Kredit foto: Instagram Neelofa
"Neelofa perlu bertaubat."
Demikian jawab Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengulas tentang isu Neelofa mengadakan majlis pelancaran tudung keluarannya di sebuah kelab malam terkenal di ibu negara, malam Isnin.
Menurut Harussani, bukan sahaja kerana umat Islam dilarang mendekati tempat maksiat, malah hukumnya juga haram apabila terdapat elemen yang melanggar peraturan agama.
“Sekiranya ada unsur berkenaan, Neelofa perlu bertaubat dan jangan ulang lagi,” katanya.
Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berpandangan Neelofa tetap bersalah walau apapun penjelasan yang cuba diberikannya kerana beliau telah bersubahat melakukan perkara berunsur maksiat.
Kredit foto: Instagram Neelofa
"Perbuatan itu haram kerana gerak-geri perempuan ditontonkan kepada lelaki bukan mahram.
"Apapun alasan diberikan, saya tetap menganggap ia salah kerana pusat hiburan menjual minuman keras dan memabukkan. Buatlah sesuatu yang baik dengan cara dan jalan yang betul," katanya.
Sehubungan dengan itu, Mohd Yusof meminta Neelofa agar bermuhasabah diri dan mengambil iktibar daripada perbuatannya.
"Mohon ampun kepada Allah serta berazam tidak mengulanginya lagi. Bagi kepentingan perniagaannya elok dia mohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan perbuatannya itu," katanya.
Bagaimanapun, Profesor Institut Pengurusan Fatwa Sedunia Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin pula berpendapat nama pusat hiburan itu tidak menjadi masalah asalkan tiada elemen yang bertentangan dengan syarak.
“Jika tiada arak, tidak membuka aurat dan tiada pergaulan bebas, tiada masalah walau di mana pun pelancaran tudung itu diadakan.
“Yang penting adalah pengisian di kelab itu, jika lancar tudung di rumah tetapi melanggar hukum syarak pun tidak boleh. Jika di pihak Neelofa sendiri mengatakan tiada arak, kita tidak boleh mengandaikan ada benda terlarang itu,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro