Kita kerap mendengar tentang kisah-kisah diskriminasi di negara kita serta beberapa negara lain khasnya. Namun tidak di Jepun.
Masyarakat Jepun selalu diletakkan sebagai masyarakat contoh, menjadi tauladan yang perlu diikuti oleh semua kelompok masyarakat. Dipuji pembersih, mempunyai semangat cintakan negara yang sangat tinggi serta mempunyai kepintaran yang jauh melampaui zaman - orang Jepun membawa konotasi positif setiap kali dibicarakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, tidak ramai yang tahu tentang kelompok masyarakat yang dipandang hina masyarakat Jepun sendiri; digelarkan oleh mereka sebagai 'burakumin.' Anda biasa dengar penggunaan istilah 'pariah' dalam masyarakat Hindu? 'Burakumin' adalah pariah masyarakat Jepun.
Yang menariknya, sehingga kini mereka masih dianggap 'pariah' di kalangan masyarakat mereka.
Orang 'kotor' Jepun
Sama seperti kebanyakan kisah masyarakat yang didiskriminasikan, sejarah Burakumin agak kabur penjelasannya. Ada yang menyatakan kelompok ini mula dipandang hina disebabkan pekerjaan nenek moyang mereka sebeum itu. Ada juga yang mengatakan orang Burakumin mula dipinggirkan kerana mereka dibuang masyarakat, sehingga terpaksa mencari rezeki dengan cara 'kotor.'
Istilah kotor ini, dalam masyarakat Jepun bermaksud kelompok individu yang bekerja dengan benda-benda kotor. Bukan sahaja merujuk kepada najis atau sampah, malahan pekerjaan seperti tukang sembelih, menguruskan jenazah, yang bekerja dengan kulit haiwan serta banyak lagi.
Prejudis ini telah bertapak sekian lama sehingga menyebabkan hanya individu-individu tertentu akan dipilih bagi menguruskan binatang ternakan dalam industri penghasilan daging wagyu Jepun. Walaupun hasil tangan mereka dijual dengan harga yang sangat tinggi di seluruh dunia, tukang sembelihan daging itu sendiri kebiasaannya takut untuk mendedahkan pekerjaan mereka pada umum.
Ini kerana sudah ada stigma lama yang sudah wujud dalam masyarakat Jepun akan menyebabkan ramai yang sanggup melakukan tindakan buruk ke atas individu penyembelih daging dan keluarga mereka - hanya kerana mereka merasakan individu itu serta keluarga mereka berasal daripada golongan bawahan.
Itulah antara stigma yang menghantui golongan Burakumin di Jepun.
Sejarah Burakumin
Dalam istilah sebenarnya, Burakumin bermakna 'orang pedalaman.' Istilah ini mula digunakan semasa zaman feudal Jepun bagi mengasingkan individu-individu yang membentuk komuniti buruh kasar - terlibat dalam pekerjaan-pekerjaan yang disifatkan kotor.
Sistem burakumin ini bermula sejak zaman Edo Jepun, sekitar tahun 1603 sehinggalah tahun 1867. Ketika itu wujud sistem kasta yang ditentukan oleh faktor kelahiran yang akhirnya digunakan sebagai menentukan sistem hirarki masyarakat zaman itu.
Sistem kasta yang dinamakan sebagai 'mibunsei' atau gelarannya 'shi,no,ko,sho' ini merangkumi empat kumpulan dengan satu lagi kumpulan 'terbuang' yang dinamakan sebagai Eta. 'Eta' adalah mereka yang diluar sistem, dianggap harus dipinggirkan golongan 'shi-no-ko-sho' serta perlu kekal sebagai seorang Eta hingga mati.
Orang Eta dinilaikan mempunyai nilai 1/7 individu lain, tidak dibenarkan menyentuh golongan yang berada dalam 'mibunsei' serta perlu senantiasa patuh dan akur semasa berhadapan mereka yang lebih 'mulia' daripada mereka.
Apa makna 'eta'? Eta bermakna 'kelompok orang yang kotor atau jijik'. Boleh juga diterjemahkan sebagai 'sampah' atau 'pencemaran.'
Pembebasan masyarakat Burakumin
Sistem kasta ini mula dimansuhkan selepas berakhirnya zaman feudal Jepun pada tahun 1871. Bagaimanapun kesannya tetap sukar untuk dibuang masyarakat mereka. Orang-orang pedalaman yang kini bergelar orang Burakumin, dipercayai oleh masyarakat Jepun berketurunan orang-orang Eta dan persepsi ini kekal hingga kini.
Integrasi orang Burakumin ke dalam masyarakat Jepun sangat sukar dilakukan dan mereka (orang Burakumin) kebiasaannya akan dipaksa menetap dalam komuniti mereka sendiri - supaya mudah dikenal pasti orang lain asal-usul mereka.
Langkah kerajaan Jepun mengintegrasikan mereka ke dalam sistem masyarakat Jepun membantu, bagaimanapun stigma serta persepsi buruk yang sudah berakar umbi sangat sukar untuk dibersihkan.
Disenarai hitamkan masyarakat sendiri
Sekitar tahun 1970-an, wujud satu kontroversi berkenaan satu senarai nama sepanjang 330 muka surat yang boleh diperolehi majikan-majikan dalam memastikan mereka tidak menggajikan orang Burakumin. Senarai itu dijadikan rujukan oleh syarikat-syarikat besar Jepun dalam menapis senarai calon temuduga, digunakan secara meluas sebelum kerajaan Jepun mengharamkan pengedaran senarai itu.
Individu yang disyaki berketurunan Burakumin selalunya gagal menjawat jawatan tertinggi dalam mana-mana organisasi. Insiden tahun 2001 melibatkan calon kepada Perdana Menteri Jepun, Taro Aso (ketika ini Timbalan Perdana Menteri Jepun) dengan seorang lagi calon, Hiromu Nonaka memburukkan lagi keadaan.
Taro Aso secara terbuka menghina lawannya Nonaka yang dipercayai berketurunan Burakumin, menyebut seorang Burakumin tidak layak menjadi Perdana Menteri Jepun. Insiden ini menimbulkan kontroversi besar dan membuka semula perbincangan masyarakat Jepun berkenaan kejayaan sebenar integrasi orang Burakumin ke dalam sistem moden masyarakat Jepun.
Burakumin pada hari ini
Diskriminasi terhadap orang Burakumin masih lagi berlangsung sehingga ke saat ini. Walaupun sudah tidak sekuat dulu, sentimen memandang rendah Burakumin tetap berlaku dalam beberapa cara halus.
Beberapa wilayah Jepun seperti Osaka, Kyoto, Hyogo dan Hiroshima masih berpegang teguh kepada kepercayaan turun temurun ini. Keluarga di wilayah ini masih lagi akan menghalang perkahwinan anak-anak mereka dengan individu Burakumin, sehinggakan banyak keluarga akan mengupah penyiasat untuk mendapatkan informasi berkenaan salasilah bakal menantu mereka.
Nasib baiklah amalan ini sudah pun diharamkan kerajaan Jepun. Bagaimanapun kes-kes seperti ini tetap berlaku dalam jumlah yang lebih kecil.
Mewakili 2 peratus jumlah populasi Jepun, stigma Burakumin diburukkan lagi dengan penglibatan mereka dalam gerakan Yakuza. Sindiket Yakuza terbesar di Jepun Yamaguchi-Gumi mempunyai lebih 70 peratus orang Burakumin sebagai ahli. Ada juga kajian menunjukkan Burakumin sebenarnya mewakili 60 peratus jumlah keseluruhan ahli Yakuza.
Beberapa peraturan baru yang cuba diperkenalkan kerajaan Jepun pada tahun 2015 dilihat hanya memburukkan lagi stigma masyarakat mereka terhadap orang Burakumin. Langkah kerajaan Jepun dikritik hanya menyebabkan persepsi buruk terhadap mereka lebih mudah diketahui oleh generasi-generasi muda, disebabkan fokus dan laporan media yang diberikan kepada kelompok itu.
Tidak pelik untuk seorang keluarga Burakumin membuka peti surat rumah mereka dan menerima ancaman daripada jiran-jiran mereka sendiri, yang masih mahu berpegang pada stigma dan persepsi lama; ini kerana di kalangan orang Jepun sendiri masih ramai menganggap komuniti Burakumin bukannya manusia sempurna. Mereka ada istilah khas untuk Burakumin yang kerap disebutkan iaitu 'hinin' - yang membawa makna 'separa-manusia' atau 'sub-manusia.'
Setiap kali anda makan daging wagyu, ceritakan tentang nasib orang Burakumin pada mereka yang duduk semeja anda ya?
Rujukan