Pada masa kini, memiliki gigi yang putih merupakan idaman setiap orang. Gigi yang putih juga menggambarkan seseorang itu sangat menjaga kebersihan gigi dan penampilan diri mereka. Maka tidak hairanlah wujudnya banyak servis memutihkan gigi yang ditawarkan di hospital dan klinik.

Namun, tahukah anda suatu ketika dahulu di Jepun, memiliki gigi berwarna hitam merupakan idaman setiap wanita? Benar, memiliki gigi yang diwarnakan dengan warna hitam dianggap sebagai satu simbol kecantikan bagi wanita di Jepun. Terdapat satu terma untuk ini, iaitu Ohaguro.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah amalan Ohaguro 

penemuan ohaguro 778

Mengikut beberapa sumber sejarah, budaya Ohaguro ini dikatakan sudah wujud seawal era Kofun (250-538). Ini juga dapat dibuktikan dengan penemuan tulang dan gigi menandakan amalan ini sudah diamalkan sejak sekian lamanya.

Amalan ohaguro turut dinyatakan beberapa kali dalam catatan-catatan sejarah antaranya Genji Monogatari, buku popular dari abad ke 12 yang dianggap sebagai novel pertama di dunia.

Malah, banyak catatan sejarah menunjukkan amalan kecantikan ini masih diamalkan pada era terkemudiannya, iaitu era Heian (794-1185). Pada awalnya, setiap lelaki dan wanita remaja dalam lingkungan umur 15 tahun akan mewarnakan gigi mereka sebagai tanda mereka sudah menginjak ke alam dewasa.

Pada penghung era Heian, amalan ini sangat popular dalam kalangan wanita daripada golongan aristokrat, terutamanya mereka yang masih muda dan sudah bersedia untuk berkahwin. Malah, kaum lelaki turut mewarnakan gigi mereka.

Menariknya, amalan Ohaguro ini pernah diharamkan sewaktu pemerintahana Maharaja Meiji pada tahun 1870 sehingga menyebabkan budaya ini hampir pupus ditenggelami zaman. Namun pada masa kini, anda masih dapat melihat amalan ini masih diamalkan oleh segelintir orang Jepun terutamanya Geisha untuk acara-acara tertentu.

Kelebihan mengamalkan Ohaguro 

sejarah ohaguro 462

Suatu ketika dahulu, wanita yang memiliki wajah yang dicat putih dianggap cantik. Oleh itu, memiliki gigi yang gelap ini dianggap sebagai pelengkap kepada muka wanita yang berwarna putih itu.

Selain dianggap cantik, terdapat beberapa sebab lain mengapa amalan ini diamalkan masyarakat dahulu kala. Mereka percaya, mewarnakan gigi ini sebenarnya dapat menyembunyikan warna gigi yang kekuningan. Warna gigi yang kekuningan ini dianggap mencacatkan senyuman wanita yang memiliki muka yang sangat putih.

Selain itu, dengan mewarnakan gigi dengan warna hitam, ianya dapat menyembunyikan segala kecacatan pada gigi dan bahan-bahan yang digunakan dipercayai dapat memberikan perlindungan tambahan kepada gigi seperti halangan daripada pembentukan kaviti dan menguatkan gusi.

Selain golongan atasan yang mengamalkan budaya ini, samurai juga dikatakan melakukannya sebagai bukti taat setia kepada tuan atau ketua mereka.

Cara mewarnakan gigi

kanemizu

Proses mewarnakan gigi ini dilakukan dengan menggunakan sejenis larutan yang dikenali sebagai kanemizu. Kanemizu ini dihasilkan melalui campuran serbuk besi, cuka, teh dan wain beras. Campuran kesemua bahan ini akan menghasilkan larutan hitam yang kemudiannya disapu pada gigi.

Walaupun campuran bahan ini dikatakan efekftif digunakan sebagai pewarna pada gigi, sesetengah pihak mengatakan larutan ini mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Selain itu, larutan ini dikatakan hanya bertahan pada gigi selama beberapa hari sahaja dan mereka yang mengamalkannya perlu mewarnakan kembali gigi mereka selepas beberapa hari.

Pada masa kini, anda hanya boleh melihat amalan ohaguro ini di dalam filem, persembahan teater dan juga matsuri (festival tradisional). Malah, sesetengah golongan geisha juga masih mewarnakan gigi mereka dengan warna hitam untuk acara-acara tertentu.

Selain Jepun, amalan mewarnakan gigi ini dipercayai turut diamalkan oleh segelintir etnik atau kaum di India dan Madagascar yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.

Kredit:

  1. Japan Info
  2. Live Japan
  3. Pop Japan



Hakcipta iluminasi.com (2017)