Mungkin anda pernah mengalami situasi cemas ini sendiri, dan ada yang hanya mendengar kes ini berlaku melalui berita. Walaupun kes seperti ini jarang berlaku, ia amatlah penting untuk kita mengetahui bagaimana untuk mengatasi rasa cemas dan bertindak dengan bijak. Anda mungkin berfikir ia tak akan terjadi kepada anda, namun, jika ditakdirkan anda berada dalam situasi ini, apakah yang anda akan lakukan?
BESARKAN TEKS A- A+
Dianggarkan 400 orang mati setiap tahun disebabkan oleh kereta yang dinaiki tenggalam ke dalam tasik atau sungai selepas kemalangan, menurut data yang dikumpul oleh penyelidik dari Kanada, Gordon Giesbrecht. Ramai di antara mereka terperangkap di dalam situasi ini tidak tahu untuk berbuat apa untuk menyelamatkan diri, atau berbuat perkara yang tidak betul, ketika saat kereta mereka sedang tenggelam.
Januari lalu, seorang ustazah yang bekerja sebagai guru agama di Kolej Vokasional Besut, meninggal dunia kerana lemas, selepas kereta yang dipandunya terbabas dan masuk ke dalam parit di Jalan Paya Rawa, Kampung Raja, Besut pada pukul 1.30 petang. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat.
Sebenarnya, kejadian seperti ini boleh dielakkan jika kita sedar dan mengetahui cara yang betul dan apa yang perlu dilakukan jika kita berada di dalam situasi ini. Seorang pakar selam, Geoff Fahringer, telah menghasilkan sebuah video dan menunjukan apa yang perlu dilakukan ketika terperangkap dalam kereta, dengan menggunakan sebuah kenderaan lama dan memandu masuk ke dalam terusan yang berkedalaman 8 kaki.
Beliau berpengalaman selama lebih dari 10 tahun sebagai pasukan penyelamat menyelam untuk bahagian Collier County Sherrif di Kanada.
Menurut penyelidik, Gordon Giesbrecht, pokoknya, anda perlu menyelematkan diri anda sendiri jika kejadian ini berlaku kerana tidak akan sempat untuk menunggu penyelamat datang untuk menyelamatkan anda.
"Kami memberi tahu orang ramai yang mereka perlu keluar daripada kenderaan tersebut sebelum air naik ke paras tingkap, itu hanya memberikan anda masa 30 hingga 60 saat selepas kenderaan masuk ke dalam air," kaa Gordon. Maksudnya, jangan cuba capai telefon anda apabila kenderaan anda telah masuk ke dalam air. "Jangan telefon 999, dari dalam kenderaan yang sedang tenggelam," tambahnya.
Berikan perhatian kepada video ini, dan kongsi artikel ini kepada orang yang tersayang. Anda mungkin dapat menyelamatkan nyawa mereka satu hari nanti, atau mungkin nyawa anda sendiri.