Instagram adalah salah satu media sosial yang popular dan digunakan oleh ratusan juta orang di seluruh dunia. Pengguna Instagram biasanya akan mengambil gambar pemandangan, aktiviti harian atau swafoto untuk dimuatkan ke dalam akaun mereka.
Jika gambar diambil menggunakan kamera DSLR atau telefon pintar dengan kamera resolusi tinggi, ia akan menjadi lebih jelas lagi. Sebenarnya, gambar yang jelas dan berkualiti tinggi ini boleh meletakkan diri anda dalam bahaya tanpa anda menyedarinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Ena Matsuoka
Itulah yang berlaku kepada seorang artis dari Jepun. Ena Matsuoka, 21, adalah salah seorang penyanyi J-Pop dari kumpulan Tenshitsukinukeniyomi. Seperti kebanyakan pengguna Instagram lain, Ena sering memuat naik gambar swafoto (selfie) ke akaun laman sosialnya itu.
Ena sering berkongsikan aktiviti hariannya bersama peminat dan pengikut akaun Instagramnya. Walaupun sering berhati-hati untuk tidak mendedahkan kehidupan peribadi dan tempat kediamannya tetapi seorang daripada peminat tegarnya telah melakukan sesuatu yang melampaui batas.
Peminat tegar vs stalker
Kumpulan J-Pop Tenshitsukinukeniyomi
Pada 17 September yang lalu, polis Tokyo telah menahan seorang lelaki yang disyaki menghendap, menyerang dan mencabul penyanyi Ena Matsuoko. Dalam kejadian yang berlaku pada 1 September itu, suspek telah menunggu Ena di sebuah hentian bas berhampiran kediaman penyanyi itu.
Suspek itu memilih untuk melakukan jenayah itu pada hari kumpulan Tenshitsukinukeniyomi membuat persembahan konsert. Apabila Ena pulang dari persembahannya, suspek yang menunggu sejak awal itu telah mengekori penyanyi itu.
Pada jam 11 malam ketika Ena menghampiri pintu kondominiumnya, suspek itu telah menyerang penyanyi itu dari belakang dengan menutup mulutnya menggunakan sehelai kain.
Suspek kemudian mengheret Ena ke penjuru gelap sebelum mencabulnya. Dalam kejadian itu, Ena bergelut dengan suspek dan mendapat kecederaan di bahagian muka.
Pendedahan yang mengejutkan
Hibiki Sato dan Ena Matsuoka
Polis Tokyo mendedahkan identiti penyerang itu sebagai Hibiki Sato, seorang penganggur lelaki berusia 25 tahun dari Saitama, utara Tokyo. Apabila disoal siasat, Sato mendedahkan bagaimana dia mengetahui di mana Ena tinggal dan ia amat mengejutkan.
Sato yang merupakan peminat tegar Ena mendedahkan bahawa, dia mengetahui di mana penyanyi kesayangannya itu tinggal melalui gambar-gambar di akaun Instagram milik Ena.
Dia kemudian menggunakan teknik zoom pada gambar mata Ena untuk mengenalpasti kawasan persekitaran ketika penyanyi itu mengambil swafoto. Gambar yang dibesarkan itu mendedahkan pemandangan dan mercu tanda kawasan berhampiran.
Sato kemudian menggunakan Google Street View untuk memperkecilkan lagi skop dan mengenal pasti bayangan stesen kereta api yang diperolehi melalui bayangan mata itu.
Lebih mengejutkan lagi, Sato juga telah mengagak di tingkat berapakah penyanyi itu tinggal hanya berdasarkan bayangan cermin, tirai dan sudut cahaya matahari melalui video yang dimuat naik Ena.
Bahaya teknologi canggih
Pihak polis Tokyo telah memberi amaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila memuat naik gambar atau video di media sosial agar tidak mendedahkan data peribadi. Kejadian yang menimpa Ena itu adalah kes terbaru serangan peminat yang obses terhadap penghibur wanita di Jepun.
Pada tahun 2016, seorang penyanyi dan pelakon Jepun, Mayu Tomita, telah diserang ketika sedang berjalan ke arah tapak konsert di mana dia dijadualkan untuk membuat persembahan.
Mayu Tomita
Mayu telah ditikam sebanyak 60 kali di bahagian dada dan leher oleh seorang peminat lelakinya berusia 27 tahun bernama Tomohiro Iwazaki. Sebelum itu, Iwazaki telah menghantar pelbagai hadiah berupa buku dan jam tangan kepada Mayu tetapi telah dikembalikan semula.
Iwazaki yang berang telah menghantar 400 mesej di Twitter Mayu. Mayu telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis tetapi kesnya digugurkan. Peminat-peminat J-Pop di Jepun telah menyeru agar perlindungan yang lebih baik diberikan kepada artis-artis wanita terkenal kerana telah banyak kes seumpama itu berlaku.
Rina Kawaei dan Anna Iriyama
Selepas serangan itu, Mayu dirawat di hospital selama empat bulan. Kini, dia separuh buta pada mata kirinya dan mempunyai masalah untuk makan dan menyanyi. Dia masih memerlukan beberapa lagi pembedahan untuk proses pemulihan. Iwazaki pula dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun 6 bulan atas jenayah itu.
Pada tahun 2014, dua anggota kumpulan terkenal AKB48 telah diserang dalam satu acara 'berjabat tangan' bersama peminat. Rina Kawaei dan Anna Iriyama telah mengalami kecederaan tulang patah apabila diserang oleh seorang peminat tegar mereka.
Rujukan:
1. Penyanyi J-pop cedera diserang stalker dan peminat tegar
2. Peminat tegar menjejaki penyanyi kegemaran dengan cara unik
3. Lelaki guna bayangan dalam mata penyanyi melalui gambar di Instagram untuk menyerangnya