Oleh pada 15 Jan 2018 kategori

Sumber foto: BH Online

Mayat pendaki yang terjatuh sewaktu memanjat Gunung Nuang, Hulu Langat kelmarin akhirnya berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat, semalam.

Mayat Azlan Yahya (47 tahun) dijumpai pada pukul 10.50 pagi dan kemudiannya dibawa ke Kem Pacat pada pukul 5 petang.

Menurut Alimaddia Bukri selaku Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihak pasukan penyelamat sedang cuba sedaya-upaya untuk membawa mayat mangsa ke Kem Lolo pula, sebelum dibawa turun ke kaki gunung.

"Mayat mangsa dijangka akan dapat dibawa turun sekitar jam 2 atau 3 pagi, namun kita tidak dapat menjangkakan masa yang tepat.

"Ini kerana Gunung Nuang ini memang tinggi dan usaha membawa turun mayat mangsa memang mengambil masa," ujarnya ringkas.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.30 tengah hari Kelmarin, di mana seorang lelaki dilaporkan terjatuh berdekatan puncak Gunung Nuang.

Oleh itu, sebuah pasukan terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikerah untuk menaiki gunung berkenaan pada pukul 3.15 petang, bagi tujuan operasi mencari dan menyelamat.

“Ayah memang aktif aktiviti luar seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi serta mendaki gunung, cuma tak sangka ini jadi pendakian terakhirnya,” kata Aliff (17 tahun), anak sulung mangsa.

Menurutnya lagi, sudah menjadi perkara biasa buat mangsa untuk menasihatinya supaya menjaga dua orang adiknya serta ibu, setiap kali sebelum melakukan aktiviti luar.

Dalam kejadian petang kelmarin, Azlan dan rakannya tergelincir apabila tanah yang dipijak runtuh, sebelum mangsa jatuh ke dalam gaung dengan kedalaman sekitar 100 meter.

Mangsa cedera di kepala dan pengsan, manakala rakannya yang turut berada di situ membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Mangsa merupakan adik bongsu kepada Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Dr Azizul Halim Yahya.

Sumber berita: BH Online & Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)