Oleh pada 05 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Astro Gempak

Aktor dan hos, Datuk Rosyam Nor memuji tindakan Neelofa yang akhirnya memohon maaf susulan kontroversi pelancaran koleksi tudung keluarannya, Be Lofa.

Rosyam berkata, dia memahami akan lumrah seorang manusia yang adakalanya terlepas pandang kesilapan diri.

“Kadang-kadang, ada perlakuan kita tak sedar ia salah di mata orang lain," katanya seperti dilaporkan portal Harian Metro.

Rosyam, 51, menganggap tindakan memohon maaf adalah jalan terbaik selepas berbuat silap, justeru tiada salahnya jika netizen membuka ruang kemaafan buat aktres itu.

“Paling bagus, mohon maaf dan apabila seseorang sudah meminta maaf, kita sebagai masyarakat terima dengan terbuka.

“Itulah yang seronoknya dengan peminat dan rakyat Malaysia. Sikap saling memaafkan patut dipuji,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon berpengalaman ini berharap rakan artis sentiasa berwaspada sebelum mengambil sesuatu tindakan dengan berfikir terlebih dahulu akan kesan yang bakal dihadapi mereka.

“Kepada semua mereka, tidak kiralah sama ada artis lama atau baru, saya berpesan kepada diri sendiri supaya sentiasa berfikir semasak-masaknya sebelum melakukan sesuatu," ujarnya.

Tambah Rosyam, kepesatan zaman teknologi hari ini memungkinkan sesuatu tindak-tanduk itu menjadi tular tanpa disangka, seterusnya mengundang kecaman.

“Zaman teknologi maklumat (IT) dan digital sekarang, semuanya sudah berbeza. Kadang-kadang, kita tak sangka benda yang kita lakukan atau anjurkan akan mendapat kecaman.

“Tapi kerana kepesatan teknologi, kita takkan tahu kalau ada orang sekeliling akan sentiasa melihat, merakam dan sebagainya, sekaligus menjadikan sesuatu kita lakukan itu, tular,” katanya.

Sebelum ini, pengacara MeleTOP itu mengundang ribut apabila netizen dan rata-rata pihak tidak berpuas hati dengan tindakannya melancarkan koleksi terbaru tudung BeLofa dari jenama Neelofar Hijab di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu kota, Isnin lalu.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)