Kredit foto: Instagram Neelofa
Tindakan aktres dan hos, Neelofa melancarkan koleksi tudung terbaharunya #BeLofa di kelab malam Zouk dua hari lalu, memanggil Imam Muda Fakhrul untuk tampil menyuarakan pendapat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook itu, beliau memperkatakan tentang hukum membuat pelancaran tudung di pusat hiburan.
“Hukum asal harus dan mendapat pahala. Tetapi apabila buat di kelab malam maka haram hukumnya. Haram bukan kerana pelancaran tudung tetapi lokasinya, pergaulan tanpa batasan, hiburan melampau dan penuh dengan fitnah.
“Hal ini menimbulkan fitnah kepada muslim dan muslimah, pemakaian syariat dan yang utama kepada agama. Pelaku yang terlibat dengannya berdosa dan wajib bertaubat,” tulisnya.
Dalam masa sama, Fakhrul mengatakan perlu ada ketegasan agar tindakan itu memberi pengajaran kepada pemilik jenama tudung Naelofar Hijab itu.
"Maaf, sesetengah orang hatinya penuh karat. Tak tercabut dengan air. Kena pakai tukul besi!. Tak percaya? rujuk pendekatan dakwah RASULULLAH SAW. Yang nak berlembut, silakan. Tapi kena ada yang bertegas. Kalau tak, naik lemak dia!
“Maaf, saya tak menghukum. Saya memberitahu hukum dari Yang Maha Menghukum. Dan saya sedang mengajak mereka untuk mengikut hukum," tulisnya.
Dalam pada itu, Imam muda ini berkata, masalah yang berlaku itu menjadi umum apabila melibatkan ramai pihak, walaupun pada asalnya berpunca daripada kesilapan peribadi.
"Maaf, matlamat tak menghalalkan cara. Dakwah ada kaedah bukan main rembat ikut hati. Tapi ikut Nabi.
“Hati yang baik tak akan pergi ke tempat yang tidak baik dan perlakuan yang tidak baik," tegasnya.
Selain itu, Fakhrul berharap kemajuan dalam bangsa melayu dapat diselarikan dengan keberkatan.
"Saya kata boikot semua tudung yang tak menepati syariat. Maju biarlah berkat.
"Kita nak maju juga dalam kubur dan di akhirat. Apa ada pada Melayu?. Adat bersendi syariat!" katanya.
Terdahulu, tindakan usahawan muda itu bukan sahaja dianggap tidak wajar kerana imej muslimah yang dibawanya, malah dirasakan tidak patut apabila produk tudung dilancarkan di tempat yang kurang bersesuaian.
Sumber berita: Sinar Harian