Oleh pada 16 Sep 2018 kategori

Noor Inayat Khan adalah seorang penulis buku cerita kanak-kanak dan juga penulis sajak. Bukan itu sahaja, dia juga merupakan seorang keturunan diraja dan juga wirawati Muslim British yang pertama.

Dia dilahirkan di Moscow, Rusia pada tahun 1914 dan bapanya mempunyai pertalian saudara dengan pemerintah kerajaan Mysore di India iaitu Sultan Tipu atau dikenali juga sebagai Tipu Sahib.

BESARKAN TEKS     A-  A+

keluarga noor inayat khan

Bapa Noor juga seorang pengajar fahaman Universal Sufism dan salah seorang pengasas kepada pertubuhan Inayati Order di Britain. Noor dibesarkan sebagai seorang yang cintakan keamanan. Ketika berusia enam tahun, keluarganya telah berpindah ke Perancis. 

Di Perancis, Noor telah belajar di Sorbonne University dan juga di Conservatoire de Paris (tempat pembelajaran muzik, drama dan tarian), di mana dia memulakan kariernya sebagai seorang penulis.

Pada tahun 1940 ketika Perang Dunia Kedua meletus, Noor dan keluarganya telah melarikan diri ke England. Di sinilah Noor membuat keputusan untuk memberi sumbangan dan bantuan dalam menentang kuasa Nazi.

operator radio wanita ww2

Dia telah menyertai Pasukan Bantuan Wanita untuk Tentera Udara dan dilatih menjadi operator radio tanpa wayar. 3 tahun kemudian pada tahun 1943, dia telah diserap dan diambil untuk menyertai kumpulan Pegawai Operasi Khas British.

Pihak atasan Noor pada mulanya agak ragu sama ada dia layak atau tidak untuk menjalankan tugasnya kerana tubuh badannya yang kecil dan personalitinya yang kadangkala agak panas baran. Namun, satu perkara yang mereka tidak dapat sangkal adalah dia seorang yang berdedikasi semasa menjalankan tugasnya.

Noor yang pernah mendapat latihan sebagai operator radio di dalam Pasukan Bantuan Wanita sebelum ini telah menyerlah di dalam pasukannya sebagai seorang pakar penghantar isyarat.

perisik noor inayat khan

Pada Julai 1943, hanya selepas empat bulan menjalani latihan Pegawai Operasi Khas, dia telah ditempatkan di Paris untuk menghantar maklumat kepada pihak British di bawah kod nama "Madeline".

Ketika Noor baru sahaja sampai di Paris, hampir kesemua operator radio yang lain telah ditangkap dan bakal dihantar pulang ke Britain. Bagi Noor yang pernah tinggal di Paris sebelum ini, dia berjaya tinggal bersendirian di sana selama empat bulan dan menghantar maklumat perisikan penting kepada Britain dari seluruh Paris sambil mengelak daripada ditangkap oleh pihak Jerman.

wanita ditahan oleh nazi

Noor akhirnya telah dibelot oleh agen talam dua muka yang menyebabkan dia ditangkap oleh pihak Nazi. Dia telah ditahan dan dibawa untuk disoal siasat di ibu pejabat Sicherheitsdienst atau SD di Paris.

Walaupun dia berhadapan risiko diseksa namun Noor tetap tidak mahu mendedahkan apa-apa informasi kepada pihak Nazi. Apa yang terjadi adalah dia telah memberikan maklumat palsu kepada mereka. Bukan sahaja dia bertahan ketika disoal siasat malah Noor juga beberapa kali telah cuba untuk melarikan diri.

Pada 25 November 1943, Noor Khan telah berjaya melepaskan diri dari ibu pejabat SD itu namun telah ditangkap semua. Oleh kerana khuatir perkara yang sama akan berlaku kembali, pihak Nazi telah menghantar Noor ke Jerman.

kem tahanan dachau jerman

Di sana dia telah ditahan di penjara Pforzheim dan dikurung seorang diri selama 10 bulan lamanya. Walaupun ketika dikurung secara berasingan, dia masih dapat berkomunikasi dengan banduan yang lain dengan mengukir nota di bawah cawannya untuk memberitahu siapakah dirinya yang sebenar.

Pada bulan September 1944 dia telah dihantar ke kem tahanan Dachau di selatan Jerman bersama dengan empat perisik yang lain. Pada pagi 13 September, mereka telah dihukum bunuh oleh skuad menembak. Perkataan terakhir yang dijeritkan oleh Noor adalah "Liberté" yang membawa maksud kebebasan.

tugu peringatan noor khan

Selepas kematiannya, Noor Khan telah dianugerahkan darjat Croix de Guerre Perancis dengan Bintang Perak dan juga Salib George, satu penghormatan tertinggi British terhadap sifat kewiraan dalam menghadapi bahaya tanpa kehadiran musuh.

Satu patung daripada gangsa juga telah dibuat dan diletakkan di rumah lamanya di London bagi memperingati wirawati Britain dengan keberanian ekstrem dan perkhidmatan yang telah diberikannya. 

Rujukan :

1. Independent News

2. BBC

3. The Guardian




Hakcipta iluminasi.com (2017)