Sememangnya haiwan yang dipanggil dengan nama kuda adalah makhluk yang sangat majestik.
Jika kita bernasib baik dan mempunyai masa, sumber serta peluang untuk menghabiskan masa beberapa hari bersama makhluk ini, maka kita mungkin dapat melihat kuda tidur di tengah hari ketika matahari sedang terik di atas kepala.
Lebih menarik, makhluk tersebut sedang tidur dalam keadaan berdiri. Dalam keadaan mata tertutup, kepala sedikit tertunduk, kuda terbuai ke alam mimpi.
BESARKAN TEKS A- A+
Kelakuan ini telah menarik minat mereka yang membiak kuda dan juga penyelidik yang mengkaji tentang tidur.
Mengapa kuda tidur dalam keadaan berdiri tegak dan bagaimana ia boleh tidur tanpa jatuh?
Bagaimana kuda tidur
Secara umum, terdapat dua jenis tidur iaitu tidur gelombang perlahan (SWS) dan tidur REM (juga kadang-kadang disebut tidur paradoks).
Sama seperti kebanyakan mamalia, kuda berbaring untuk tidur yang nyenyak.
Ia biasanya berlaku pada waktu malam, ketika persekitaran gelap dan suhu sejuk. Tidur jenis ini adalah tidur nyenyak iaitu tidur REM.
Otot-otot kuda berehat dan gelombang otak memberikan isyarat untuk kuda berehat sepenuhnya.
Tidur ini boleh berlangsung selama kira-kira 2 hingga 3 jam atau hanya beberapa minit sahaja bergantung kepada kuda dan persekitarannya.
Tidur gelombang perlahan pula adalah apabila adalah ketika gelombang otak lambat (dan biasa).
Walaupun terdapat perkataan "perlahan" dalam jenis tidur ini, ia sebenarnya tidur yang sekejap ataupun seperti "nap".
Kuda-kuda mungkin tidur sebentar untuk mencukupkan kuota tidur yang diperlukan dalam sehari.
Tempoh tidur yang dicadangkan kepada manusia adalah sekitar 6 hingga 8 jam sehari, namun bagi kuda jumlah itu agak rendah sekitar 2 hingga 5 jam sahaja dalam sehari.
Tidur gelombang perlahan oleh kuda ini biasanya berlaku di waktu tengah hari dalam tempoh yang singkat.
Ketika inilah kita dapat melihat kuda tidur dalam keadaan berdiri.
Mengapa kuda tidur berdiri
Di alam liar, kuda sentiasa berada dalam keadaan bahaya kerana pemangsa ada di mana-mana.
Berbaring dan tidur, walaupun hanya tidur gelombang perlahan, akan meningkatkan risiko diserang oleh pemangsa.
Malah, hanya beberapa saat sahaja sudah cukup untuk mengubah nasib kuda sama ada hidup atau mati.
Kuda dalam kawanan biasanya tidak tidur pada waktu yang sama.
Jika ada kuda-kuda yang tidur, seekor atau 2 ekor kuda akan berada dalam keadaan sedar untuk mengawasi keadaan jika diserang pemangsa atau bahaya lain.
Dalam kandang, walaupun biasanya tidak terdapat ancaman pemangsa, namun tingkah laku berjaga-jaga oleh haiwan ini berterusan.
Bagaimana kuda tidur berdiri?
Apabila tidur mengambil alih keupayaan pancaindera, otot-otot mengendur dan menjadi longlai.
Berdiri memerlukan usaha aktif dari otot ke seluruh badan, bukan sahaja kaki anda untuk menyokong anda tetapi juga otot seluruh badan untuk memastikan keseimbangan dan tidak terjatuh.
Tetapi badan kuda mempunyai ciri yang membantunya tidur ketika berdiri dengan usaha yang sedikit dikenali sebagai "alat penahan" atau "stay apparatus".
Alat penahan ini adalah sekumpulan otot, tendon dan ligamen di bahagian kaki belakang kuda yang membolehkan haiwan ini terus berdiri tanpa usaha berterusan.
Apabila kuda mula terlelap, ia akan mengaktifkan alat penahan ini dengan membengkokkan salah satu kakinya, sebagai contoh kaki belakang dan kemudian "menguncinya".
3 lagi kaki yang lain memikul berat kuda ketika ia tertidur. Selepas beberapa ketika, kuda tersebut akan mengalihkan berat badannya ke kaki yang lain untuk mengelakkan keletihan.
Kuda bukanlah satu-satunya haiwan yang mempunyai jangka waktu tidur yang pendek dan posisi tidur menegak.
Mamalia lain seperti zirafah, gajah dan unta juga mempunyai alat penahan yang membolehkan tidur dalam keadaan berdiri.
Malah, terdapat banyak spesis burung yang tidur menegak dan dengan sebelah kaki.
Contoh yang paling popular adalah bangau, tetapi banyak burung lain menggunakan mekanisme "bertenggek" yang unik untuk tidur di atas dahan tanpa jatuh.
Rujukan:
2. Haygain
3. Sciencea
4. Pets Blog