Oleh pada 29 Mar 2018 kategori

Rakyat Malaysia dan media sosial memang tak boleh dipisahkan lagi. Kami sudah melaporkan tentang betapa berpengaruhnya media sosial khasnya Facebook dalam masyarakat kita, sehinggakan ramai yang tak dapat melihat hidup tanpa wujudnya media sosial.

Media sosial tak dinafikan ada banyak gunanya, namun penggunaan media sosial mampu memperlihatkan kebangkitan beberapa jenis individu baru yang sebelum ini tidak ada dalam masyarakat kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang membimbangkan, tabiat yang disemai dalam media sosial semakin lama semakin kuat diadaptasi di dunia nyata, sehinggakan sudah banyak kekeliruan dan kekacauan dalam masyarakat timbul akibat kewujudan kelompok ini. Berikut adalah 7 jenis individu baru yang lahir kesan daripada penggunaan media sosial, yang dapat dilihat di negara kita, Malaysia yang dicintai.

1. Kaki baca headline

netizen yang suka baca headline

Artikel-artikel di negara kita satu masa dulu terpaksa menggunakan tajuk yang bersifat 'clickbait' bagi menarik perhatian pembaca. Lama kelamaan, dapat dilihat tajuk atau 'headline' sesebuah artikel itu kerap kali digunakan untuk membentuk persepsi seseorang. Ini kerana pengamal media tidak beretika di media sosial tahu jumlah pembaca yang akan mengambil tajuk untuk terus memperkembangkan agenda mereka, adalah ramai.

2. Kaki minta lukis

kartun ujang

Dalam sebuah zaman di mana maklumat lebih cepat dapat disampaikan, masyarakat dunia pula seboleh-bolehnya mahu maklumat datang dalam bentuk ringkas dan padat. Ini berlaku kerana terlalu banyak informasi yang ada sehinggakan sukar untuk kita tapi satu per satu, tapi kita seperti didesak untuk tahu semua.

Jadi lahirlah individu-individu malas membaca yang setiap kali ada artikel panjang dia akan komen TLDR atau 'too long don't read' mengharapkan ada orang dapat buatkan kesimpulan untuk dia. Yang lebih membimbangkan, geng-geng yang malas membaca dan minta kita 'tolong lukis.'

3. Kaki pakar ilmu segera

media sosial

Zaman di mana informasi tersebar luas mampu membuatkan ramai individu rasa cepat pandai. Baru tengok video seminit tentang sesuatu sudah mampu bercerita panjang tentang sesuatu topik, seperti seorang pakar. Kita sudah tahu ada banyak kes sebegini seperti kes doktor gigi tidak bertauliah atau kes pakar motivasi tak ada kelulusan. Mengapa ini berlaku?

Semua ini berlaku kerana banyak ilmu yang sebelum ini hanya didapati dalam situasi pendidikan formal, sudah dibuka aksesnya. Atas sebab itulah muncul ramai pakar dalam pelbagai bidang yang selalunya mendapat sanjungan masyarakat.

4. Kaki jaja persepsi peribadi

berita tular dan saya mesti kongsikannya terawal

Zaman informasi ini sepatutnya lagi mencelikkan kita tetapi apa yang berlaku sebaliknya pula. Kita semakin mudah ditipu dengan berita palsu dan kita semakin sukar membezakan mana satu fakta.

Jadi akhirnya ramai yang bergantung kepada persepsi sendiri, sehingga menjadikan sesuatu isu yang sepatutnya dilihat kecil jadi lebih besar daripada bias. Kita dengar ada masalah dekat satu pusat tahfiz, kita jaja persepsi kita yang semua pusat tahfiz bermasalah. Alih-alih nanti, ramai lah yang termakan dengan hasutan kita tu dan yang rugi bukannya kita, tapi orang lain yang langsung tak ada salah pun kat kita.

5. Kaki sharing lempar batu sembunyi tangan

surat khabar dan berita adalah penipu

Dialah yang paling laju kongsi berita yang dia dapat, kerana kita tahu siapa yang paling awal kongsi sesuatu dapat pingat. Apa saja berita akan dikongsikan tak kiralah daripada berita kematian, artis baru bersalin sehinggalah kepada gambar-gambar mayat.

Namun ada kalanya individu ini terlalu cepat berkongsi berita kerana berita itu panas, bila perkara sebenar didedahkan kepada awam, jarang sekali individu-individu ini berkongsikan berita yang sudah dikemas kini isinya. Tolonglah nasihat sikit rakan anda yang mempunyai tabiat ini.

6. Kaki politikkan semua benda

semua benda mahu dipolitikkan

Orang-orang seperti ini mudah untuk dikenali di media sosial. Nampak perkongsian tentang apa saja, dia pasti menyelit nak kaitkan dengan politik. Ada pergaduhan di Kelantan? Kerajaan negeri akan disalahkan. Ada kes individu Cina kurang ajar dengan pembantu rumah sendiri? Sebuah parti majoriti Cina akan disebut. Ada kes songlap duit peruntukan oleh penjawat awam? Parti berwarna biru akan terkena tempiasnya.

Apabila dilihat semua kes yang disebut, sebenarnya tidak ada kaitan pun dengan politik namun politik tetap cuba disebut, sebagai cubaan untuk membuktikan yang parti yang kita tak sokong buruk. Ramai tak yang jenis macam ini? Baik mengaku.

7. Kaki isi masa lapang

main henfon ketika menunggang motosikal

Dalam kebanyakan golongan yang wujud akibat media sosial, yang inilah yang paling bahaya kerana mereka ini mampu melibatkan orang lain. Oleh kerana kita dah terbiasa berkomunikasi 24 jam tanpa henti, ramai individu yang mengalami masalah akan tengok telefon setiap kali ada ruang kosong. Berak? Tengok telefon. Makan? Tengok telefon. Menonton televisyen pun ada yang tengok telefon.

Tabiat ini membuatkan tangan kita secara automatik akan nak semak telefon setiap kali kita tak ada perkara nak dilakukan dan anda boleh tengok sendiri terlalu ramai pemandu Malaysia yang akan semak telefon, setiap kali sangkut di jalan sesak. Ada kalanya sedang memandu pun boleh tengok Whatsapp dan balas. Tengah membelok boleh tekan like status rakan yang sedap dibaca.

Kita rasa rasa tertekan untuk semak telefon kerana media sosial memang direka dengan tujuan itu. Kami sudah huraikan secara terperinci bagaimana media sosial direka untuk melatih kita merasa kosong sekiranya kita tak semak telefon. Dalam ramai-ramai golongan, pada pendapat kami inilah golongan paling ramai dilahirkan dalam zaman media sosial ini - orang yang tak dapat fokus kerana fokus kita dah dididik untuk biasa dikacau setiap beberapa minit.




Hakcipta iluminasi.com (2017)