Selain anjing dan kucing yang sering dijadikan sebagai haiwan peliharaan, arnab juga mempunyai peminatnya yang tersendiri. Sekiranya ada seorang peminat arnab, terdapat sebuah pulau di Jepun yang wajib anda kunjungi iaitu Pulau Okunoshima.

Pulau kecil yang hanya mempunyai keluasan 70 hektar ini juga mendapat gelaran Pulau Arnab kerana banyaknya populasi arnab yang mendiami pulau ini. Di pulau ini juga terdapat pantai yang cantik, taman dan juga muzium. Dianggarkan terdapat kira-kira 1000 ekor arnab yang hidup dan bergerak bebas disini.

Sejarah Hitam Pulau Okunoshima

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dari manakah datangnya populasi arnab yang banyak ini? Adakah terdapat faktor semulajadi atau faktor luaran sehingga arnab-arnab ini membiak begitu banyak sekali. Jika dilihat balik sejarah ini, terdapat teori bahawa sejarah hitam pulau ini suatu ketika dahulu yang membawa kepada kedatangan arnab-arnab ini ke pulau ini.

Sebelum peperangan Jepun-Russia satu ketika dahulu, pulau ini adalah kawasan pertanian yang hanya didiami 3 buah keluar besar. Selain bercucuk tanam, penduduk yang tinggal disini juga menjalankan aktiviti perikanan dimana hasil daripada pertanian dan perikanan ini akan dijual ke bandar-bandar berdekatan.

Pada tahun 1925, Institut Sains dan Teknologi Tentera Jepun telah mengumumkan satu misi sulit untuk menghasilkan senjata kimia. Keputusan ini diambil kerana hasil daripada risikan mereka, didapati bahawa Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah telah membangunkan dan menggunakan senjata kimia dalam peperangan.

Walaupun Jepun sudah menandatangani Protokol Geneva pada tahun 1925 yang mengharamkan penggunaan senjata kimia, mereka dapati perjanjian tersebut tidak menyebut secara jelas tentang pengharaman untuk menghasilkan dan menyimpan senjata kimia. Maka, alasan ini digunakan untuk menghalalkan racangan ini diteruskan.

muzium gas beracun okunoshima

Kerajaan tentera Jepun memilih Pulau Okunoshima kerana kedudukannya yang jauh daripada Tokyo dan bandar-bandar besar lain yang mempunyai penduduk yang padat. Pada tahun 1927, pembinaan kilang-kilang dan makmal bagi menghasilkan senjata kimia ini dimulakan.

Bagi memastikan rancangan sulit ini tidak diketahui negara luar, mereka telah mengambil keputusan memadamkan pulau ini daripada peta. Sementara itu, kilang-kilang yang sebelum ini dijadikan tempat menguruskan hasil pertanian juga ditukar menjadi kilang untuk menghasilkan senjata kimia.

Ketika kilang ini beroperasi, penduduk berdekatan dan para pekerja tidak dimaklumkan produk yang dihasilkan kilang ini. Segalanya dirahsiakan. Keselamatan para pekerja juga diabaikan dan mereka bekerja dalam keadaan tidak selamat dan ramai pekerja jatuh sakit akibat pendedahan kepada bahan-bahan kimia yang berbahaya dan bertoksik ini.

pulau okunoshima

Pada penghujung zaman peperangan ini, segala dokumen berkaitan peperangan ini telah dibakar. Askar Pasukan Perikatan yang berjaya menawan pulau ini pulau telah mengambil keputusan membuang, membakar dan melupuskan segala sejata kimia ini. Malah, penduduk setempat juga telah dipaksa agar tidak menghebohkan kepada orang luar tentang kewujudan kilang senjata kimia ini.

Selepas beberapa dekad, penduduk setempat dan pekerja yang mendapat penyakit akibat berada berdekatan atau bekerja di kilang ini akhirnya mendapat perhatian kerajaan dan diberikan bantuan perubatan oleh kerajaan. Pada tahun 1988, Muzium Gas Beracun Okunoshima telah dibuka sebagai mengingati kewujudan kilang menghasilkan senjata kimia di pulau ini.

Punca kewujudan populasi besar arnab di Pulau Okunoshima

populasi besar arnab okushinama

Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang dapat membukti kewujudan populasi arnab yang banyak ini. Walau bagaimanapun, terdapat teori bagaimana arnab-arnab ini datang ke sini. Terdapat pihak yang mendakwa arnab-arnab ini telah dibawa masuk ke pulau ini sewaktu pihak tentera menghasilkan senjata kimia di pulau ini.

Arnab-arnab ini dikatakan telah dijadikan sebagai bahan ujikaji untuk menguji keberkesanan senjata kimia ini. Apabila peperangan telah tamat, maka arnab-arnab yang masih hidup telah dilepaskan bebas di pulau ini. Walau bagaimanapun, Ellis Krauss, seorang professor dan pakar dalam bidang politik Jepun dari University of California San Diego menyatakan bahawa kesemua arnab yang hidup telah dibunuh setelah tentera Perikatan menawan pulau ini kerana menyedari risiko penyebaran penyakit oleh arnab-arnab ini.

Terdapat satu lagi teori yang mengatakan bahawa pada tahun 1971, sekumpulan kanak-kanak sekolah telah membawa dan meninggalkan 8 ekor arnab di pulau ini. Kerana ketiadaan pemangsa seperti anjing dan haiwan berbahaya yang lain, maka arnab-arnab ini telah membiak dengan begitu cepat sekali.

Malangnya, kewujudan populasi besar arnab ini telah merosakkan ekosistem semulajadi pulau ini. Kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa secara purata seekor arnab hanya mampu hidup selama 2 tahun di pulau ini. Di pulau ini, arnab-arnab ini hanya bergantung pada sayur kobis yang tidak berapa bagus untuk arnab dan makanan yang diberikan oleh pelancong sahaja untuk terus hidup.

Sektor Pelancongan Pulau Okunoshima

pulau arnab

Kini, Pulau Okunoshima terkenal sebagai sebuah kawasan pelancongan terutamanya kepada peminat arnab. Diaggarkan setiap tahun 300,000 orang pelancong datang ke sini dan kebiasaannya para pelancong akan membawa makanan untuk diberikan kepada arnab-arnab yang hidup di sini. 

Walau bagaimanapun, Kementerian Alam Sekitar Jepun menyatakan kebimbangan kedatangan pelancong yang ramai ini mungkin akan mengganggu kehidupan harian arnab-arnab ini. Bagi pelancong yang berminat untuk ke sini, perkhidmatan feri boleh digunakan. Selain arnab, di pulau ini juga terdapat muzium dan pantai yang cantik dan menjadi tarikan pelancongan. Kewujudan pulau ini kini yang menjadi tempat perlancongan ini seolah-olah berjaya menutup sejarah hitam kawasan ini suatu ketika dahulu. 

Kredit:

  1. The Guardian
  2. WikiPedia
  3. Smithsonian Mag



Hakcipta iluminasi.com (2017)