James Bond atau ejen 007 merupakan seorang perisik British yang sering berpakaian segak, hebat berlawan, digilai wanita dan sentiasa mengalahkan musuhnya.
Watak James Bond telah dicipta oleh seorang penulis yang juga perisik British bernama Ian Fleming. Dialog paling popular ejen 007 itu ialah "The name is Bond, James Bond."
Walau bagaimanapun, watak James Bond sebenarnya diinspirasikan oleh watak sebenar seorang ejen bermuka dua Serbia, Dusko Popov. Walaupun tidak terkenal, Popov mempunyai kisah hidup yang mungkin membuatkan ejen 007 cemburu.
BESARKAN TEKS A- A+
Kehidupan awal Dusko Popov
Popov dilahirkan di Serbia pada tahun 1912 dalam keluarga yang sangat kaya. Ketika membesar, dia mendapat pendidikan di beberapa sekolah paling berprestij di Eropah di mana dia mempelajari bahawa Itali, Perancis dan Jerman.
Bapanya kemudian menghantar Popov melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama yang terkenal di Surrey, England. Namun, pengajiannya di sana tidak lama kerana dia ditangkap merokok dan melawan guru.
Popov kembali ke Eropah dan menghabiskan sekolah tingginya sebelum memasuki University of Belgrade untuk pengajian jurusan undang-undang. Setelah mendapatkan ijazah, dia berpindah ke Jerman untuk melanjutkan pengajian sambil meningkatkan kemahiran bahasa Jermannya.
Di Jerman, dia mula berkawan baik dengan Johann Jebsen. Seperti Popov, Jebsen juga berasal dari keluarga yang kaya-raya. Mereka berdua mempunyai minat yang sama terhadap kereta sport dan wanita.
Bencikan Nazi Jerman
Mereka bukan sahaja berkongsi minat yang sama tetapi juga berkongsi kebencian yang sama. Popov dan Jebsen benci kepada parti Nazi yang baru sahaja mengambil alih Jerman.
Popov lantang menyuarakan pendapatnya dan pernah terlibat dalam perbahasan dengan pelajar Nazi di University of Freiburg. Kelantangannya itu telah menarik perhatian Gestapo (polis rahsia Nazi).
Setelah menghabiskan pengajian PhD pada tahun 1937, Popov bercadang untuk meraikannya di Paris. Sebelum sempat bertolak, dia ditangkap Gestapo kerana disyaki menjadi anggota komunis.
Jebsen segera menghubungi bapa Popov untuk melaporkan apa yang berlaku. Popov menghabiskan lapan hari di Penjara Freiburg sebelum bapanya berjaya membebaskannya dengan bantuan kerajaan Yugoslavia.
Popov kemudian menaiki kereta api ke Switzerland di mana dia bertemu dengan Jebsen di sana. Terhutang budi dengan rakan baiknya, Popov berjanji akan memberi pertolongan jika Jebsen memerlukannya kelak.
Kehidupan sebagai seorang perisik
Pada tahun 1940, Jebsen meminta agar Popov bertemu dengannya di sebuah hotel di Belgrade, Serbia. Jebsen memberitahu bahawa dia telah menyertai perkhidmatan perisikan Jerman walaupun membenci Nazi. Itu adalah satu-satunya cara dia mengelak daripada disenaraikan di barisan hadapan.
Kini, dia meminta pertolongan Popov untuk menjadi ejen perisik. Popov tidak berminat dengan tawaran itu, sebaliknya dia menawarkan diri kepada British untuk menjadi perisik. Pihak British menyuruh Popov menerima tawaran Jebsen dan menjadi ejen dua muka.
Pihak British telah menyediakan maklumat palsu untuk Popov berikan kepada Jerman. Nazi pula menganggap bahawa Popov merupakan aset bernilai mereka dan melaburkan wang yang besar untuknya.
Wang itu digunakan Popov untuk membiayai gaya hidupnya yang gemar berfoya-foya. Di setiap kota yang dikunjunginya, Popov menjalinkan hubungan dengan wanita tempatan dan rakan perisik wanita lain.
Mempergunakan pihak Nazi
Memandangkan Nazi mempercayainya, Popov bersepakat dengan MI6 (Perkhidmatan Perisikan Rahsia British) untuk memeras wang dari Nazi. Popov mencadangkan untuk menubuhkan kumpulan pengintip Nazi di London. Nazi dengan mudahnya menyerahkan USD 50,000 (bersamaan USD 915,000 hari ini) kepada Popov.
Pada suatu malam, Popov mengunjungi sebuah kasino di Portugal. Bersamanya ketika itu ialah Ian Fleming, perisik yang ditugaskan British bagi memastikan Popov tidak melakukan perkara bodoh dengan wang USD 50,000 yang sepatutnya diserahkan kepada MI6.
Ketika di dalam kasino, seorang lelaki Lithuania dengan lantang mencabar sesiapa sahaja bermain permainan baccarat dengannya tidak kira sebesar mana sekalipun taruhan mereka.
Popov dengan bersahaja duduk di meja lelaki itu dan meletakkan semua wang yang dibawanya. Semua orang terdiam dan kasino menjadi sunyi. Wajah Fleming juga berubah kerana takut Popov kalah dan menggagalkan operasi mereka.
Lelaki Lithuania itu tergamam dengan taruhan sebesar itu akhirnya menarik diri. Popov dengan senang hati mengambil semula wangnya sambil menyindir kasino dan lelaki Lithuania itu.
Senario seumpama itu dilihat dalam novel James Bond pertama tulisan Fleming berjudul Casino Royale. Dalam novel itu, Bond telah membuatkan seorang perisik Rusia bankrup dalam taruhan tinggi permainan baccarat. Ramai berpendapat, Popov adalah inspirasi kepada kisah itu.
Perisik Perang Dunia Kedua
Pihak Nazi meminta lagi Popov untuk menubuhkan pula kumpulan perisik di Amerika Syarikat. Jerman sangat berminat dengan maklumat mengenai Pangkalan Tentera Laut di Pearl Harbor.
Popov telah menyampaikan maklumat ini kepada FBI tetapi pengarah badan penyasatan itu, J. Edgar Hoover, tidak mengambil serius kerana dia tidak begitu sukakan Popov. Beberapa bulan selepas itu, Jepun menyerang Pearl Harbor.
Dalam rancangan akhir Pihak Bersekutu untuk mengalahkan Nazi, mereka merancang melakukan Operation Overlord. Operasi terbesar ini memerlukan penglibatan semua perisik British.
Popov dan perisik bermuka dua yang lain berusaha meyakinkan Nazi bahawa serangan D-Day akan berlaku di Dieppe atau Calais yang lebih dekat dengan England.
Pihak Bersekutu menghantar "umpan" tentera kecil ke Calais yang dikawal ketat oleh Nazi. Pada masa yang sama, mereka menghantar sejumlah besar tentera ke pantai Normandy. Usaha pengintip Pihak Bersekutu melancarkan kempen menipu Nazi berjaya.
Setelah berakhirnya WWII, Dusko Popov berpindah ke Perancis. Walaupun Popov menghasilkan memoir tentang kehidupannya sebagai pengintip pada tahun 1970-an tetapi dia memilih untuk menjalani kehidupan jauh daripada perhatian umum.
Dusko Popov meninggal dunia pada 1981 akibat kesan jangka panjang daripada minuman keras dan merokok.