Kredit foto: Instagram Sheila Rusly
Telefilem Dekatkan Jarak Kita Raya yang merupakan kesinambungan daripada kejayaan drama popular Dekatkan Jarak Kita terpaksa dibatalkan penggambarannya angkara bertindih dengan aktiviti jadual kerjaya seni pelakon Syafiq Kyle.
Sheila Rusly selaku penerbit syarikat JS Pictures Sdn Bhd akui kecewa kerana skrip dan proses pra produksi yang telah dibuat lebih awal.
"Tarikh sudah diberi dan 'lock' sejak Mac lalu tetapi tiba-tiba pengurus Syafiq memaklumkan artis jagaannya terikat dengan jadual kerja lain.
"Kalau betul tidak ada masa, kena cakap dari awal. Saya sangat kecewa dan sedih kerana projek ini atas permintaan pihak stesen TV. Tambahan pula, skrip dan pra produksi sudah siap. Tinggal nak menjalani penggambaran saja," katanya kepada Harian Metro usai Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018) yang berlangsung pada Ahad.
Menurut Sheila, telefilem itu dihasilkan sebagai penghargaan buat para peminat yang memberikan sokongan padu sewaktu ia mengisi slot Samarinda di saluran TV3 tahun lalu.
"Apabila Syafiq tidak dapat menjayakan telefilem ini saya dan suami ambil keputusan untuk tidak meneruskan penggambaran. Saya juga tidak mahu menukar pelakon lain kerana sudah dipersetujui dengan stesen TV.
"Saya tidak mahu perjudikan produk saya semata-mata untuk menukar pelakon. Saya akan dulukan kualiti dan kalau ganti dengan pelakon lain, bukan lagi produk asal, tetapi akan jadi cerita baru. Tidak mengapa saya kecewa daripada membuatkan penonton kecewa," katanya sambil mengatakan proses penggambaran sepatutnya bermula 8 Mei lalu dalam tempoh 10 hari.
Dalam pada itu, Syafiq pula berkata, dia turut berasa ralat dengan pertembungan aktiviti seni yang menggagalkan usaha Sheila untuk mendapatkan khidmatnya.
Kredit foto: Instagram Syafiq Kyle
"Bukan saja saya, malah semua pihak yang sepatutnya terbabit dalam telefilem ini berasa kecewa. Saya anggap ini bukan rezeki.
"Memang tarikh sudah 'lock' sejak Mac lalu, tetapi saya terbabit dalam drama Nur yang juga untuk tayangan TV3. Namun, berlaku kelewatan beberapa hari daripada jadual asal.
"Dengan apa yang terjadi, saya berharap kita semua perlu pandang positif dan bukannya negatif. Sebagai pelakon, saya hanya buat kerja dan tidak berhak membuat sebarang keputusan," ujar pelakon yang melonjak naik menerusi drama rantaian Mencintaimu Mr Photographer.
Kata Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak lagi, konflik itu diharapkan tidak memecah belahkan hubungan baiknya dengan JS Pictures Sdn Bhd.
"Alhamdulillah, saya ada jumpa jumpa Sis (Sheila) dan hubungan kami okey. Apa yang berlaku adalah salah faham. Saya juga sudah meminta maaf.
"Saya faham, masing-masing berasa kecewa sebab tidak dapat merealisasikan telefilem ini. Mungkin masa akan datang kami boleh bekerjasama lagi," katanya.
DFKL 2018 menyaksikan Dekatkan Jarak Kita arahan Azman Yahya atau Jinggo mengungguli kategori Drama Pilihan, selain Syafiq Kyle dan Ayda Jebat selaku teraju utama merangkul trofi Pasangan Pilihan.