Kredit foto: Instagram Neelofa
Tidak terkesan dengan kritikan yang timbul rentetan isu fesyen koleksi #10StailishRooms yang digayakannya sebelum ini, aktres, Noor Neelofa Mohd Noor, malah mengaku berasa bangga menjayakan acara bertaraf antarabangsa itu.
Kata pengacara Meletop ini, ia juga bukan pertama kali fesyennya dihentam netizen kerana acapkali berlaku sebelum ini.
“Saya sedikit pun tidak kisah dengan kecaman orang termasuk mendakwa saya mangsa fesyen sekali pun.
“Sebaliknya, saya berasa bangga kerana dapat menggayakan busana jenama terkenal yang digayakan di pertunjukan fesyen peringkat antarabangsa,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Diwawancara sewaktu majlis teduhan kasih bersama Anak-Anak Fakir Pertubuhan Rahoma, semalam, Neelofa, 29, berkata demikian sebagai mengulas isu fesyen digayakan dalam parti pelancaran koleksi itu yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kredit foto: Instagram Neelofa
Beliau mengenakan padanan jaket dengan seluar berwarna oren, turban atas kepala bersama 'pouch bag' besar menghias pinggang.
Sementara itu, mengulas perlantikannya sebagai duta Chew N Glow, Neelofa berkata, dia mengikat kontrak bersama pihak terbabit selama setahun.
Bintang filem Azura 2012 ini berkata, produk tersebut dikhususkan untuk tujuan kesihatan dan sesuai untuk semua golongan umur.
“Memang ada salah faham membabitkan produk kesihatan itu sebelum ini.
“Saya ingin beritahu produk ini adalah untuk kesihatan dan sesuai untuk semua peringkat usia terutama pesakit ekzema,” ujarnya.