Kereta terpakai dari Jepun cukup popular di Malaysia sehingga menjadi rebutan orang ramai yang berminat mahu mendapatkan kenderaan mewah pada harga lebih rendah.
Dikenali dengan nama kereta 'recond', kereta 'grey market' atau kereta 'parallel import'; sehingga kini kereta terpakai Jepun menjadi alternatif kita sehinggakan pasaran jualannya juga agak besar.
BESARKAN TEKS A- A+
Terdapat beberapa model dalam pasaran kereta 'recond' yang sering menjadi sebutan masyarakat Malaysia, kebiasaannya dijual pada harga lebih RM100,000.
Persoalannya - adakah harga yang telah ditetapkan penjual dan pengimport masuk ini terlalu tinggi jika dibandingkan dengan nilai asal model tersebut di negara asalnya sendiri?
1. Honda Oddyssey
Untuk memulakan artikel ini, kita lihat terlebih dahulu model popular keluaran Honda iaitu Oddyssey. Terdapat dua versi model ini dijual di Malaysia; versi rasmi jualan Honda Malaysia iaitu Oddyssey 2.4 berharga RM249,000 di Semenanjung Malaysia.
Bagi jualan di kawasan bebas cukai seperti Langkawi dan Labuan, harga yang ditetapkan adalah RM175,500.
Berapakah harga kereta Oddyssey versi recond? Dalam beberapa laman web jualan kereta popular, model versi tahun 2015 sehingga 2018 dijual daripada harga RM115,000 sehingga RM185,000.
Model terbaru Honda Oddyssey di Jepun pula dijual bermula dengan harga RM139,200 ke RM156,500 dalam versi spesifikasi petrol. Sementara bagi varian hibrid, harganya adalah RM167,200 ke RM182,400.
HONDA ODDYSSEY | HARGA |
Jualan rasmi | RM249,000 |
Recond | RM115,000-185,000 |
Harga rasmi bebas cukai | RM175,500 |
Harga rasmi di Jepun | Bermula daripada RM139,200 |
2. Toyota Alphard
Model kenderaan keluarga ini cukup popular di kalangan rakyat Malaysia, disebabkan oleh keselesaan yang ditawarkan - khasnya bagi keluarga yang besar.
Datang dalam versi jualan rasmi oleh Toyota Malaysia, Alphard dibuka jualannya pada harga RM446,600 dan versi bebas cukai pula dijual pada harga RM258,200. Berapakah harga model popular ini dalam versi recond dan jualan di Jepun?
Versi recond model ini dari tahun 2015 ke tahun 2020 masih dijual pada harga tinggi, kebiasaannya bermula daripada RM220,000 sehinggalah RM310,000 untuk versi yang lebih baru.
Sementara harga Alphard di Jepun dibuka bermula RM133,500 sehinggalah RM294,000.
TOYOTA ALPHARD | HARGA |
Jualan rasmi | RM446,600 |
Recond | RM220,000-310,000 |
Harga rasmi bebas cukai | RM258,200 |
Harga rasmi di Jepun | Bermula daripada RM139,200 |
3. Toyota Estima
Model ini satu ketika dulu menjadi salah satu pilihan utama rakyat Malaysia berkeluarga yang cukup popular.
Bagaimanapun model ini hanya diperkenalkan dalam pasaran kita secara rasmi pada tahun 2014 di bawah nama 'Toyota Previa', dijual pada harga RM258,000 dan spesifikasinya kurang menyerlah berbanding versi di Jepun.
Ini menyebabkan pengguna kita terus kekal memilih versi recond yang banyak dalam pasaran khasnya versi 2015 ke atas, dijual pada harga RM120,000 ke RM195,000.
Produksi model ini telah ditamatkan sepenuhnya dalam mana-mana pasaran pada bulan Oktober tahun 2019 menandakan berakhirnya legasi kereta ini yang sangat popular bagi pemandu era 80-an dan 90-an.
TOYOTA ESTIMA/PREVIA | HARGA |
Jualan rasmi | RM258,000 (ditamatkan) |
Recond | RM120,000-195,000 |
Harga rasmi bebas cukai | Tidak berkenaan |
Harga rasmi di Jepun | Bermula daripada RM133,200 (ditamatkan) |
4. Toyota Harrier
Ramai mengidam nak bawa pulang sebuah Harrier. Bentuknya yang sporty tidaklah kelihatan seperti van makcik-makcik yang kerapkali membelenggu rekaan kenderaan lain.
Versi rasmi negara kita dijual pada harga RM249,700 dengan harga bebas cukainya di Langkawi dan Labuan, ditetapkan pada RM161,500.
Dalam pasaran recond pula, sebuah model versi 2016 dijual bermula dengan nilai RM145,000 dan untuk versi lebih baru boleh mencecah harga RM195,000. Versi Harrier masih dijual di Jepun, dengan model terbarunya dibuka jualan pada harga RM120,000 sehingga RM205,000.
TOYOTA HARRIER | HARGA |
Jualan rasmi | RM249,700 |
Recond | RM115,000-185,000 |
Harga rasmi bebas cukai | RM161,500 |
Harga rasmi di Jepun | Bermula daripada RM120,200 |
5. Toyota Vellfire
Setiap kali tengok Vellfire atau abang kembarnya Alphard, penulis agak kagum juga bagaimana pemandu itu boleh mengendalikan kenderaan sebesar itu.
Rakyat Malaysia boleh memilih model Vellfire sama ada melalui jualan rasmi Toyota Malaysia pada harga RM367,800 atau pasaran recond bermula dari RM180,000 sehinggalah RM275,000.
Harga sebuah Vellfire di Langkawi dan Labuan pula dibuka pada harga RM218,750. Berapakah harga model sama di Jepun pula? Sebuah model sama di Jepun dengan spesifikasi rendah dijual pada harga RM133,500 sementara versi lebih tinggi pula mampu mencecah RM295,000 harganya.
TOYOTA VELLFIRE | HARGA |
Jualan rasmi | RM367,800 |
Recond | RM180,000-275,000 |
Harga rasmi bebas cukai | RM218,750 |
Harga rasmi di Jepun | Bermula daripada RM133,500 |
6. Toyota Wish
Model lama yang sudah ditamatkan pengeluarannya sejak tahun 2017, Toyota Wish yang cukup popular di kalangan pembeli kereta recond secara rasmi digantikan dengan Toyota Sienta.
Nasib Sienta di negara kita juga malap, dilancarkan pada tahun 2017 sebelum ditamatkan jualan rasminya pada 2019 akibat angka jualan yang rendah. Walaupun demikian model Wish yang telah menggantikannya tampak terus diminati, mempunyai peminat setia dalam pasaran kereta terpakai.
Di Jepun, Wish berada dalam kelasnya tersendiri menjadi antara MPV termurah dalam pasaran dibuka untuk jualan bermula daripada RM72,000 sehingga RM98,000. Dalam pasaran recond tempatan pula, sebuah Toyota Wish versi 2015 sehinggalah 2017 masih boleh dimiliki pada harga di antara RM80,000 ke RM95,000.
TOYOTA WISH | HARGA |
Jualan rasmi | RM156,900 |
Recond | RM80,000-95,000 |
Harga rasmi bebas cukai | - |
Harga rasmi di Jepun | Bermula daripada RM72,000 |
Kami harap anda kini jelas dengan perbandingan harga ini.
Tidak ramai yang menyedari kita di Malaysia sebenarnya membayar harga yang agak tinggi untuk kereta terpakai, sedangkan kereta itu dijual lebih murah di Jepun sebagai model baru. Kaya kita ni.
Persoalan yang lebih penting - kenapa banyak sangat kereta recond Jepun masuk ke pasaran Malaysia? Baca artikel kami 'Fahami Mengapa Banyak Kereta Terpakai Jepun (Recon) di Malaysia' yang mengupas persoalan ini dengan lebih terperinci.