Kredit foto: Sinar Harian
Masih lagi dengan kontroversi pelancaran koleksi #BeLofabyNH oleh pelakon dan hos Neelofa di Zouk, Kuala Lumpur.
Mengimbas episod panas sebelum ini, isu itu turut mendapat perhatian badan bukan kerajaan dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Isi kandungan nasihat yang dikeluarkan mufti: pertama, mintalah pendapat ulama sebelum bertindak; kedua, sila pelihara imej seorang wanita Islam yang bertudung dan ketiga, rezeki yang dicari haruslah mendapat keberkatan ALLAH SWT.
Terkini iaitu sejak dua hari lalu, beberapa pihak mula melancarkan kempen boikot terhadap produk Naelofarhijab sebagai tanda protes.
Menerusi pemerhatian, pihak Naelofarhijab yang mula terkesan dengan situasi itu telahpun menutup ruangan komen di akaun Instagram rasmi jenama berkenaan.
Antara isi pokok suara masyarakat ialah berkaitan tindakan usahawan muda itu mempromosikan hijab di kelab malam yang diselangi dengan tarian melalaikan serta bercampur antara lelaki dan perempuan, dilabel sebagai perkara jahiliyyah, maksiat sekaligus larangan ALLAH SWT.
Dalam pada itu, ada juga segelintir netizen yang tampil dengan komen-komen berbentuk kata-kata semangat agar Neelofa kuat menghadapi peristiwa yang disifatkan sebagai ujian itu.
Terdahulu, Neelofa yang juga menyambut sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-29 di majlis sama mengatakan dia tidak ambil peduli kritikan masyarakat kerana beliau mengetahui apa yang sedang dilakukannya.
“Saya buat keputusan untuk tidak mempedulikan lagi kritikan orang ramai kerana apa yang lebih penting saya tahu apa yang dilakukan.
“Lokasi ini dipilih kerana bersuaian dengan tema berbanding beberapa tempat lain yang disenarai pendek.
“Lagi pun kalau pilih tempat lain, saya perlu mengeluarkan wang lapan kali ganda untuk memenuhi kehendak tema,” katanya.
Sumber berita: Sinar Harian