Kredit foto: Instagram Michael Ang
Sutradara Michael Ang memohon maaf jika ada yang menganggap videonya yang menjadi tular beberapa hari lalu, kelihatan seperti mempersendakan Islam sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
Michael mengakui, tiada niatnya ke arah itu, namun apa yang terjadi hanyalah kesilapan memilih ayat yang betul dalam meluahkan maksud penyampaiannya.
Beliau yang juga pengarah drama popular, Hero Seorang Cinderella ini, membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi sebuah video yang dimuatnaik di Instagram.
“Hai semua, saya buat video ini sebab nak minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan saya pasal Zouk tu.
“Mungkin saya tersalah guna bahasa. Jadi saya nak minta maaf tulus dari lubuk hati saya. Maksud sebenar yang saya nak cakap adalah tempat itu merupakan tempat acara, jadi apa-apa acara yang kamu semua nak buat, pihak tersebut akan sewakan saja. Itu saja maksud saya.
“Tapi saya salah guna ayat kata tahlil. Mungkin saya patut guna perkataan bersanding ker, bertunang ker, hari jadi atau apa sajalah.
“Jadi saya minta maaf dan berharap kamu semua memaafkan saya. Lagikan Tuhan ampunkan hambanya, takkanlah kamu semua tak boleh maafkan saya.
“Saya dah minta maaf pada kamu semua, jadi tak payahlah nak kutuk-kutuk saya lagi di Instagram. OK, peace. Sayang anda semua,” katanya dalam video berkenaan.
Tidak hanya itu, beberapa jam selepas itu, Michael sekali lagi tampil melontarkan hal sama apabila menyedari sesetengah netizen terus menghentam dan mempertikaikan kenyataan maaf yang dikeluarkannya.
“Apa yang berlaku, saya ambil sebagai satu ujian untuk saya atas keterlanjuran kata-kata saya. Pada yang memberikan komen yang saya padam, yang berbahasa kasar dan menghina, saya maafkan!
“Orang macam ini yang saya maksudkan yang ‘alim’ sangat tu. Kalau alim betul, takkan keluar kata-kata kesat walaupun ingin marah dan tegur.
“Sekali lagi saya minta maaf. Tak terdetik pun di hati saya untuk menghina sesiapa. Masih tak percaya, terpulanglah!” tulisnya dalam sebuah lagi kiriman terbaru.
Sebelum ini, pengarah popular itu dikecam kerana video yang dirakamkannya sebagai reaksi balas terhadap kontroversi pelancaran koleksi hijab Neelofa di sebuah kelab malam, baru-baru ini.
Kata Michael dalam rakaman berkenaan, dia merasakan tidak menjadi satu masalah sekiranya ingin menyewa pusat hiburan itu dengan tujuan untuk mengadakan majlis tahlil.
Sumber berita: Sinar Harian