Menjirus air mawar ke atas tanah kubur bagi tujuan mewangi dan melembapkan pusara bersemadinya sanak-saudara atau kenalan kita, merupakan satu tradisi yang diwarisi kita generasi ke generasi.

Namun apabila diajukan kepada ahli masyarakat kita apakah sebenarnya tujuan dan faedah sebenar jirusan air tak kiralah air jenis apa sekalipun dibuat, pasti ramai yang kelu tak mampu menjawab persoalan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa kita menjirus air ke atas kubur dan lebih penting, adakah lebih baik air mawar digunakan sebagai jirusan? Jom kita belajar.

Budaya menjirus air ke atas tanah kubur

kubur tenggelam tanah mendap

Berdasarkan logik akal, punca utama kita menyiram air ke atas kubur adalah untuk meratakan tanah kubur yang ada khasnya apabila kematian baru berlaku.

Secara saintifik, kandungan air dalam tanah akan menentukan tahap kompaknya jisim-jisim dalam tanah bagi menghalang masalah hakisan angin atau 'soil erosion.'

Dengan menjirus air, debu yang ada di atas tanah yang baru digali akan mendap seterusnya rata agar tidak mudah diterbangkan angin. Selain itu kelembapan tadi juga membantu memperkuatkan struktur tanah pusara yang baru menutupi jenazah.

Menurut Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Rasulullah saw. sendiri diceritakan menjirus pusara anakanda Baginda SAW, Saidina Ibrahim dengan tujuan untuk meratakan debu-debu tanah.

Namun semua pandangan ini baik dari segi perspektif saintifik mahupun perspektif sunnah, melibatkan tanah pusara yang baru digali.

Tradisi menjadi salah apabila pembaziran berlaku

air mawar komersial dalam botol indonesia

Antara perbincangan yang mampu memperjelaskan kepada kita tentang hukum sebenar menjirus air ke tanah kubur, boleh ditentukan dengan melihat jenis air yang kita gunakan.

Tidak wujud sama sekali dalam Islam anjuran amalan menggunakan air mawar bagi menjirus kubur, kerana perbuatan itu sebenarnya dilihat sebagai satu bentuk pembaziran.

Merujuk kepada harga semasa bunga mawar segar yang dijual oleh pekebun di Cameron Highland, 20 tangkai bunga mawar merah mampu mencecah harga sekitar RM30 ke RM35. Mungkin kita tidaklah menggunakan kesemuanya untuk air jirusan namun apa yang perlu dilihat adalah konteks belanja yang kita keluarkan.

Sesuatu perbuatan itu apabila dilakukan dengan memerlukan kos yang besar hanya untuk mewangikan air jirusan, haruslah dilihat sebagai satu bentuk pembaziran kerana jirusan tadi tidak mempunyai apa-apa sebab atau tujuan disebaliknya.

Dengan mengeluarkan wang ringgit untuk membeli mawar yang akhirnya terbuang disebabkan oleh perbuatan ritual yang tiada hujahnya, perkara itu boleh dikategorikan sebagai perbuatan makruh dari konteks orang Muslim.

Ritual jirusan kubur orang Melayu

jirus air mawar kubur pusara

Sehingga kini perbincangan berkenaan hukum sebenar menjirus air ke atas tanah pusara terus diperdebatkan ilmuwan Islam.

Secara jelas, majoriti ulama' sependapat mengatakan menjirus air ke tanah selepas pengebumian merupakan satu perbuatan yang disyorkan. Tetapi ada juga pendapat lain yang merasakan perbuatan itu juga harus terbuka untuk diamalkan walaupun selepas seminggu, sebulan, setahun dan bertahun lamanya.

Asasnya, tidak salah menjirus kubur dengan niat untuk memadatkan tanah. Apa yang menjadi isu adalah apabila kita masyarakat Melayu mempunyai kepercayaan dan ritual tertentu dalam menyiram air ke tanah.

Menurut amalan kita, satu keluarga perlu berkongsi satu jag air dengan ibu, bapa atau individu paling tua perlu menjirus terlebih dahulu bergilir-gilir sehingga selesai. Tradisi ini lengkap dengan kaedah pergerakan jirusan dari satu bahagian ke bahagian yang 'wajib' diikuti.

Perbuatan karut ini malangnya mampu menyebabkan ada di kalangan mereka yang menziarahi kubur kecewa, disebabkan tak dapat menjirus ataupun kecewa dia gagal melakukan jirusan dengan sempurna mengikut syarat yang ditetapkan.

Lebih memilukan, masih ramai yang percaya perbuatan menjirus air tak kiralah air mawar ataupun air kosong ke atas tanah kubur, mampu 'menyejukkan' jenazah serta memberikan ganjaran kepada kepada si mati.

Artikel ini membincangkan secara lebih terperinci isu jirus air mawar. Bagaimana pula dengan amalan-amalan lain masyarakat Melayu melibatkan kubur yang nyata perlu diperbetulkan juga?

Rujukan

IRSYAD AL-FATWA KE-78: HUKUM MENJIRUS AIR MAWAR KE ATAS KUBUR




Hakcipta iluminasi.com (2017)