Gunung Everest merupakan gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian rasmi 8,848 meter. Gunung ini terletak di kawasan pergunungan yang meliputi 6 buah negara iaitu China, Nepal, India, Pakistan, Bhutan dan Afghanistan. Pendakian ke puncak Gunung Everest bukanlah sesuatu yang mustahil tetapi sangat sukar yang hanya mampu dilakukan segelintir manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi seseorang pendaki gunung, tidak semua yang berimpikan untuk sampai ke puncak ini memandangkan risiko besar yang perlu diharungi. Saban tahun, ada sahaja kumpulan pendaki yang akan melakukan ekspedisi ke puncak Gunung Everest. Jumlah kematian yang dicatatkan semasa pendakian juga tidak kurang banyaknya.
Sesetengah pendaki menganggap pendakian ke puncak Gunung Everest sebagai matlamat terbesar mereka. Jika dapat melakukannya sekali seumur hidup, cukuplah. Tiada yang keduanya memandangkan risiko besar yang perlu dihadapi selain faktor kewangan memandangkan ratusan ribu ringgit diperlukan untuk setiap pendakian di Gunung Everest.
Walau bagaimanapun, bagi golongan Sherpa adalah menjadi kebiasaan mereka akan mendaki ke puncak Gunung Everest lebih daripada sekali seumur hidup. Sherpa merujuk kepada pemandu arah dan ketua ekspedisi pendakian dan mereka ini kebiasaannya adalah daripada penduduk tempatan yang mahir dalam selok-belok pendakian di Gunung Everest.
Pemegang rekod pendakian terbanyak
Kami Rita Sherpa semasa pendakian kali ke 23
Untuk rekod, Kami Rita Sherpa merupakan manusia yang memegang rekod sebagai manusia yang berjaya melakukan pendakian terbanyak ke puncak Gunung Everest. Ketika artikel ini ditulis, beliau sudahpun berjaya melakukan 24 kali pendakian ke puncak Gunung Everest!
Sebelum tahun 2018, Kami Rita Sherpa merupakan pemegang rekod bersama-sama dengan Apa Sherpa, Ngima Nuru Sherpa dan Phirba Tashi Sherpa dimana kesemua mereka telah melakukan 21 pendakian. Pada 16 Mei 2018, beliau berjaya memecahkan rekod ini dan menjadikan jumlah pendakian ke puncak Gunung Everest kepada 22.
Pada tarikh 15 Mei 2019, beliau berjaya membuat pendakian ke 23 sekaligus mengukuhkan namanya dalam senarai teratas pendakian terbanyak. Lebih menarik, dalam tempoh kurang 1 minggu, pada 21 Mei lalu beliau sekali lagi berjaya melakukan pendakian ke Puncak Gunung Everest menjadikan rekod keseluruhannya sebanyak 24 kali pendakian.
Dedikasi buat keluarga, masyarakat Sherpa dan negara
Pada April tahun ini, beliau yang sudah berumur 50 pada tahun ini telah mengumumkan akan cuba untuk membuat pendakian kali ke 25 sekurang-kurangnya sebelum bersara. Menurut beliau, segala yang dilakukan ini bukanlah untuk dirinya sendiri sebaliknya untuk keluarga, masyarakat Sherpa dan negaranya Nepal.
Dengan Apa Sherpa, Ngima Nuru Sherpa dan Phirba Tashi Sherpa sudahpun mengumumkan persaraan, nampaknya rekod yang dipegang oleh Kami Rita Sherpa ini akan bertahan lama.
Hal ini disebabkan tempoh dibenarkan membuat pendakian di Gunung Everest adalah sangat singkat. Bergantung pada cuaca setempat, kebiasaannya waktu dibenarkan melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest ini jatuh pada pertengahan bulan Mei.
Menurut rekod Jabatan Pelancongan Nepal, sejak 1953 hampir 5000 orang telah berjaya melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest. Musim mendaki di Gunung Everest bagi tahun 2019 secara rasminya bermula pada tahun 14 Mei dan untuk tahun ini sahaja kira-kira 1000 pendaki akan cuba mendaki hingga ke puncak Gunung Everest.
Kerjaya sebagai seorang Sherpa
Kami Rita Sherpa telah melakukan pendakian ke puncak buat pertama kalinya pada tahun 1994. Pada ketika itu beliau hanya berusia 24 tahun dan sedang bertugas sebagai pemandu arah bagi sebuah syarikat antarabangsa yang menganjurkan ekspedisi pendakian di Gunung Everest.
Ketika itu, beliau sama sekali tidak menyangka suatu hari nanti akan memegang rekod sebagai manusia paling banyak sampai ke puncak Gunung Everest. Jika daripada awal lagi matlamat tersebut sudah ditetapkan, sudah pasti beliau lebih kerap menyertai ekspedisi ke puncak Gunung Everest.
Sebagai seorang Sherpa, beliau bertugas sebagai pemandu arah kepada peserta yang menyertai sesuatu ekspedisi. Selain itu, seorang Sherpa juga berperanan memastikan tali bantuan untuk memanjat dalam keadaan baik untuk digunakan oleh pendaki lain. Mereka juga berperanan membawa kelengkapan lain seperti tangki bantuan oksigen.
Kerjaya sebagai seorang Sherpa bukanlah mudah walaupun mereka seringkali tidak dihargai. Jika seseorang pendaki menganggap pendakian ke puncak Gunung Everest adalah mudah, semuanya adalah bantuan daripada Sherpa yang membuat persediaan rapi untuk setiap peserta.
Seseorang Sherpa juga percaya setiap gunung mempunyai Tuhan atau penjaganya, termasuklah Gunung Everest. Oleh itu, kebiasaannya beberapa bulan sebelum ekspedisi pendakian sebenar dilakukan, mereka akan mula berdoa meminta keampunan agar dipermudahkan pendakian daripada Tuhan atau penjaga gunung. Semua ini tertakluk kepada amalan kepercayaan atau agama seseorang Sherpa itu sendiri.
Kredit: