Oleh pada 03 Aug 2019 kategori

Ketika Eropah dan seluruh dunia sedang dilanda Perang Dunia Kedua, satu organisasi tentera British iaitu Special Operation Executive (SOE) telah merancang untuk melakukan misi mustahil di Pulau Crete, Greece.

Pasukan SOE yang menjalankan misi penculikan

Rancangan awal mereka adalah untuk menculik komander Jerman di Bahagian Infatri Pendaratan Udara ke-22, Friedrich-Wilhelm Muller, yang ketika itu menjadi gabenor yang digeruni di pulau terbesar di Greece itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Muller dibenci penduduk setempat kerana dia sering menindas, menyiksa dan membunuh penduduk tempat sehingga mendapat jolokan The Butcher of Crete (Penyembelih Crete). Kekejamannya adalah serupa dengan seorang lagi rakan sejawatnya iaitu SS Reinhard Heydrich di Prague.

Di Crete, terdapat satu gerakan penentang yang aktif dan disokong oleh British. Pihak British dan Greece telah merancang sesuatu yang berani iaitu menculik Butcher of Crete dan menentang saki-baki tentera Nazi yang berada di pulau itu.

friedrich wilhelm muller

Friedrich-Wilhelm Muller

Pegawai SOE seperti Mejar Patrick Leigh Fermor dan Kapten Stanley William Moss telah diberikan tanggungjawab untuk menjalankan operasi itu bersama-sama agen-agen SOE Greece, Georgios Tyrakis dan Emmanouil Paterakis. Misi itu juga akan melibatkan kerjasama dari gerakan penentang di pulau itu yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Crete.

Pada 4 Februari, operasi itu dilancarkan apabila kumpulan khas itu diterbangkan menggunakan pesawat dari Mesir. Mereka merancang untuk mendarat menggunakan payung terjun di wilayah musuh.

Walaupun cuaca agak buruk ketika itu, Mejar Leigh Fermor berjaya mendarat dengan selamat di zon pendaratan. Kumpulan penentang yang menunggu pasukan khas itu telah menyembunyikan Fermor dengan segera. Fermor kemudian bergabung dengan seorang lagi ejen SOE yang merupakan penasihat kepada kumpulan penentang iaitu Sandy Rendel.

kapten moss mejar leigh fermor dan emmanouil paterakis

Kapten Moss, Mejar Leigh Fermor dan Emmanouil Paterakis sebelum operasi menculik pegawai Nazi

Tiga lagi anggota SOE yang lain terpaksa kembali ke Mesir dan bersedia untuk usaha pendaratan yang akan datang. Selepas tiga kali lagi percubaan mereka mendarat menggunakan payung terjun gagal, kru SOE itu akhirnya tiba di pulau itu menggunakan bot hampir dua bulan kemudian. Pada waktu itu, sasaran mereka iaitu Friedrich-Willhelm Muller sudahpun digantikan dengan pegawai yang baru.

Muller dipindahkan dan dinaikkan pangkat menjadi Panglima Pasukan Pengawal yang berpengkalan kepulauan Dodecanese, Greece. Tempatnya di Crete telah digantikan dengan Jeneral Heinrich Kreipe. Pasukan SOE yang sudah berada di pulau itu memutuskan untuk meneruskan rancangan penculikan mereka. Sasaran mereka kini bertukar dari Muller kepada Kreipe.

general heinrich kreipe diculik british

Jeneral Heinrich Kreipe

Jeneral Heinrich Kreipe tinggal di sebuah rumah besar di desa Knossos, tempat yang dipercayai suatu masa dahulu adalah lokasi Labyrinth yang terkenal. Labyrinth adalah tempat tinggal makhluk mitos separuh manusia dan separuh seladang, Minotaur.

Untuk menambahkan lagi simbolisme, rumah Jeneral Kreipe itu dipanggil Villa Ariadne, sempena nama puteri pulau Crete, Puteri Ariadne. Dalam legenda, puteri itu telah membantu Theseus yang terperangkap di Labyrinth untuk mencari jalan keluar. Jeneral Kreipe yang sememangnya meminati legenda Yunani kuno sememangnya memilih lokasi itu sebagai kediamannya.

Para penentang telah menawan sebuah rumah berhadapan dengan villa Jeneral Kreipe untuk memudahkan operasi itu. Mejar Leigh Fermor pula menyamar sebagai seorang pengembala haiwan untuk membiasakan diri dengan kawasan itu. Dia juga menaiki bas tempatan untuk memeriksa kawasan Knossos dan sekitar ibu pejabat Jerman di situ.

kereta yang digunakan jeneral heinrich kreipe

Kereta yang dinaiki Jeneral Heinrich Kreipe

Dalam pengamatannya, Mejar Leigh Fermor memutuskan bahawa ibu pejabat Jerman itu terlalu sukar untuk ditembusi. Berdasarkan maklumat perisikan yang telah dikumpulkan, misi menculik Jeneral Heinrich Kreipe kini bermula.

Pada malam 26 April 1944, Mejar Patrick Leigh Fermor dan Kapten Stanley William Moss telah menyamar dengan memakai pakaian koperal Polis Tentera Jerman atau Feldengerdarmerie.

Dalam penyamaran itu, mereka ditempatkan di laluan yang seriang digunakan Jeneral Kreipe untuk pulang ke rumahnya. Mereka merancang untuk memintas kereta Kreipe. Setibanya limo yang dinaiki Jeneral Nazi itu, mereka menahan kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis tentera.

checkpoint tentera jerman

Pada mulanya Jeneral Kreipe tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Apabila Kapten Moss memukul pemandu limo itu barulah Kreipe mengerti bahawa pasukan SOE telah datang untuk menculiknya.

Kapten Moss mengambil alih tempat duduk pemandu dan Mejar Leigh Fermor pula menyamar sebagai Jeneral Kreipe. Sementara itu Tyrakis dan Peterakis pula bersembunyi dan mengawal Kreipe di bahagian belakang kenderaan semasa mereka melewati pemeriksaan Jerman.

Mereka memandu selama hampir sejam setengah, melepasi 22 sekatan jalan raya yang dilakukan tentera Nazi tanpa ditangkap. Kumpulan SOE itu kemudian berpisah di Heraklion.

heinrich kreipe dibawa melalui kawasan bukit ketika diculik

Heinrich Kreipe (tengah, dua dari kanan) dibawa melalui kawasan bukit ketika diculik

Mejar Leigh Fermor telah meninggalkan sepucuk dokumen di dalam kereta Jeneral Kreipe yang menyatakan bahawa penculikan itu dilakukan oleh SOE dan penduduk tempatan tiada kena mengena dengan kejadian itu. Ia bertujuan untuk meyakinkan tentera Jerman untuk tidak melakukan pembalasan terhadap penduduk tempatan.

Kapten Moss dan dua orang ejen SOE Greece membawa Kreipe ke seberang pulau di mana mereka sepatutnya bertemu dengan Mejar Leigh Fermor. Mereka terpaksa bergerak melalui kawasan berbukit dengan pantas kerana diburu oleh pasukan peronda Jerman. Setelah hampir dua minggu mengelak dari dikesan, mereka akhirnya disambut dengan sebuah bot untuk melarikan diri.

kapten moss dan mejar leigh fermor jpe

Kapten Moss dan Mejar Leigh Fermor

Pada 14 Mei di pantai berhampiran bandar Rodakino, pasukan SOE itu bersama tawanan mereka, Heinrich Kreipe, berjaya dibawa keluar dari pulau Crete. Pada petang yang sama, mereka dipindahkan di tempat selamat di pelabuhan Mersa Matruh, Mesir, yang dikuasai pihak Sekutu.

Fakta menarik tentang bagaimana misi penculikan mustahil ini boleh berjaya adalah kerana Heinrich Kreipe tidak begitu popular di kalangan pegawai-pegawai tenteranya sendiri. Salah satu sebab mengapa Kreipe tidak disukai adalah kerana keengganannya untuk menghentikan kenderaan di pusat pemeriksaan Nazi.

Ketegangan antara Jeneral dan tenteranya ini menjelaskan mengapa para petugas sekatan jalan raya tidak menghentikan kereta Jeneral itu ketika dia diculik kerana dia sudah biasa melalui sekatan tanpa berhenti.

pasukan penentang crete yang membantu british

Pasukan penentang Crete yang banyak membantu tentera British

Pihak Sekutu cuba menyebarkan propaganda dengan mengatakan bahawa penculikan Kreipe itu adalah rekaan untuk menutup kisah sebenar bahawa Jeneral itu berpaling tadah kepada Nazi dengan menyertai Pihak Sekutu.

Nazi bagaimanapun tidak melakukan tindak balas segera mengenai penculikan itu. Pada bulan Ogos 1944, mereka telah memutuskan untuk memanggil semula The Butcher of Crete, Friedrich-Wilhelm Muller.

nazi melakukan pembunuhan beramai ramai

Muller kemudian melakukan pembunuhan beramai-ramai yang digelar sebagai "Holocaust Amari". Kekejaman ini berlaku ke atas sembilan buah kampung di Lembah Amari, di mana semua kampung itu dibakar dan penduduk-penduduknya ditembak mati.

Tentera British mungkin berjaya mengangkap Henrich Kreipe, tetapi raksasa sebenar Crete iaitu Jeneral Muller telah terlepas daripada genggaman mereka.

mejar leigh fermor dan heinrich kreipe bertemu semula di greece pada 1972

Mejar Leigh Fermor dan Heinrich Kreipe bertemu semula di Greece pada 1972

Sehinggalah Perang Dunia Kedua berakhir barulah Muller berjaya ditangkap di Jerman dan diekstradisi ke Greece. Dia kemudian disabitkan bersalah atas jenayah perang yang dilakukan dan dihukum mati pada tahun 1946.

Rujukan:

1. Ekathimerini

2. War History

3. WW2 Grave Stone




Hakcipta iluminasi.com (2017)