Pada suatu malam yang tenang, anda naik ke atas katil dan baring di atas tilam yang selesa, dan meletakkan kepala di atas bantal yang lembut. Malam yang sunyi dan tenang itu adalah keadaan yang amat sesuai untuk anda merehatkan badan setelah seharian melakukan kerja. Sewaktu anda pejamkan mata, tiba-tiba, anda terasa seperti tubuh badan anda sedang jatuh dari satu tempat yang tinggi. Anda panik lalu terbangun dalam keadaan cemas dan jantung anda berdegup kencang. Keadaan tersebut sangat tidak menyenangkan.
Fenomena yang berlaku pada tubuh badan anda tersebut adalah satu keadaan yang dipanggil “hypnic jerk”. Fenomena ini kadang-kadang berlaku bersama dengan visual seolah-olah anda sedang terjatuh daripada satu kawasan yang tinggi seperti di puncak gunung mahupun dari tingkat atas bangunan.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah hypnic jerk?
Hypnic jerk terjadi apabila otot-otot di bahagian kaki anda mengecut dengan cepat di bawah sedar (secara tidak terkawal) ketika anda sedang terlena.
Keadaan seperti ‘tersentak’ ataupun terkejut semasa anda sedang tidur merupakan satu tindak balas diri anda untuk memastikan bahawa persekitaran anda selamat dan membolehkan anda tidur dengan lena selepas itu. Sebagai contoh, sekiranya anda hampir terjatuh dari katil, badan anda akan mengalami sentakan yang menyebabkan anda terbangun lalu bertindak balas dengan rangsanga tersebut untuk mengelakkan anda terjatuh.
Hypnic jerk ini juga berlaku apabila badan anda memerlukan kestabilan kedudukan sebelum hendak tidur. Tamsilnya, seseorang akan cendedrung mengalami fenomena ini apabila dia hendak tidur di kawasan yang memerlukan kestabilan ini seperti di atas dahan pokok.
Teori hypnic jerk
Teori utama yang lain mengatakan bahawa fenomena ini terjadi apabila sistem fisiologi kita aktif. Ia mungkin terjadi apabila otak kita menerima rangsangan di bawah sedar dan menghantar impuls melalui neurotransmitter dan menyebabkan satu ‘kejutan’ semasa kita sedang tidur.
Hypnic jerk dapat memberikan kesan buruk
Walaupun fenomena ini merupakan satu perkara yang normal dan hampir semua orang pernah mengalaminya, namun, ia dapat bertukar kepada satu pengalaman yang sungguh menakutkan. Dalam kes yang melampau, ia terjadi apabila kekerapan perkara ini terjadi sangat tinggi ataupun halaju rangsangan kejutan tersebut terjadi. Ia menghalang seseorang itu memasuki fasa tidur yang normal, dan akhirnya akan menyebabkan insomnia (kesukaran untuk tidur).
Punca utama terjadinya fenomena ini
Pengambilan minuman berkafien atau perangsang lain, senaman yang terlalu berat pada waktu malam dan stress yang melampau akan meningkatkan risiko fenomena ini untuk berlaku. Cara yang terbaik untuk mengelakkan perkara ini adalah dengan mengamalkan jadual dan corak tidur yang teratur.
Kesimpulan
Fenomena ini masih kurang dikaji oleh para penyelidik kerana ia dianggap sebagai satu fenomena yang biasa dan akan berlaku pada semua orang, dan ia menyebabkan rawatan yang khusus untuk perkara ini masih belum ditemui. Oleh yang demikian, sekiranya anda mengalami fenomena ini dengan kerap, sila rujuk kepada pakar yang terdekat dan amalkan gaya hidup yang sihat serta pemakanan yang seimbang.
Sumber rujukan :