Walaupun berhadapan dalam keadaan yang sangat cemas, namun kita masih mampu menyelamatkan diri jika terperangkap dalam kereta yang tenggelam di dalam air.
Apa yang kita perlu lakukan adalah berfikir dan bertindak dengan pantas.
Dalam kebanyakan kes, orang yang terperangkap dalam kereta yang sedang tenggelam mempunyai sekitar 1 minit untuk keluar jadi setiap saat sangat berharga.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, kita berhadapan dengan bahaya apabila pintu kereta tidak boleh dibuka apabila tenggelam.
Ya, seperti mana yang anda lihat dalam filem, mangsa akan cuba untuk memecahkan tingkap kereta untuk keluar. Ini kerana pintu kereta tidak boleh dibuka apabila kereta ditenggelami air, walau sekuat manapun yang anda cuba.
Mengapa ini berlaku? Ia kerana apabila kereta atau kenderaan tenggelam, tekanan air di bahagian luar kereta adalah tersangat kuat sehinggakan usaha anda untuk membuka pintu adalah sia-sia.
Satu-satunya jalan penyelesaian dalam situasi ini adalah dengan menyamakan tekanan di dalam dan di luar kereta, barulah anda boleh membuka pintu.
Untuk menyamakan tahap tekanan di dalam kereta anda, anda perlu memasukkan air ke bahagian dalam kereta, dan untuk melakukan ini, tingkap kereta perlu dipecahkan.
Jangan cuba pecahkan cermin hadapan kereta kerana ia adalah lebih kuat daripada cermin di bahagian sisi.
Bagaimana untuk selamatkan diri?
Kini anda tahu bahawa menyelamatkan diri melalui pintu adalah mustahil, jom kita telitiĀ beberpa cara untuk selamatkan diri.
1. Berfikir dan bertindak pantas
Syarat nombor satu untuk selamatkan diri jika terperangkap dalam kereta yang sedang tenggelam adalah dengan bertindak pantas dan tidak membuang masa.
Ya memang anda akan panik, tetapi semakin lambat anda bertindak, semakin tinggi tekanan yang wujud. Keluar dari kereta dalam tempoh seminit adalah sangat penting.
Jangan terlalu lambat bertindak sehinggakan tingkap kereta tenggelam sepenuhnya ke dalam air, kerana ini membuatkan proses memecahkan tingkap menjadi lebih sukar.
2. Pecahkan tingkap
Jika kereta anda sedang tenggelam atau sudah tenggelam, jangan buang masa untuk buka pintu kerana ia adalah mustahil bagi orang biasa. Cari cara untuk pecahkan tingkap.
Bolehkah anda pecahkan tingkap kereta di dalam air? Jawapannya ya, dan ini boleh dilakukan menggunakan alatan atau apa-apa sahaja yang kuat dan berat.
Sesetengah kereta mempunyai tingkap elektrik yang boleh berfungsi untuk beberapa saat walaupun tingkap tersebut telah tenggelam.
Gunakan pemecah kaca, tukul atau jika anda tidak menemui apa-apa, gunakan bahagian besi pada penyadar kepala untuk pecahkan.
Ketukkan bahagian besi tersebut ke penjuru bahagian bawah tingkap dengan sekuat hati sehingga retak, kemudian seluruh tingkap tersebut akan pecah.
3. Biar tekanan menjadi sama
Sebaik sahaja tingkap tersebut pecah, tunggu sehingga bahagian dalam dipenuhi air dan tekanan akan menjadi sama. Ambil satu nafas terakhir yang membolehkan anda sampai ke permukaan air.
Sesetengah model kereta baharu juga dilengkapi dengan mekanisme kaca keselamatan yang mana tingkap boleh dipecahkan dengan mengetuk di bahagian tertentu.
4. Berenang keluar dan naik ke permukaan
Gunakan ruangan tingkap yang telah dipecahkan untuk keluar atau anda juga boleh tunggu untuk membuka pintu kereta (jika anda mampu menahan nafas lebih lama).
Jika anda terperangkap bersama-sama kanak-kanak, bawa mereka terlebih dahulu ke permukaan.