazna telah mengambil gambar beberapa dokumen milik Douglas Busk, bekas majikan yang telah memperkenalkannya kepada Sir Hughe. Bazna tidak tahu apa yang dicurinya kerana dia tidak pandai membaca atau bertutur dalam bahasa Inggeris.
Namun, ia nampaknya sangat bernilai apabila Duta Jerman, Franz von Papen, sanggup membayar Bazna sebanyak £ 20,000 atau hampir £ 935,000 (RM 5.3 juta) pada hari ini. Untuk setiap dokumen tambahan, dia dibayar sebanyak £ 15,000.
Franz von Papen, kanan, bersama Adolf Hitler
Kerja Bazna dipermudahkan lagi oleh sikap sambil lewa Sir Hughe yang kerap membawa pulang dokumen sulit ke rumahnya. Walaupun dokumen itu disimpan di dalam sebuah peti, ia bukanlah masalah besar kepada Bazna yang pernah menjadi tukang kunci.
Apabila Franz von Papen menyedari betapa bernilainya Bazna, dia memutuskan untuk mengeluarkan perbelanjaan besar bagi mengekalkan perisik itu dan memberikannya kod nama baru iaitu "Cicero".
Membongkar rahsia tertinggi Pihak Bersekutu
Dokumen pertama yang dijual mengandungi minit Persidangan Moscow ketiga di mana pemimpin kanan Pihak Bersekutu membincangkan kemajuan dan perancangan perang. Cicero telah memberikan maklumat tahap tinggi kepada Nazi.
Bazna menunjukkan kesetiaannya kepada Sir Hughe sementara mencuri puluhan lagi dokumen penting dan menambah kekayaannya dengan setiap penjualan maklumat kepada Nazi.
Elyesa Bazna selepas bersara sebagai perisik Jerman
Sepanjang tahun 1943, banyak maklumat sulit yang diperolehi Bazna tetapi tidaklah sepenting minit persidangan Pihak Bersekutu di Moscow, Tehran dan Kaherah. Kerana tidak memahami bahasa Inggeris, Bazna mengambil gambar semua dokumen termasuklah senarai barang keperluan Sir Hughe.
Pada Disember 1943, perisik Pihak Bersekutu menyedari berlakunya kebocoran maklumat. Apabila pasukan penyiasat Britain tiba di Turki, Bazna terlepas daripada disyaki kerana mereka menyangka dia terlalu bodoh untuk menjadi perisik sehebat itu. Tambahan pula, dia tidak tahu berbicara atau memahami bahasa Inggeris.
Jerman mensia-siakan kebolehan Bazna
Pihak Nazi dilihat gagal untuk bertindak berdasarkan maklumat berharga Bazna. Satu-satunya tindakan dilakukan mereka adalah rancangan untuk menghantar komando SS (pasukan elit Nazi) ke Persidangan Tehran bagi membunuh Winston Churchill, Joseph Stalin dan Franklin Roosevelt. Namun, operasi itu tidak berlaku.
Banyak maklumat Bazna hilang dalam pertengkaran birokrasi rejim Nazi. Franz von Papen dan ketuanya, Menteri Luar Negeri Joachim von Ribbentrop tidak sehaluan. Manakala ketua komando SS, Ernst Kaltenbrunner pula membenci mereka berdua.
Dari kiri: Pemimpin USSR - Josep Stalin, Presiden Amerika - Franklin Roosevelt dan Perdana Menteri Britain - Winston Churchill
Pasukan perisik tentera Nazi iaitu Abwehr pula iri hati dengan kawalan pasukan SS terhadap "Operasi Cicero" dan berusaha untuk menggagalkannya. Malah, ramai pemimpin Nazi mengatakan bahawa dokumen "Operasi Cicero" itu adalah palsu kerana maklumatnya terlalu berkualiti tinggi.
Jika mereka memandang dengan lebih serius, mereka mungkin menyedari bahawa pada penghujung tahun 1943, satu perkataan iaitu "Warlord" kerap muncul dalam dokumen yang dicuri Bazna.
Setelah Bazna dan orang tengahnya, Ludwig Carl Moyzisch menyedari bahawa perkataan itu merujuk kepada rancangan Pihak Bersekutu untuk menceroboh Eropah Barat, mereka melaporkannya kepada Berlin. Namun, pemimpin Nazi membalas "Mungkin berlaku tetapi agak mustahil".
Akhirnya pada 6 Jun 1944, Pihak Bersekutu mendaratkan lebih dua juta tentera di pesisir pantai Normandy, Perancis, yang menjadi permulaan kepada kejatuhan pemerintahan fasis di Eropah.
Operasi Overlord atau D-Day
Kegagalan Jerman menghargai perisik terhebat mereka menyebabkan mereka melakukan pelbagai kesilapan seperti mengerahkan pasukan tentera ke kawasan yang salah dan akhirnya dikalahkan.
Kesudahan Operasi Cicero
Pada Januari 1944, orang tengah Bazna iaitu Moyzisch telah melantik setiausaha baru yang dikenalinya dengan nama Elisabet. Wanita itu sebenarnya adalah Cornelia Kapp, anak kepada konsul Jerman di Amerika.
Moyzisch tidak tahu bahawa beberapa minggu sebelum itu, Kapp telah menawarkan diri kepada Amerika untuk mengintip Jerman sebagai pertukaran kepada perlindungan untuk dia lari ke Amerika.
Ketika menjadi setiausaha Moyzisch, Kapp beberapa kali memerhatikan bosnya bertemu dengan Bazna dan mula mengumpulkan bukti terhadap Cicero.
Bazna menyedari peluangnya untuk mengintip semakin sukar apabila pihak British memperketatkan keselamatan di kedutaan mereka. Pada Mac 1944, dia menyerahkan surat perletakkan jawatannya.
Antara filem yang diadaptasi dari kisah Bazna
Bazna yang ingin memulakan kehidupan baru terkejut dan kecewa apabila mendapati sebahagian besar mata wang Britain yang diterimanya sebanyak £ 300,000 itu adalah wang palsu yang dihasilkan pihak Nazi.
Nilai kerugian Bazna yang ditipu pihak Nazi adalah bernilai sekitar RM 70 juta pada hari ini. Elyesa Bazna meninggal dunia pada 21 Disember 1970 dalam keadaan miskin.